BAHAN yang digunakan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


APABILA ditanya pakar kecantikan mengenai kecenderungan pilihan rawatan yang menjadi mendapat perhatian kebanyakan wanita apabila berkunjung ke pusat kecantikan, rata-rata bersetuju ramai yang mahukan kulit wajah halus mulus dan putih gebu.

Itu impian kebanyakan yang sangat menitikberatkan aspek penjagaan wajah berbanding tubuh. Lebih mengejutkan, ada yang langsung tidak kisah sekiranya tubuh tidak terjaga tetapi sangat teliti mengenai wajah kerana beranggapan ia bahagian terpenting yang perlu diberi tumpuan khusus walaupun terpaksa mengeluarkan duit simpanan.

Untuk memiliki kulit wajah halus gebu, ada yang bersikap ekstrem dan sanggup berhabis ribuan ringgit dalam tempoh sebulan untuk mendapatkan hasil diidamkan.

Tidak kira apa juga cara dipilih, apa yang penting ialah ia dilakukan secara konsisten selain bahan digunakan perlu diyakini selamat bagi memastikan tiada kesan sampingan di sebaliknya.

Jika anda termasuk dalam kumpulan ini, jangan bimbang kerana selain boleh mendapatkan perkhidmatan di spa atau pusat kecantikan, anda juga boleh melakukan rawatan wajah sendiri menggunakan bahan semula jadi yang turut disediakan sendiri di rumah.


Bahan yang diperlukan juga tidak banyak dan boleh dikatakan ada di semua dapur iaitu lemon, tomato dan serbuk penaik.

Penggunaan lemon dan tomato sebagai bahan utama sangat baik dalam membantu mendapatkan kulit wajah halus mulus, bersih dan mengurangkan kesan jeragat.

Kurang daripada 10 minit, anda boleh menyediakan lulur lemon tomato yang kemudiannya dibekukan yang ternyata sangat menjimatkan wang dan masa.

Ia boleh dijadikan bahan lulur yang bertindak seperti sabun wajah dan membantu dalam menyelesaikan masalah wajah.


Ulang dua atau tiga kali seminggu. Disebabkan ia menggunakan bahan semula jadi, maka kesannya mungkin agak perlahan untuk dilihat dan berbeza antara setiap individu.

Namun yang penting, untuk cantik anda tidak tidak boleh cepat berputus asa kerana kesan yang perlahan menggunakan bahan semula jadi itu lebih baik dan selamat untuk kulit wajah anda.

Harian Metro berkongsi langkah demi langkah menyediakan lulur lemon tomato. Selamat mencuba!


BAHAN-BAHAN:

Dua biji tomato segar (jangan terlalu lembik)

Dua biji lemon

Serbuk penaik


LANGKAH PENYEDIAAN:

1. POTONG tomato dan lemon.

2. MASUKKAN tomato yang siap dipotong ke dalam bekas sesuai dan perah lemon.

3. CAMPURKAN dua sudu kecil serbuk penaik. Kisar semua bahan tidak terlalu lumat dan sejukkan.

4. MASUKKAN ke dalam bahagian sejuk beku dan biarkan selama sehari sehingga bahan beku. Siap digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:00 AM