DARI kiri Atiqah, Aina, Frenissa Lagman, Penolong Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark, Niko Ng; Nur Adzratull Iffah dan Nawwar.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

SETIAP hari, ada saja wanita di serata pelusuk dunia yang berjaya menyangkal stigma masyarakat terhadap mereka. Mereka berdiri dan mengorak langkah dengan yakin untuk menyerlahkan potensi diri dengan sedikit sokongan kewangan.

Lazimnya, cerita inspirasi wanita sebegini cukup mudah menggaris senyum sesiapa saja. Inilah yang diperlukan empat penerima Kotex #SHECAN FUND bagi merealisasikan impian mereka, sekali gus membawa perubahan positif dalam kehidupan kaum wanita. Empat srikandi ini semakin hampir untuk menggapai impian selepas terpilih daripada lebih 240 penyertaan, seluruh negara.

Menurut Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark, Frenissa Lagman, walaupun secara umumnya wanita di Malaysia lebih beruntung berbanding di negara lain, ramai yang tidak mampu mencapai impian mereka. Sebab itulah Kotex #SHECAN FUND menyediakan platform dana sebagai sokongan dan motivasi bagi memastikan mereka memiliki peluang yang sama.

“Kami sangat berbesar hati untuk bergandingan dengan empat wanita hebat yang menunjukkan keberanian, kecekalan, ketekunan dan ketabahan. Mereka berjaya mencerminkan semangat Kotex #SHECAN dengan cogan kata, Haid atau Tidak, Dia Mampu,” katanya.

Selain menyelesaikan kebimbangan tentang haid katanya, kempen ini membawa perubahan dalam masyarakat di peringkat global dengan membantu wanita muda mencabar persepsi yang ketinggalan zaman serta tanggapan salah mengenai rutin bulanan berkenaan.

“Menangkis stereotaip jantina membolehkan mereka sama tinggi dengan lelaki bagi merealisasikan cita-cita. Ini secara tidak langsung memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita bahawa mereka juga mampu mencapai apa saja yang diidamkan,” katanya.

Malaysia, Kotex melancarkan #SHECAN FUND pada Oktober tahun lalu dengan memperuntukkan RM100,000 setahun bagi menginspirasikan lebih ramai wanita muda mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang kurang diwakili kaum itu termasuk seni, pendidikan, mahupun keusahawanan.

Empat penerima pertama #SHECAN FUND bakal menerima tajaan antara RM7,000 hingga RM25,000. Masing-masing mempunyai latar belakang dan impian berbeza. Mereka menceritakan impian untuk terbabit dalam komuniti dan menginspirasikan wanita muda untuk mengatasi persepsi masyarakat terhadap mereka.

Wanita berkenaan adalah pengamal seni, Nawwar Shukriah Ali; penari, Aina Amirah; penyelidik penyakit kusta, Atiqah Abd Rahim dan sukarelawan sosial, Nur Adzratull Iffah.

Kata Nawwar, dia menganggap seni lukisan dan fotografi sebagai saluran untuk menzahirkan emosinya. Malah seni juga juga membantu menceritakan banyak pengalaman dilalui sepanjang zaman kanak-kanak.

“Saya berbesar hati dengan gelaran pengamal seni wanita yang diberi dan bersyukur atas sokongan ini yang membiayai pameran seni solo pertama membolehkan saya mengetengahkan isu kesihatan mental.

“Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental selalunya mudah hilang punca. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berharap dan mencari makna hidup. Bagaimanapun, saya percaya seni adalah saluran positif yang boleh membantu mereka mengharungi masalah dihadapi,” katanya.

Berbeza dengan Aina, wanita muda berhijab ini tekun mengasah bakatnya untuk menjadi penari tarian kontemporari profesional. Katanya, diskriminasi berdasarkan agama dan pakaian tidak sepatutnya berlaku.

“Saya berasa paling bahagia ketika menari. Saya ingin berkongsi keindahan tarian kontemporari dan menginspirasikan golongan muda yang tidak mempunyai keyakinan atau peluang untuk mengejar cita-cita mereka. Paling penting, saya mahu meyakinkan mereka bahawa pentas dunia ini boleh dimiliki sesiapa saja,” katanya.

Sementara itu, Atiqah pula lebih tertumpu kepada susah payah dan stigma berkaitan penyakit kusta yang terus menjejaskan penghidap, termasuk mereka yang pernah dijangkiti penyakit ini.

Susulan satu kajian yang dilakukannya mengenai penyakit kusta di Kampung Sinar Baru, kampung penempatan semula di Kota Padawan, Sarawak, Atiqah menyedari walaupun penyakit kusta mampu dirawat, namun prasangka terhadap penyakit ini tetap menyumbang kepada kesengsaraan penghidapnya.

“Adanya sokongan ini, saya dapat menggunakan dana ini untuk menerbitkan buku mengenai penemuan saya. Saya mahu menzahirkan susah payah dilalui bekas pesakit, kehidupan selepas sembuh dan bagaimana mereka masih dapat menjalani kehidupan normal dan menikmati kebahagiaan seperti orang lain,” katanya.

Akhir sekali adalah sukarelawan muda yang sentiasa didorong semangat untuk membantu mereka yang memerlukan. Nur Adzratull Iffah sanggup berkorban demi memastikan mereka yang layak dibantu menerima layanan sewajarnya.

“Saya sentiasa percaya, kalau kita mempunyai belas kasihan untuk membantu sesiapa saja tanpa mengira masa dan tempat, kita sebenarnya sudah berada selangkah di hadapan orang lain.

“Jadi, dana ini nanti akan digunakan untuk membantu merealisasikan usaha sukarelawan AIESEC Malaysia menyediakan bantuan tenaga pengajar di sebuah sekolah bantuan khas di Jakarta. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda lain untuk turut mengejar impian mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:30 AM