Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

PADANAN sut juruterbang hijau gelap yang tersarung kemas pada tubuh dua wanita ini sememangnya memancarkan aura tersendiri. Apatah lagi apabila berdiri megah di samping pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sinonim digunakan dalam pelbagai fungsi penerbangan.

Bagi Mejar Nuralisa Hasneeda Jabar, 42, dan Mejar Rosnalisa Fitri Mohammed Rosli, 32, walaupun kerjaya juruterbang sinonim dengan kaum Adam, mereka membuktikan juruterbang wanita tetap setanding dan menunjukkan prestasi cemerlang sama seperti lelaki dalam memelihara kedaulatan negara di awan biru.

Berbicara dengan Mejar Nuralisa Hasneeda, anak kelahiran Johor Bahru ini sememangnya dia memiliki ketegasan dan keyakinan tinggi. Namun di sebalik perwatakannya ini tersimpan ciri kelembutan sesuai gelaran seorang isteri dan ibu kepada empat cahaya mata.

Tatkala disuakan soalan mengenai pemilihan kerjaya juruterbang, pantas dia mengakui sejak kecil teruja melihat ayah yang bertugas sebagai inspektor polis manakala ibu jururawat segak beruniform.


MEJAR Nuralisa membuat pemeriksaan sebelum penerbangan.

“Melihat disiplin yang ditunjukkan ibu dan ayah, saya cukup terkesan. Lantas saya sematkan tekad untuk memilih kerjaya dalam pasukan beruniform. Ibu tidak membantah malah memberikan galakan. Tambah pula di sekolah saya aktif dalam bidang olahraga, bola jaring dan tenis. Jadi jiwa sangat kuat untuk meneroka kerjaya dalam bidang ketenteraan,” katanya yang ditemui di TUDM, Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

Menjalani latihan di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar, Kedah selama tiga tahun dalam jurusan Mekanikal Aeronautik dan setahun setengah di Pulatibang 1, ia memberikan pengalaman yang cukup mencabar namun sukar dilupakan.

“Akhirnya dengan semangat dan sokongan keluarga saya ditauliahkan Leftenan Muda pada 1998 bersama dua lagi juruterbang wanita dan 35 juruterbang lelaki. Saya cukup teruja kerana tidak ramai juruterbang wanita ketika itu. Jadi saya perlu menunjukkan prestasi setanding atau lebih baik daripada lelaki,” katanya.

Katanya, walaupun dari segi fizikal kemampuan wanita terbatas, juruterbang wanita lebih berkemahiran mengendalikan pesawat. Ini disebabkan perwatakan mereka yang lembut dan teliti membuatkan pesawat mampu diterbangkan dengan ‘tenang’ dan mendarat tanpa sebarang gegaran kuat.


MEJAR Nuralisa sejak kecil teruja melihat ayah bertugas sebagai inspektor polis manakala ibu jururawat.

Kali pertama membawa PC7 cukup mendebarkan. Lama-kelamaan perasaan gementar dan takut itu hilang, disusuli keterujaan ketika mengendalikannya. Selain PC7, Mejar Nuralisa turut membawa Cessna dan B200T yang ditugaskan menjaga perairan Labuan serta terbabit dalam Ops Daulat di Lahat Datu, Sabah serta Pulau Batu Puteh.

Memiliki empat cahaya mata berusia 19 tahun hingga tujuh tahun, jelas srikandi negara ini, pada awal bergelar juruterbang agak mencabar kerana dia perlu membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga. Apatah lagi apabila suami turut bekerja dalam lapangan yang sama.

“Kami terpaksa mengambil pembantu rumah bagi menguruskan anak yang masih kecil. Alhamdulillah semuanya dapat dirancang dengan baik. Kami mendapat pembantu rumah yang bertanggung jawab dan menjaga seperti anak sendiri. Malah selepas kelahiran anak ketiga dan keempat suami pula bersara dan bertukar ke syarikat penerbangan Malaysia.

“Jadi saya menghantar anak kepada pengasuh yang dapat menjaga anak sepenuhnya apabila saya perlu bertugas di luar kawasan dalam tempoh yang panjang. Saya akui kerjaya ini memerlukan sistem sokongan yang tidak berbelah bahagi terutama daripada keluarga. Malangnya keluarga saya berada jauh di Johor, jadi saya terpaksa mengharapkan bantuan suami dan orang sekeliling,” jelasnya.

Cabaran ketika hamil turut memberikan tekanan kepada Nuralisa. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk memberikan yang terbaik dalam kerjaya.

Selagi masih berupaya memakai sut juruterbang dan tidak berhadapan masalah kesihatan, wanita hamil masih boleh menerbangkan pesawat.

“Saya masih mengendalikan pesawat ketika hamil empat bulan sehinggalah sut juruterbang tidak muat barulah saya ditugaskan di bahagian pentadbiran,” katanya tersenyum.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, Nuralisa menyatakan kebanggaannya dengan pembabitan lebih ramai wanita dalam kerjaya yang dipelopori lelaki seperti juruterbang.

“Apa yang penting adalah kekuatan mental bagi memastikan wanita mampu berhadapan semua cabaran sama ada ketika latihan dan bidang kerja sebenar,” katanya yang kini turut menjadi jurulatih di Pusat Latihan Terbang Taktikal Angkut (PLTT) bagi melahirkan lebih ramai juruterbang berkebolehan dan bersemangat tinggi.

AKTIF SEJAK SEKOLAH

Bagi Mejar Rosnalisa Fitri atau lebih mesra dipanggil Mejar Fitri, aktiviti lasak memang menjadi minatnya sejak di bangku sekolah. Sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wanita kelahiran Kelantan ini terus ditawarkan mengikuti diploma Mekanikal Aeronautik di Kolej Ketenteraan Udara (KTU) di Alor Setar, Kedah pada 2005 seterusnya mengikuti latihan penerbangan di Pulatibang 1 pada 2008 hingga 2011.

Mengakui seorang yang berani dan bersemangat tinggi, sejak kecil dia sudah menanam impian bergelar juruterbang. Walaupun dalam keluarga tiada adik-beradik terbabit dalam kerjaya ini, sokongan ayah dan ibu membuatkan dia bersemangat untuk mencuba.

“Walaupun hanya saya seorang terbabit dalam ketenteraan dan menjadi juruterbang namun ibu tidak pernah menghalang. Mungkin disebabkan sejak kecil saya aktif dan lasak membuatkan ibu tidak khuatir dengan isu keselamatan sebaliknya menaruh sepenuh kepercayaan yang saya akan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, lebih memberikan keyakinan sepanjang berada di KTU dia dapat melakukan semua latihan dengan baik. Begitu juga ketika kali pertama memandu pesawat. Ia cukup mendebarkan namun semuanya dalam keadaan terkawal. Apa yang penting adalah persediaan sebelum memulakan perjalanan dan mematuhi semua operasi standard yang ditetapkan, selebihnya berserah kepada Allah.

“Ketika latihan kami perlu memandu pesawat sendiri. Kali pertama pelbagai perasaan datang. Ada rasa teruja, gembira dan mendebarkan. Namun semuanya dapat dilakukan dengan baik,” katanya.


MEJAR Fitri tidak pernah menyesal dengan kerjaya yang dipilih.

Selepas tamat latihan dia yang ditugaskan memandu pesawat pelbagai fungsi C130 cukup teruja apabila diberi peluang buat kali pertama mengendalikan pesawat ini. Bersama pesawat ini Mejar Fitri pernah mengikuti pelbagai misi kemanusiaan dalam dan luar negara.

“Sepanjang bertugas saya pernah menyertai misi kemanusiaan ke Manila dan Kathmandu, India pada 2014. Sebelum operasi bermula saya perlu mengikuti semua operasi standard yang ditetapkan dan memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada perkara tidak diingini berlaku. Cuma cabarannya saya perlu berhadapan cuaca buruk ketika operasi berlangsung. Jika mengesan cuaca tidak elok, kami akan elak untuk terbang ketika itu atau mengelak melalui laluan itu,” katanya yang memandu pesawat tentera dengan pelbagai misi seperti membawa penumpang, barang keperluan dan aset tentera.

Bagi Mejar Fitri dia tidak pernah menyesal dengan kerjaya yang dipilih sebaliknya sentiasa ingin memajukan diri, menambah pengalaman dan ingin terus belajar dalam bidang penerbangan.

“Walaupun jumlah juruterbang wanita sangat kecil berbanding lelaki tetapi kami membuktikan mampu berdiri setanding lelaki malah lebih baik dalam sesetengah keadaan,” katanya.

Ditanya mengenai jadual yang padat, bagi wanita ini semuanya dapat dirancang dengan sempurna serta memberikan komitmen yang baik dalam kerjaya. Jika ada rasa tertekan, keluarga dan kawan akan memberikan semangat untuk bangkit semula.

“Tipulah jika tidak rasa tertekan, namun saya dikelilingi rakan yang mempunyai jiwa dan komitmen yang sama. Jadi kami saling memberi semangat antara satu sama lain,” katanya yang sentiasa memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik bagi memastikan memenuhi syarat lengkap sebagai juruterbang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:00 AM
MEJAR Rosnalisa Fitri Mohammed Rosli dan Mejar Nuralisa Hasneeda Jabar (kiri) di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam. FOTO Aziah Azmee