KOLEKSI Abaya Dubai by Ameliahassan membawakan koleksi khimar dengan abaya rekaan eksklusif konsep Muslimah.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

BUKAN sekadar hijab, tetapi boleh jadi kunci menuju ke syurga. Begitu gambaran manisnya koleksi Abaya Dubai by Ameliahassan saat penggambaran dibuat di studio baru-baru ini.

Buat julung kali, pereka wanita ini lari jauh daripada perincian sarat, batu berkilau, manik, labuci mahupun potongan renda mewah. Tiada ciri glamor dengan bulu pelepah di bahu atau lengan.

Tahun ini, Amelia membawakan konsep Muslimah. Abaya kembang daripada fabrik sifon ini bukan saja tampak luar biasa, bahkan gayanya cukup membuai perasaan pemakainya.

Kata Amelia, dia sengaja menampilkan pembaharuan dalam koleksi rekaannya kali ini supaya hasil karyanya terus seimbang dan berjalan seiring dengan peredaran arus fesyen semasa.


GAMBAR kiri, labuh dan selesa tetap sopan dengan abaya moden.

“Ini kali pertama saya membawakan koleksi khimar dengan abaya. Permintaan sudah lama ada, namun hanya baru-baru ini saya terbuka hati untuk tampil dengan koleksi Muslimah.

“Ketika mengerjakan umrah sebelum ini, ramai yang bertanyakan khimar yang saya pakai. Jadi, apabila pulang dari sana, saya terfikir mungkin sudah sampai masanya untuk mengetengahkan koleksi pakaian menutup aurat buat wanita yang suka berfesyen. Kalau sebelum ini kebanyakan rekaan saya bersifat terdedah dan seksi, koleksi ini tampil untuk memberi keseimbangan,” katanya.

Menurut Amelia, terdapat 15 warna dengan 15 rekaan berbeza untuk dipilih. Setiap koleksi didatangkan dalam set mengandungi khimar, abaya dan niqab. Semua koleksi dihasilkan dari kain sifon, bersesuaian dengan cuaca panas dan hujan di Malaysia.

“Kalau diperhatikan, koleksi kali ini lebih memfokuskan kepada rekaan busana. Ada yang ringkas dengan perincian ropol, ada juga yang dijahit renda di bahagian tangan dan bawah baju.

“Apa yang pasti, koleksi kali ini tidak mengetengahkan rekaan sarat. Ia boleh dipakai setiap hari. Bahagian lengannya mesra wuduk, manakala zip pada baju memudahkan ibu yang masih menyusukan bayi.


GAMBAR kiri, ropol bahagian sisi umpama sirip duyung.

“Khimar juga boleh disesuaikan mengikut gaya dan keperluan. Ada yang memiliki tali cerut, kemudian boleh diletak ke bahu sebagai perincian tambahan. Koleksi ini sesuai untuk menghadiri majlis formal, sambutan hari raya, mengunjungi rumah terbuka, menyempurnakan ibadat haji mahupun umrah,” katanya.

Jelas Amelia, pilihan warna pastel dan terang tidak mengehadkan pemakaian busana eksklusif ini. Ia masih sesuai digayakan setiap hari, terutama bagi mereka yang suka berfesyen.

“Satu keunikan pada abaya ini adalah belahan di bahagian depan atau sisinya. Ia tanda pengenalan bagi koleksi rekaan abaya ini. Fungsinya lebih kepada memberi keselesaan dan gaya kepada pemakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:30 AM