1. Angkat punggung ke atas
Susunan Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

TERDAPAT banyak jenis senaman yang boleh dilakukan ibu yang sedang menghitung hari untuk bersalin. Walaupun dalam keadaan sarat, ibu digalakkan bergerak aktif supaya tubuh sentiasa dalam keadaan cergas, kuat dan bertenaga.

Selain mengerjakan rutin di rumah, senaman ringan yang boleh mengeluarkan sedikit peluh juga boleh dilakukan ketika lapang. Ajak suami atau teman untuk ikut serta jika beriadah di taman.

Penting diingatkan supaya ibu tidak bersenam secara berlebihan dan minum air secukupnya. Berhentilah sekiranya tubuh berasa penat, tidak selesa atau berlaku pendarahan.

Berikut lima jenis senaman yang boleh lakukan di rumah atau di taman. Gerakan yang dikongsikan my.theasianparent.com ini antara yang bagus untuk memudahkan proses bersalin.

1. Angkat punggung ke atas

Senaman untuk mudah bersalin pertama adalah mengangkat punggung ke atas. Ia mampu melatih dan menguatkan otot-otot dasar pinggul yang membuatkan proses kelahiran bayi menjadi mudah. Gerakan ini boleh dilakukan sambil berbaring. Lakukan selama tiga ke 10 minit. Ulang empat kali sehari.

2. Berjalan

Ini senaman paling mudah. Ramai pakar menyarankan supaya ibu lebih kerap berjalan kaki apabila usia kandungan mencecah trimester ketiga. Senaman ini dipercayai membantu merangsang bukaan pintu rahim lebih cepat, sekali gus menjadikan proses bersalin lebih mudah.

Lakukan senaman berjalan kaki ini sekerap mungkin kerana ia mampu membantu bayi masuk ke laluan keluar atau ke pintu servik.

3. Duduk mencangkung

Dalam keadaan tubuh yang relaks, berdiri tegak dan buka kaki dalam posisi yang selesa. Pastikan punggung diluruskan dan turunkan badan secara perlahan-lahan sehingga dalam kedudukan mencangkung.

Kemudian, tahan kira-kira 10 saat dan kembali duduk ke posisi asal. Ulangi senaman dan gerakan ini untuk membantu menguatkan otot paha dan pinggul.

4. Mengiring badan ke kiri dan ke kanan

Langkah seterusnya, ibu boleh mengiringkan badan ke sebelah kiri dan kanan. Latihan ini berupaya membantu meningkatkan kekuatan otot perut dan meredakan sakit pinggang, terutama ketika kandungan sudah mencapai trimester ketiga.

Mulakan dengan posisi merangkak dengan kepala sebaris punggung. Angkat kepala ke atas dan tahan nafas serta hembus perlahan-lahan. Senaman ini boleh dilakukan secara santai dan diulangi beberapa kali.

5. Duduk dalam posisi yoga

Posisi ini dipanggil sebagai kupu-kupu dalam senaman yoga, di mana aktiviti senaman ini dilakukan sambil duduk di lantai dan punggung lurus ke dinding.

Seterusnya kedua telapak kaki menyentuh rapat dan lutut pula menyentuh lantai. Kebaikannya untuk melatih otot paha dari menghilangkan tekanan punggung kala ibu sedang mengandung.

Senaman boleh dilakukan 10 hingga 20 kali sehari.

Pastikan ibu tidak melakukan aktiviti senaman lasak yang lain kerana bimbang terlalu penat sehingga mendatangkan tekanan kepada bayi dalam kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:48 AM