MENURUT Latifah, tidak perlu ghairah untuk kelihatan cantik kerana dengan sikap positif, hati yang tenang dan pandai mengawal emosi sudah cukup disenangi orang lain.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

MEMASUKI alam 40-an bagi sesetengah wanita mungkin perkara yang paling digeruni. Ramai mula memikirkan mengenai kedutan di wajah yang semakin ketara, uban kian bertambah malah tidak kurang juga mula berasakan mereka tidak lagi kelihatan menarik.

Boleh dikatakan rata-rata wanita ketika muda sering mengambil berat penampilan mereka namun apabila meniti usia 40-an, ramai mengabaikan aspek kecantikan dan penampilan diri. Mereka enggan lagi berhias indah, berasa rendah diri malah lebih membimbangkan apabila membiarkan diri terus kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Jika dulu, mereka inilah yang sentiasa bercita rasa tinggi dalam berpakaian, sebaik memasuki usia 40-an, golongan ini kehilangan rentak dan tidak lagi menjaga penampilan diri malah rela pula digelar ‘mak cik-mak cik’.

Bagaimanapun, wanita ini membuktikan sebaliknya. Sekali pandang, mungkin ramai yang tidak menyangkakan dia kini meniti usia lewat 40-an dek penampilan yang terjaga dan kekal cergas.

Mendekati wanita ini membuatkan penulis berasa begitu kerdil, mana tidaknya, melihat kelincahannya sudah cukup membuktikan usia bukanlah penghalang untuk wanita bergaya dan aktif bersukan lasak.

Perbezaan umur yang ketara antara penulis dan wanita ini seolah-olah tidak nampak malah jika berjalan beriringan mungkin mereka disangkakan sebaya dengan penulis yang baru berusia awal 30-an.

Latifah Rafii, 49, sudi berkongsi pengalaman, pandangan dan rahsia penjagaan kesihatan dalam meniti usia lewat 40-an buat pembaca untuk dijadikan panduan.

Katanya, kecantikan itu bukan hanya dipandang luaran saja sebaliknya lahir daripada tubuh yang cergas dan minda yang positif selain bijak menguruskan tekanan hidup.

Menurutnya, kehidupan yang sentiasa sibuk sebagai perunding hartanah selain bergelar ibu tunggal kepada empat cahaya mata menjadi pemangkin untuk dia lebih menjaga kesihatan dan penampilan.

Baginya, tiada istilah tiada masa atau tidak cukup masa kerana semua orang diberikan 24 jam sehari, tidak lebih, tidak kurang. Disebabkan itulah, dia menjadikan senaman sebagai rutin wajib selain menjaga pemakanan seimbang dan minum air kosong secukupnya untuk mengekalkan stamina.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya mendaki bukit bersama rakan selain bermain bola jaring yang menjadi kegemaran sejak muda.

“Dari segi kecantikan pula tiada petua tertentu diamalkan hanya membabitkan rutin biasa seperti mencuci wajah setiap hari, memastikan sisa solekan dibersihkan sebelum tidur dan menggunakan pupur wajah sekali atau dua kali seminggu.

“Dari dulu lagi saya memang menjaga pemakanan dan sentiasa memastikan baju kekal pada saiz M. Kalau dirasakan pakaian semakin ketat, cepat-cepat saya mengawal pengambilan kalori makanan dan bersenam,” katanya.

Bagi Latifah, kecantikan juga amat subjektif kerana ia tidak diukur pada sisi luaran saja. Sikap dan peribadi turut memainkan peranan terutama apabila bersosial dengan masyarakat.

Katanya, tidak perlu ghairah untuk kelihatan cantik kerana dengan sikap positif, hati yang tenang dan pandai mengawal emosi sudah cukup disenangi orang lain.

“Memang membimbangkan apabila melihat ramai wanita muda sanggup mengambil produk yang menjanjikan kesan segera yang selalunya berbahaya.

LATIFAH yang juga jurulatih kecergasan tidak menolak bahawa fikiran positif dan jiwa perlu sentiasa rasa muda membuatkan dirinya terus berkeyakinan untuk tampil menarik.

“Semak dulu kandungan dalam produk yang diambil dengan pihak berwajib atau kembali kepada makanan semula jadi yang lebih selamat dan menjimatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Latifah yang juga jurulatih kecergasan tidak menolak bahawa fikiran positif dan jiwa perlu sentiasa rasa muda membuatkan dirinya terus berkeyakinan untuk tampil menarik.

Katanya, pemakanan yang betul, tidur mencukupi selain pantang larang orang tua seperti kurangkan minum air berais memang bagus untuk diamalkan. Kadangkala apa yang menjadi pantang larang itu ada kaitannya untuk kesihatan dan kecantikan.

Selain itu dia sentiasa berfikiran positif dan pandai mengawal emosi yang baginya amat penting untuk kecantikan rohani, sekali gus memancarkan kecantikan sebenar seorang wanita Muslimah.

“Saya jarang mengenakan solekan tebal, hanya sedikit calitan tipis sudah memadai untuk tampil yakin di khalayak. Bersederhana dalam semua hal menjadi pegangan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:30 AM