WANITA manis yang sentiasa mendahulukan ibu bapanya. FOTO fail NSTP
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Tiada yang mustahil sekiranya terus bersabar, tidak cepat berputus asa dan sentiasa mencari laluan meneruskan usaha. Jadikan ibu bapa sebagai penguat semangat kerana keberkatan itu mempunyai kuasa luar biasa yang tidak ternilai.

Pegangan hidup itu sentiasa dipegang wanita kecil molek kelahiran Machang, Kelantan ini dalam mengharungi liku kehidupannya bergelar usahawan.

Apabila diajukan soalan mengenai kejayaannya, raut wajahnya bertukar sebak. Dia memberitahu, perkara paling utama dalam kehidupan ialah menjaga hubungan dengan Allah SWT juga ibu bapa.

Selain itu jangan kedekut atau berkira dengan rezeki yang kita terima kerana di dalamnya ada hak orang lain. Berikan apa yang kita ada dan jangan putus membahagiakan orang tua kerana keberkatan di sebalik berbuat baik kepada insan yang banyak berjasa kepada kita memang sukar dijangka.

Membuka bicara Nik Nur Fatin Nik Hassan, 25, berkata, semakin berkongsi rezeki dengan orang lain terutama ibu bapa, semakin luas rezeki yang diterima.

“Semuanya atas faktor minat ditambah dengan pengalaman dibesarkan di kedai runcit bersama ahli keluarga yang mengusahakan perniagaan menjadi sebab utama saya turut terbabit dalam dunia perniagaan.


SELEPAS hampir 10 tahun ceburi perniagaan Nik Nur Fatin kini lebih tumpukan usaha bantu peniaga lain. FOTO fail NSTP

“Bidang perniagaan sudah sebati dengan diri saya dan memandangkan dunia kecantikan amat dekat dengan jiwa wanita, saya memilih untuk terbabit dalam bidang ini. Hakikatnya bukan mudah untuk menguruskan perniagaan. Andai tidak bersungguh-sungguh dan berdisiplin, mungkin sukar mencapai apa yang dinikmati sekarang. Jadi saya perlu sentiasa memastikan jadual harian disusun dengan baik,” katanya.

Menurutnya, langkahnya dalam perniagaan tidak semudah disangka walaupun mempunyai minat mendalam, dugaan tetap melanda yang menyukarkan perjalanan hidup dan kerjayanya.

“Membimbing orang di bawah yang lebih berusia, berdepan kerugian, ditipu, difitnah dan dikhianati menjadi antara cabaran terbesar kepada saya.

“Saya mula terbabit dalam bidang ini ketika berusia 15 tahun dan ia menjadikan saya lebih matang daripada usia sebenar. Bohong jika katakan semuanya berjalan dengan baik namun saya jadikan semua itu sebagai penguat semangat untuk lebih berjaya,” ujarnya.

Benar berkat doa kedua-dua ibu bapanya, wanita manis ini berjaya mengharungi satu persatu dugaan yang datang walaupun pernah ‘jatuh tersungkur’.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya kekuatan ini, namun saya yakin semuanya adalah berkat doa ibu bapa yang sentiasa berada di sisi terutama ketika berdepan masalah. Selain ibu bapa, suami juga antara individu terpenting dalam hidup yang sentiasa bersama-sama saya tidak kira susah atau senang,” katanya.


NIK Nur Fatin bersama rakan perniagaan. FOTO fail NSTP

KEBERKATAN REZEKI

Menyentuh mengenai suka duka bergelar usahawan, Nik Nur Fatin berkata, kenangan paling berharga apabila dia berjaya melunaskan semua pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) kira-kira RM10,000 yang digunakan ketika dia menuntut di Universiti Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya juga dapat mengumpul wang belanja kahwin hasil keuntungan perniagaan tanpa melakukan sebarang pinjaman.

“Tidak berniat meninggi diri apatah lagi saya bukanlah mendapat keuntungan lumayan namun hasil perniagaan ini cukup untuk kegunaan diri dan membantu ahli keluarga terdekat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu duduk bersenang lenang tanpa melakukan apa-apa pekerjaan walaupun tidak mempunyai tanggungan yang banyak.

“Saya berusaha untuk cabar diri sendiri. Saya mahu buktikan anak muda juga mampu mengumpul kewangan sendiri dan tidak semua belia itu pemalas.

“Lagipun, saya sudah biasa berniaga, bayangkan ketika di tingkatan tiga lagi saya sudah cuba berniaga walaupun hanya menerima keuntungan tidak sampai seringgit tetapi semua ini amat berharga,” ujarnya.

Katanya, kini selepas hampir 10 tahun menceburi perniagaan, dia lebih menumpukan untuk membantu peniaga lain terutama dengan melakukan sesi latihan peribadi.

“Saya pergi ke merata tempat untuk membantu individu lain untuk bergelar usahawan, walaupun masih muda, saya gunakan setiap pengalaman yang ada untuk dikongsi kerana berniaga ini perlukan strategi yang tepat.

“Paling menggembirakan apabila individu dibantu menampakkan peningkatan yang baik dan boleh menjalankan perniagaan dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, selain semangat, dia sentiasa menekankan supaya berbuat baik kepada ibu bapa bagi membolehkan perniagaan berjalan dengan baik.

“Jangan lupa berikan wang belanja seberapa yang mampu setiap bulan kepada ibu bapa kerana percayalah ganjaran di sebaliknya sungguh indah.

“Jika tidak terima keuntungan yang banyak, tentu saja akan sentiasa bersama gembira dan tenang dalam mengharungi kehidupan berkat daripada doa ibu bapa,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:30 AM