LUANGKAN masa cuti melakukan aktiviti bersama anak-anak. - GAMBAR hiasan

DIGITAL parenting atau pengasuhan digital mungkin kedengaran asing bagi kebanyakan ibu bapa hari ini. Sekalipun kata ringkasnya mudah difahami, namun ramai juga yang tersilap mentafsir istilah yang dimaksudkan dengan pengasuhan digital.

Bagi ibu bapa yang faham, pastinya mereka tergolong dalam kalangan individu peka terhadap perkembangan anak pada era teknologi kini. Namun, bagi yang masih belum menyedari kewujudan istilah ini, pengasuhan digital boleh dianggap sebagai pola baru untuk ibu bapa mendidik permata hati, sesuai dengan kebiasaan anak menggunakan gajet atau peranti digital.

Menurut pendapat pakar psikologi di Korea, perkara paling utama dalam pengasuhan digital adalah dengan menyatakan batasan jelas kepada anak-anak berkenaan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan gajet. Malah, sebelum ibu bapa memutuskan untuk membelikan telefon bimbit atau komputer untuk kegunaan anak, mereka sepatutnya berbincang dan menyenaraikan syarat, peraturan serta larangan penggunaan peranti berkenaan terlebih dulu.

Misalnya, anak dilarang menggunakan telefon bimbit ketika keluarga sedang berkumpul atau makan, tidak mengganggu jadual waktu belajar, tidak leka menggunakannya sehingga lewat malam ataupun tidak disalahgunakan untuk memuat turun video terlampau. Jika semua ini diambil kira dengan baik, tidak mustahil kanak-kanak, khususnya remaja lebih terpelihara daripada kesan negatif era digital hari ini.

Begitupun, dalam kebanyakan hal, ibu bapa mungkin gagal melaksanakan pengasuhan digital jika masih dibelenggu kesukaran untuk menolak atau menyatakan tidak kepada kehendak serta keinginan anak-anak. Realiti hari ini menunjukkan ibu bapa terlalu mudah akur pada permintaan anak sejak kecil tanpa sedar perbuatan itu boleh merosakkan masa depan mereka. Inikan pula ketika dunia melangkah pantas di era digital.

Jika anda sedang mempertimbangkan kaedah terbaik sebelum memulakan pengasuhan digital, ada eloknya jika rujuk beberapa tip keibubapaan era digital yang dikongsikan Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad ini.

1. Jalankan aktiviti bermain bersama keluarga dan jadikan ia menarik seperti kumpulan lelaki melawan perempuan atau ibu bapa melawan anak. Pasukan yang kalah dikenakan denda, contohnya menyediakan sarapan untuk pemenang.

2. Ada banyak jenis permainan keluarga yang menyeronokkan di Internet. Jika diteroka bersama, hubungan keluarga pasti menjadi lebih erat. Perkongsian digital boleh membawa manfaat serampang dua mata.

3. Turut serta aktiviti permainan video bersama anak. Pilih permainan yang memerlukan anda dan anak berfikir secara kritikal untuk menyelesaikan masalah.

4. Beri had masa supaya anak tidak menyalahgunakan teknologi.

5. Sekali-sekala, alihkan perhatian anak kepada dunia analog. Pastikan mereka keluar bermain di waktu petang dan menyertai aktiviti di luar rumah.

6. Ibu bapa adalah contoh terbaik. Mulakan dengan disiplinkan diri yang baik supaya wujud rasa hormat dalam kalangan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:00 AM