PESAKIT buah pinggang, Sapura Omar ketika menjalani dialisis cekal hadapi dugaan. -FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Siti Zarinah Sahib

sitizarinah @hmetro.com.my

LANGSUNG tiada riak kesedihan pada wanita berusia 37 tahun ini. Sesekali dia ketawa apabila diajukan soalan kemudian kembali ramah bercerita mengenai pengalaman menjalani dialisis sebaik doktor mengesahkan buah pinggangnya tidak lagi dapat berfungsi secara normal pada 2005.

Bagi Safura Omar, 37, walaupun sudah tahu mengenai kerosakan buah pinggangnya akibat penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus yang dideritai sejak berusia 15 tahun, dia tidak menyangka rawatan dialisis perlu dilakukan kala usia baru menginjak 23 tahun.

Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik ini, selepas disahkan SLE pada 1997, dia perlu bergantung kepada ubat-ubatan untuk memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik. Lama-kelamaan ia memberikan tekanan kepada buah pinggang sehingga membuatkannya tidak lagi berfungsi secara normal.

“Ya, memang terlalu awal untuk saya terus bergantung kepada mesin dialisis seumur hidup. Saya masih muda dan sudah tentu rawatan ini menyebabkan aktiviti serta pergerakan saya terbatas,” kata Safura yang mengakui perkhabaran doktor ini membuatkan dia tertekan dan sedih.

Safura berkata dia mengambil masa enam bulan untuk menyesuaikan diri. Tiga kali seminggu selama empat jam setiap sesi adalah tempoh yang perlu diperuntukkan di hadapan mesin dialisis untuk membuang sisa kotoran dan cecair berlebihan dari badan.

Jadual harian diubah agar dia tidak terlewat atau terlupa melakukan perkara wajib ini setiap minggu. Jika tidak badan akan lemah dan tidak bermaya. Bagi Sapura dialisis diibaratkan sebagai nyawa kedua bagi membolehkannya menjalani kehidupan normal sama seperti insan lain.

Ia bukan mudah untuk ditelan lantaran kerosakan buah pinggangnya turut menghalang dia mempunyai zuriat sendiri. Selepas mendirikan rumah tangga dia kerap bertanya kepada doktor peluangnya untuk hamil secara normal. Siapa yang tidak ingin merasai nikmatnya membawa si kecil di dalam rahim.

Namun jawapan diterima tetap sama, dia tidak boleh mengandung kecuali selepas menjalani pemindahan buah pinggang. Akibat keterujaan dan keinginan untuk hamil maka ibu, kakak dan abang sedia berkorban mendermakan buah pinggang mereka. Malangnya selepas beberapa ujian, didapati ketiga-tiga buah pinggang mereka tidak serasi membuatkan transplan tidak boleh dilakukan.

“Tipulah jika saya tidak sedih. Saya ambil masa untuk terima dugaan ini. Tetapi saya dikelilingi suami dan keluarga yang tidak putus memberikan semangat membuatkan saya yakin mampu menghadapi semua ujian ini dengan sabar. Saya buang semua kesedihan itu dan kembali kepada Allah. Ucapan reda bukan setakat di bibir tetapi paling manis apabila terkesan ke hati.

“Saya rasa kuat apabila memikirkan kesanggupan ahli keluarga untuk mendermakan buah pinggang mereka. Saya yakin ada sesuatu yang Allah sediakan untuk saya. Saya perlu kuat menerimanya,” katanya memujuk diri.

Bagai ada sinar pada matanya apabila dia memberitahu begitu terharu dan bersyukur kerana kini memiliki seorang anak angkat perempuan berusia enam tahun yang menjadi penyeri keluarga.

AKTIVITI TIDAK TERBATAS

Mengakui seorang yang lasak dan berdikari, dialisis langsung tidak membataskan pergerakannya. Malah hobinya yang gemar melancong tetap diteruskan walaupun terpaksa mengikut jadual ketat dialisis.

Selain menjalani dialisis di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, setakat ini dia sudah mengikuti rawatan di beberapa pusat dialisis berbeza di luar negara seperti United Kingdom (UK) apabila perlu mengikut suami menyambung pengajian di sana, juga Itali dan Jerman.


“SAYA rasa kuat apabila memikirkan kesanggupan ahli keluarga untuk mendermakan buah pinggang mereka,” kata Safura.

“Segalanya mudah sahaja, sebelum berangkat ke UK saya membuat pencarian di Internet pusat dialisis terhampir dan mula mengikuti prosedur yang perlu diikuti. Sebaik tiba di sana saya terus berkunjung ke pusat dialisis, mendaftar dan menjalani rawatan yang sama setiap tiga kali seminggu.

“Alhamdulillah sepanjang empat tahun di UK, kesihatan saya berada dalam keadaan baik. Saya bersyukur kerana Allah memudahkan semua urusan ketika menjalani dialisis di luar negara,” katanya.

Biarpun terpaksa menghabiskan seusia hidupnya dengan dialisis, wanita ini tidak menganggap ia sebagai bebanan, buktinya sepanjang temu bual berlangsung perkataan ‘enjoy your life’ sentiasa meniti di bibirnya.

Bagi Safura, diri sendirilah yang mencorakkan kehidupan sama ada gembira, bahagia atau sebaliknya. Jangan jadikan rawatan sebagai bebanan. Lakukan aktiviti harian seperti biasa, makanlah apa yang anda ingin makan dan hidup seperti orang lain.

“Memang benar secara teori kita perlu jaga kesihatan, perlu pantang itu dan ini. Tetapi hakikatnya berapa lama kita perlu berpantang? Adakah sehingga akhir hayat? Jika ia membuatkan diri menderita dan tidak gembira, lupakan. Namun, ini bukan bermakna kita boleh makan apa sahaja seakan-akan tiada hari esok.

“Makan secara sederhana dan seminimum mungkin. Hanya kita yang faham kesihatan diri sendiri. Jika rasa tidak sihat berehat dan beriadahlah. Paling penting pastikan ada bunga dalam hati, ada ceria dalam diri dan gembira mewarnai diri. Inilah yang saya amalkan bagi memastikan kesihatan berada dalam keadaan yang baik,” katanya mengakhiri perbualan.

MAIZURA KUAT DEMI ANAK

“Ketika anak saya Mohd Amirul Rosli berusia dua tahun, kedua-dua kaki saya bengkak secara tiba-tiba. Saya menjalani pemeriksaan di hospital dan ujian darah menunjukkan saya menghidap SLE atau penyakit lupus yang menjadi punca kerosakan buah pinggang,” demikian menurut Maizura Mohd Mansor, 48, yang kini menjalani dialisis sejak pertengahan 2018.

Menceritakan lebih lanjut, menurut Maizura akibat SLE yang dideritainya menyebabkan matanya mulai kabur sehingga memaksanya menjalani pembedahan bagi memasukkan kanta, sendi mengalami kesakitan dan bengkak pada kaki. Lama-kelamaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa di masukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Selama tiga bulan juga saya ditahan di wad disebabkan perut yang semakin membengkak. Alhamdulillah keadaan semakin stabil dan saya dibenarkan keluar tetapi masih perlu menjalani pemeriksaan lanjut dan mengambil ubat-ubatan,” katanya.

Namun tidak sangka, hampir 20 tahun menjalani kehidupan sihat sama seperti orang lain, tiba-tiba kaki Maizura bengkak semula. Ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan bengkak kakinya dan memaksa dia dimasukkan ke hospital. Selepas pemeriksaan doktor mendapati ia disebabkan buah pinggangnya sudah mengecut dan fungsinya cuma tinggal lima peratus sahaja.

“Apabila doktor memberitahu dialisis sebagai rawatan terakhir saya terus menangis. Saya membayangkan terpaksa bergantung kepada mesin sehingga akhir hayat. Mulanya saya menolak tetapi mengenangkan anak yang menangis dan merayu supaya saya meneruskan rawatan ini membuatkan saya akur,” katanya sayu.

Akhirnya Maizura bersetuju menjalani dialisis di Hospital Pusrawi pada 2018. Bermula detik itu dia terpaksa mengubah jadual harian bagi memenuhi jadual dialisis tiga kali seminggu.

“Kali pertama tebukan sementara dibuat di leher bagi memasukkan tiub khas, kemudian pada dada dan kini pada tangan kiri saya. Mulanya saya berasa kurang selesa apatah lagi perlu menunggu empat jam sehingga proses dialisis selesai. Ia agak memenatkan. Banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan tidur. Selepas enam bulan badan mula menerimanya. Kini hampir setahun semuanya dapat dilalui dengan baik,” katanya.


MAIZURA berazam untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, mengelak daripada tertekan dan berada dalam keadaan gembira.

Dia yang masih bekerja bersyukur kerana ketua jabatan sangat memahami dan memberikan pelepasan untuk rawatan. Tiga kali seminggu Maizura menjalani dialisis bermula jam 10 pagi sehingga 3.30 petang dan selepas itu terus pulang ke rumah. Setakat ini Maizura dapat mengatur jadual kerja dengan baik dan tidak membebankan rakan setugas.

Walaupun semangat dan kekuatan datang daripada anaknya yang kini berusia 28 tahun, Maizura mengakui ada kala dia sangat sedih mengenangkan pengorbanan Amirul setakat ini.

“Dia sentiasa memastikan saya gembira. Dia juga mengaturkan makan dan minum serta menghalang saya berpantang sekiranya itu membuatkan saya tertekan. Sering kali ucapan sayang dan tidak mahu kehilangan saya diucapkannya yang membuatkan saya berasa sedih.

“Pernah dia menyuarakan hasrat ingin mendermakan buah pinggangnya kepada saya. Tetapi saya menolak kerana memikirkan dia belum berkahwin. Tambahan pula dia anak tunggal. Saya bimbangkan masa depannya jika berlaku sesuatu kepada saya,” kata Maizura.

Kini Maizura berazam untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, mengelak daripada tertekan dan berada dalam keadaan gembira. Jika apa yang dilakukannya ini mampu membuatkan Amirul bahagia Maizura rela.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:00 AM