MAHRAM membantu memberi penerangan kepada kakitangannya di Setia Alam. -FOTO: Zulfadhli Zulkifli
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


TANYALAH kepada mana-mana usahawan, apakah impian dan harapan sebaik saja membuat keputusan untuk menjejakkan kaki dalam dunia perniagaan? Tentu saja jawapannya mahu menjana pendapatan diri dan keluarga.

Lumrah kehidupan, setiap individu mahukan kehidupan yang selesa. Sama seperti Mahram Md Zain, dia berjuang habis-habisan berkorban wang ringgit, tenaga dan masa bukan saja untuk dirinya, isteri dan keluarga malah untuk berkongsi rezeki dengan pasangan suami isteri lain terutama yang tidak mempunyai sumber pendapatan stabil.

Baginya kehidupan akan lebih dinikmati apabila dapat berbakti dalam membawa sinar kegembiraan dan rezeki kepada insan lain.

Kisah Mahram dalam memperjuangkan perniagaannya sekali gus membuka ruang dan peluang kepada insan lain memperoleh pendapatan bulanan wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan tempatan lain.

Mana tidaknya, dia tidak hanya menumpukan keuntungan diri semata-mata malah konsep yang cuba dibawanya iaitu ‘berkongsi perniagaan suami isteri’ sangat mengagumkan.

Membuka bicara, Mahram yang menjalankan perniagaan bersama isteri tercinta, Maulida Mat Manan di bawah syarikat Rezeki Ilham Marketing berkata, sejak lima tahun lalu berkata, menyedari kesusahan dan keperitan dalam berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkannya tekad untuk tidak menoleh ke belakang.

“Saya cuba kenal pasti kehendak penduduk negara ini, apa yang mereka mahukan dan jenis barangan sentiasa mendapat permintaan.

“Selepas lebih setahun, saya dan isteri mula memberanikan diri menghasilkan produk kecantikan pada 2016 atas jenama Honeyglow diikuti dengan produk fesyen ibu hamil pada tahun sama sebelum yang terbaharu makanan tambahan kanak-kanak Cumi A Plus Kids, tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengapa memilih cabang perniagaan berbeza, Mahram berkata, semuanya atas sebab permintaan yang lebih menjurus kepada wanita.

“Wanita mempunyai kuasa beli yang tinggi. Malah wanita juga biasanya lebih teliti dalam soal penjagaan diri, keluarga dan anak. Mereka tahu apa sepatutnya diberikan kepada keluarga supaya semuanya terurus dan dalam keadaan yang baik.

“Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan wanita juga lebih arif dalam soal pengurusan kewangan keluarga. Apa yang saya jual adalah melalui hasil kajian dibuat untuk memenuhi keperluan itu kerana saya dan isteri turut melalui perkara yang sama. Saya bersyukur, semuanya dipermudahkan.


MAHRAM yang menjalankan perniagaan bersama isteri tercinta, Maulida Mat Manan di bawah syarikat Rezeki Ilham Marketing.

“Walaupun tidak mudah untuk terus mendapat kepercayaan pelanggan, hingga ke saat ini, saya dan isteri bersama kakitangan dapat bertahan dan berkembang hari demi hari,” ujarnya.

Tidak mahu memfokuskan kepada kejayaan diri sendiri, Mahram berkata, dia kemudian mula mengorak langkah menyusun strategi untuk membantu insan lain.

“Saya tahu bagaimana peritnya jika kita tidak mempunyai pendapatan bulanan yang stabil terutama apabila sudah berkeluarga apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Bermula daripada itu, saya membantu kenalan terdekat untuk mengenal pasti jenis perniagaan sesuai yang boleh dijalankan.

“Tanpa disangka dari hari ke hari semuanya berjalan dengan baik, semakin ramai kenalan dapat membina jenama dan produk sendiri yang membuatkan saya berasa sangat gembira dan puas kerana dapat membantu.

“Saya dan isteri seronok apabila melihat sahabat atau anak didik kami mempunyai perniagaan sendiri. Dari situ mereka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang lain. Tanpa sedar kebaikan yang kita semai itu berakar dan bercabang-cabang memberi manfaat kepada ramai orang,” katanya.

Tekad memperluaskan usahanya dalam membantu lebih ramai usahawan, Mahram kemudian menganjurkan kelas perniagaan yang lebih teratur dan khusus untuk membantu lebih ramai individu terutamanya dalam kalangan pasangan suami isteri yang mahu menceburi bidang itu.

“Bila sudah tekad membuka kelas semuanya perlu diatur dengan baik. Jadi, saya bersama pasukan membuat perancangan teliti kerana kami mahu mendidik setiap pelajar sebaik mungkin terutama dalam membina jenama sendiri kerana semua ini bukanlah semudah a,b,c.

“Sebenarnya ramai orang kita yang minat berniaga tetapi kurang pengetahuan untuk menguruskannya apatah lagi sekarang ini cabaran dan saingan dunia perniagaan sangat hebat. Betapa ramai usahawan yang sudah ada jenama dan produk sendiri tetapi terhenti separuh jalan. Perkara itulah yang saya cuba elakkan supaya wang yang mereka laburkan tidak hilang begitu saja,” ujarnya.

Tanpa memikirkan penat lelah dan masanya banyak dihabiskan di kelas, Mahram berkata, dia sama sekali tidak menyesal malah berasa sangat gembira kerana dapat membantu lebih ramai pasangan suami isteri.

“Mengapa saya memilih lebih ramai pelajar dalam kalangan suami isteri, ini kerana urusan perniagaan akan berjalan dengan lebih lancar tanpa ada masalah tikam belakang atau tidak sefahaman. Saya akui, ramai memulakan perniagaan dengan rakan kongsi yang terdiri daripada sahabat baik, adik-beradik atau saudara- mara.

“Selalu juga kita dengar cerita apabila sudah maju, ada pihak yang cuba membolot keuntungan dan mengetepikan rakan kongsi yang sama-sama mengeluarkan modal dan bersusah payah membangunkan perniagaan. Akhirnya pihak yang menjadi mangsa ini hilang keyakinan diri dan luntur semangatnya untuk berniaga lagi apatah lagi jika berdepan dengan kekangan modal dan dibebani hutang.

“Adat orang berniaga, memang banyak masa dihabiskan di luar rumah bertemu pelanggan dan bakal pelanggan untuk mengembangkan perniagaan. Bagaimanapun, perkara ini juga kadangkala boleh menimbulkan salah faham dan perselisihan antara suami isteri.

“Soal kepercayaan, pengorbanan, perhatian, penjagaan anak dan pembahagian masa dibangkitkan menjadi isu perbalahan. Jadi dengan memberikan fokus untuk mengajar pasangan suami isteri menjadi rakan kongsi perniagaan, perkara ini dapat dielakkan.

“Pada masa sama, urusan perniagaan menjadi lebih mudah kerana masa banyak dihabiskan bersama pasangan sendiri dan sering berbincang untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Mereka bukan saja belajar selok-belok perniagaan tetapi pada masa sama dapat lebih memahami karakter pasangan.

“Inilah konsep yang cuba saya bawakan dan syukur, semuanya berjalan dengan baik dan sehingga kini lebih 100 pasangan suami isteri berjaya mempunyai syarikat dan jenama sendiri,” katanya.

Kata Mahram, dengan apa yang dilaluinya, dia amat bersyukur kerana dapat merealisasikan impian dihajati dalam membantu lebih ramai pasangan suami isteri bergelar usahawan.

“Ada yang bertanya adakah hanya suami isteri saja dibenarkan menjadi pelajar, saya hanya tersenyum dan menjawab tidak sama sekali, kelas yang saya jalankan ini terbuka kepada semua asalkan ada keinginan dan semangat yang kuat untuk berjaya.

“Bidang ini tidak semudah disangka namun tidaklah terlalu sukar, asalkan ada ilmu, usaha dan tidak kenal erti putus asa, semuanya dapat dilalui dan yang penting dapat mengubah kehidupan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:00 AM