BIARPUN hampir 15 tahun jadi guru, Cikgu Romie masih bersemangat mengajar di sekolah dan YouTube.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

“DULU saya benci dengan subjek Matematik. Apabila cikgu di depan menyebut dan menulis nombor, mata seperti ada suis yang cuba menutupnya. Sehinggalah cikgu berambut belah tengah ini masuk ke kelas saya.

“Beliau berdiri tersengih di depan kelas dengan layar hijau di belakang. Kiri kanan, atas bawah, dikelilingi kamera. Pengajaran beliau mudah difahami. Tambahan pula dibantu dengan teknologi layar hijau yang menjadikan sesi pembelajaran saya dan rakan amat berbeza. Lebih membanggakan, Cikgu Romie bukan sekadar mengajar kelas kami saja, malah kami berkongsi dengan ramai murid di Malaysia.”

ANTARA videonya di Youtube.

Itu antara komen pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Teluk Intan, Perak, Nur Aliah Mohd Azahar, ketika mencalonkan guru Matematiknya, Romizal Amir Rosdi dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2018.

Mengenali Romizal menerusi beberapa video pengajaran yang dimuat naik di laman YouTube Cikgu Romie, beliau bukanlah calang-calang guru. Ketika ramai pendidik memfokuskan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah, Romizal melakukan lebih daripada itu.

Dia mengajar, merekodkan video dan berkongsi ilmu dengan pengguna laman sosial berkenaan. Anak didiknya bukan saja pelajar di sekolah, bahkan mereka yang mengikuti mata pelajaran sama di seluruh Malaysia.

Kata Romizal, dia gembira kerana usahanya untuk mendekati pelajar mendapat maklum balas positif. Ada yang memberi komen positif, tidak kurang juga yang memberi kritikan membina. Semua itu diambil untuk memperbaiki setiap kelemahan dalam pengajarannya di sekolah.

“Sebenarnya saya mula mengajar sejak 2004. Kemudian aktif di YouTube sejak 2009. Idea memuat naik video ini timbul selepas melihat senario yang berlaku dalam kalangan remaja, khususnya pelajar.

“Mereka banyak menghabiskan masa memegang dan membelek isi telefon bimbit. Saya percaya, sesiapa pun tidak mungkin dapat menghalang perkembangan arus teknologi semasa. Pelajar tetap cenderung menggunakan gajet tidak kira di mana-mana.

“Jadi, kalau tidak boleh halang, saya perlu mendekatkan diri dengan ‘masuk’ ke dalam skrin telefon bimbit mereka. Di situlah ia bermula. Saya berjumpa pelajar menerusi laman sosial dengan membawa isi pengajaran di sekolah,” katanya.

MINAT MENGAJAR

Meneliti semula latar belakang bapa kepada empat anak ini, Romizal rupanya mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia.

Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak ini pernah bergelar jurutera untuk tempoh setahun saja sebelum menyambung pengajian di Maktab Perguruan Teknik Cheras.

CIKGU Romie turut membantu pelajar di dalam kelas.

“Bidang kejuruteraan terlalu sunyi. Saya banyak bekerja dengan mesin berbanding berjumpa orang. Sedangkan saya pula seorang yang lebih suka bergaul. Bak kata emak, eloklah saya jadi guru.

“Sebab itulah saya nekad terjun ke bidang perguruan dan gembira kerana dapat mencurah bakti dan ilmu kepada pelajar sekolah sebagai guru Matematik dan Lukisan Kejuruteraan,” katanya.

Biarpun selepas hampir 15 tahun menjadi guru, Romizal masih bersemangat mengajar di sekolah dan YouTube. Dia langsung tidak terbeban dengan usahanya, bahkan begitu seronok apabila ada ibu bapa yang memberi maklum balas, mengatakan mereka turut mengikuti sesi pembelajaran dalam talian sebelum mengajar anak di rumah.

“Biasanya di kelas, saya akan siapkan satu bilik, susun kamera dan letak layar hijau di belakang. Masa mengajar, saya akan rakam terus. Video ini tak perlu disunting, sebaliknya boleh terus dimuat naik atau dikongsi dengan pelajar di kelas yang membawa pemacu pena.

“Mereka boleh tonton untuk ulang kaji dan memahami apa yang diajar di rumah. Secara tidak langsung, ini menjimatkan masa dan paling penting mampu menarik minat mereka untuk belajar,” katanya.

ANTARA pencapaian membanggakan sepanjang bergelar guru.

Memandangkan terlalu banyak video sudah dimuat naik, Romizal berkata, dia kini menyediakan pelekat QR Code untuk memudahkan pelajar mendapatkan penjelasan topik yang diajar menerusi buku teks di laman YouTube.

“Kalau mereka masih tidak faham dengan apa yang diajar dalam muka surat berkenaan di sekolah, pelajar boleh mengimbas kod berkenaan dan terus ke video berkaitan.

“Setidak-tidaknya, kaedah pembelajaran sebegini boleh diulang-ulang mengikut keperluan pelajar itu sendiri. Saya sebagai guru akan terus memuat naik video daripada topik yang sama dengan pembaikan, olahan dan kaedah penyampaian yang berbeza.

“Dengan cara ini juga saya boleh memperbaiki kualiti diri. Kadang-kadang, dalam satu video itu ada perkara yang tertinggal, kurang penumpuan atau kelemahan yang masih boleh diperbetulkan. Saya juga boleh lihat semula dan menilai kembali prestasi diri,” katanya yang turut pernah dinobatkan sebagai Guru Inovatif Kebangsaan KPM 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:30 AM