NUR Nishat lihat kerjaya suri rumah sepenuh masa dalam perspektif lebih jauh. -Foto NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

EPISOD duka yang menerjah masuk dalam kehidupan wanita ini empat tahun lalu tidak pernah sedikit pun menggugat rasa syukur dan terima kasihnya terhadap nikmat diberi Allah SWT.

Biarpun terpaksa melupakan cita-cita, kerjaya dan pendapatan selesa, Nur Nishat Shaikh Dawood, 41, sedar rencana Yang Maha Esa lebih indah daripada angan-angan mahupun kemahuan dirinya.

Menurut ibu empat anak ini, dia tidak kecewa, apatah lagi menyalahkan takdir. Baginya, setiap yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Tanpa dugaan dan ujian, dia mungkin masih leka dengan komitmen kerja.

Bercerita mengenai latar belakang dirinya, Nur Nishat berkata, dia adalah graduan Kejuruteraan Alam Sekitar dari universiti di Melbourne, Australia. Sebaik tamat pengajian, wanita ini berkhidmat sebagai jurutera di Malaysia LNG (MLNG) di Bintulu, Sarawak.

“Selepas berkahwin, saya berpindah ke Petronas Research Sdn Bhd di Bangi dan berkhidmat sebagai Eksekutif Keselamatan Kesihatan. Sepanjang tempoh 10 tahun di sana, saya sangat sukakan kerjaya dan komited dalam tugas.

“Namun, penghujung 2015, anak sulung mula kerap mengadu sakit kepala. Pada awalnya, saya cuma ambil ringan, menasihatkannya supaya makan ubat dan berehat. Saya bawa dia ke hospital dan kami berjumpa doktor termasuk pakar telinga, hidung dan tekak.

“Alhamdulillah, anak nampak beransur baik selepas rawatan dan makan ubat. Sehinggalah suatu hari, dia mengalami muntah teruk dan

tiba-tiba pengsan

di rumah. Di hospital, dia mengalami sawan dan doktor menasihatkan supaya menjalani imbasan CT (Computed Tomography).

“Di situlah bermulanya kehidupan sukar buat kami sekeluarga. Anak sulung yang ketika itu baru sembilan tahun disahkan mempunyai ketumbuhan sebesar saiz telur di dalam otak. Saya terduduk, hilang kata-kata. Anak pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana terlalu kerap mengalami sawan,” katanya.

Sekalipun masih sukar menerima kenyataan, Nur Nishat dan suami tetap berusaha memikirkan jalan terbaik untuk menyelamatkan anak kesayangan. Dari ICU Hospital Serdang, mereka berpindah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (dulunya HUKM). Di sana, wanita ini bertemu doktor pakar kanak-kanak yang merawat anaknya.

“Kata doktor, anak saya perlu diletakkan dalam keadaan koma kerana terlalu kerap sawan apabila sedar. Di rumah, tiga anak lain terpaksa diletakkan di bawah jagaan pembantu. Saya di ICU menjaga anak sulung, sementara suami berulang-alik memastikan semua keperluan di rumah dan hospital mencukupi.

“Dalam tempoh itulah saya memohon cuti tanpa gaji. Kebetulan cuti yang ada hanya berbaki sebulan setengah, jadi saya habiskan semuanya sementara menunggu anak di hospital. Selepas pembedahan berjaya, saya nekad menghantar notis berhenti.

“Walaupun notis sepatutnya dihantar dua bulan sebelum, majikan memahami keadaan saya yang terpaksa menjaga anak sakit. Kebetulan anak juga memerlukan pemerhatian khusus dan rawatan susulan berikutan pembedahan hanya membuang 80 peratus daripada tumor,” katanya.

PERUBAHAN BESAR

Memandangkan sudah terbiasa dengan rutin kerja di pejabat, Nur Nishat mengaku dia tidak dapat lari daripada berasa agak kekok apabila menguruskan anak 24 jam di rumah.

“Walaupun pembantu rumah ada, suasana tetap berubah. Saya bukan sekadar perlu memberi perhatian kepada anak sulung yang sakit, bahkan tiga lagi anak berubah laku menjadi begitu manja. Masing-masing mahukan perhatian.

“Mujur juga anak sulung melalui fasa pemulihan agak cepat. Bagaimanapun, kehidupannya tidak lagi sama seperti dulu. Memandangkan ketumbuhan di otaknya menghimpit kelenjar pituitari, berlaku ketidakseimbangan hormon dalam tubuhnya. Dia kerap ke tandas apabila minum air dan terpaksa mengambil ubat setiap hari.

“Namun, anak yang lain tidak mahu kalah. Mereka juga seakan-akan berebut mahukan perhatian lebih. Sedikit sebanyak, ia memberi tekanan buat diri kerana perlu melayan semua kerenah dalam satu masa. Ketika ini, saya kerap hilang pertimbangan dan jadi mudah marah. Syukurlah ada keluarga yang menghulurkan tangan untuk membantu mengurangkan beban perasaan,” katanya.

Tidak mahu mengalah dengan situasi, Nur Nishat cuba mencari ruang untuk memahami setiap yang berlaku di sekelilingnya. Dia mula sedar menjadi suri rumah adalah karier baru memerlukan pengurusan kerja yang baik.

“Bayangkan, saya perlu mengajar anak yang sakit kerana tidak mahu dia tercicir dalam pelajaran, mengadaptasi semua tugas dan tanggungjawab sebagai suri rumah serta memahirkan diri dalam segenap perkara.

“Carian Google banyak membantu. Saya terpaksa belajar dari mula - cara menjadi seorang ibu yang menggalas semua tugas di rumah. Saya rujuk kawan dan keluarga. Dugaan jadi bertambah berat apabila pembantu rumah pula memohon berhenti kerja.

“Kalau dulu saya tidak pernah kisah dengan alat mainan yang berterabur kerana dikemas orang gaji, akhirnya semua kerja remeh terpaksa saya buat sendiri. Mahu atau tidak, saya belajar mendisiplinkan anak melakukan kerja rumah yang ringan. Saya latih mereka bertanggungjawab dan berdisiplin.

“Pada permulaan, memang tekanannya cukup besar. Saya mengambil masa hampir setahun untuk mahir dengan selok-belok kerja rumah dan memahami rentak kerjaya sebagai suri rumah. Alhamdulillah, sekarang anak juga sudah semakin membesar dan mereka banyak membantu,” katanya.

Kata Nur Nishat, walaupun majikan membuka peluang untuk kembali berkhidmat di syarikat berkenaan selepas tiga tahun berhenti, dia memutuskan untuk kekal menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Kalau hendak diikutkan, saya memang teringin untuk kembali bekerja. Tetapi, apabila difikirkan setiap yang berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan itu, saya mahu melakukan apa yang saya mahu. Saya melihat kerjaya suri rumah dalam perspektif yang lebih jauh.

“Ia bukan sekadar suri rumah, tetapi mempunyai gerak kerja tersendiri yang perlu difahami, dilakukan dengan ilmu dan pengetahuan serta diurus dengan bijaksana. Tahun lalu, saya abaikan peluang untuk kembali bersama Petronas.

“Syukur, saya tiada rasa sesal. Saya percaya, jika kita mampu berpegang kepada prinsip, selalu sabar dan bersyukur dengan ujian mahupun dugaan, pasti Allah SWT beri nikmat yang tidak dijangka. Saya gembira melihat anak membesar di depan mata. Lebih dari itu, saya juga berbangga kerana berjaya menguruskan kerjaya sebagai suri rumah dengan baik.

“Dengan izin Allah SWT, jika ada rezeki, saya mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kembali bekerja satu hari nanti. Itu pun selepas anak besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 5:00 AM