DR Mukhlis Idris. -Foto/Nur Adibah Ahmad Izam
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Melalui pengalaman menyakitkan ketika menjalani rawatan kemoterapi dan transplan stem sel sekitar 2012 selepas disahkan menghidap kanser limfoma sesuatu yang sukar dilupakan. Bagi Mukhlis Idris, 37, ketika doktor memberitahu jangka hayatnya tidak lama dan meminta dia berserah kepada Allah adalah saat paling menyedihkan.

“Ketika itu saya perlu menjalani kemoterapi yang kuat selama enam hari berturut-turut. Saya umpamakan sakitnya kemoterapi ini berganda-ganda daripada demam panas. Saya dikuarantin selama 24 hari dan dipantau sepenuhnya oleh jururawat. Kulit bertukar hitam seperti terbakar, kesakitan ketika membuang air kecil dan kulit bagai disiat pedih adalah penderitaan yang dialaminya sepanjang berjuang melawan kanser.

“Ketika doktor menunjukkan keputusan terakhir dan meminta supaya berserah kepada Allah ia adalah saat yang sukar diluahkan. Tergamam sehingga tidak mampu meluahkan rasa.

“Namun jiwa saya sangat teguh dan kuat. Dalam fikiran langsung tidak terlintas mengenai kematian sebaliknya wajah tua ibu yang menanti dengan penuh kesayuan terlintas di fikiran. Saat itu saya terbayang belum menunaikan harapan mereka untuk melihat saya berjaya bergelar doktor.

“Ketika itu juga saya memohon dengan penuh kesungguhan agar Allah memberikan peluang meneruskan hidup untuk berbakti kepada orang tua. Malah jika sembuh saya berjanji membantu penghidap kanser berjuang melawan sel jahat ini,” katanya yang menjalani kemoterapi sebanyak 19 kali.

Selepas 24 hari, sedikit demi sedikit kesihatan Mukhlis bertambah baik sehinggalah pada Oktober 2013 selepas menjalani ujian imbasan PAT doktor mengesahkan dia bebas kanser sepenuhnya.

“Kali pertama saya menangis kegembiraan kerana Allah mendengar rintihan saya dan memberikan peluang kedua untuk hidup. Saya berjanji menjadi hamba Allah yang taat kepada-Nya dan memberi nilai kepada orang lain,” katanya yang perlu menjalani rawatan susulan sekali sebulan.

Setiap kali pemeriksaan keputusan sangat memberangsangkan. Ini kerana sebagai doktor, dia banyak membaca dan memiliki pengalaman dalam bidang perubatan sekali gus membuatkan anak muda ini mampu memikirkan kaedah terbaik untuk memulihkan kesihatannya.

“Saya banyak mengambil ulam-ulaman, makanan sunnah, air lemon, mengelak daging merah dan makanan segera. Badan akan menunjukkan reaksi negatif sekiranya makanan itu tidak sesuai dengan saya,” katanya yang langsung tidak mengambil sebarang makanan tambahan.

Anak ketiga daripada lima beradik ini mengakui selain menjaga pemakanan ‘ubat’ paling mujarab adalah sokongan dan doa ibu. Memang ini ada kebenarannya. Setiap kali melalui kesakitan, anak kelahiran Pulau Pinang ini terus menelefon ibu meminta agar didoakan supaya kembali sihat.

“Keluarga saya sangat positif ketika menerima berita mengenai kanser. Namun ada dalam kalangan rakan mula menjauhkan diri malah, ada antara mereka yang menangis lebih teruk daripada saya membuatkan saya kurang selesa.

“Bagi pesakit kanser masyarakat perlu lebih memahami dan mengerti mengenai penyakit ini serta keadaan pesakit. Ada kala kata-kata semangat yang ingin diberikan namun meninggalkan kesan emosi kepada pesakit kanser,” katanya.

Katanya, persepsi masyarakat mengenai pesakit kanser juga perlu diubah mulai sekarang. Masyarakat umumnya perlu sedar menghidap penyakit kanser tidak semestinya membawa seseorang itu terus kepada kematian dan itu adalah anggapan yang salah dan tidak boleh diterima lagi.

“Lihat hari ini, ramai pesakit kanser berjaya sembuh dan mulakan hidup secara normal. Itulah pentingnya tentang kefahaman yang jelas mengenai penyakit ini dan berhenti daripada membuat andaian yang tidak benar,” katanya.

Dia yang memiliki ijazah perubatan dan pembedahan dari Universiti Cardiff, United Kingdom hanya sempat bergelar doktor selama empat bulan selepas ditempatkan di Hospital Selayang. Walaupun tidak lagi menyambung cita-cita sebagai doktor, dia tidak menyesal kerana kesihatan lebih diutamakan.

Jadi jurumekap sepenuh masa

Mukhlis yang kini menjadi jurusolek sepenuh masa mengakui minat dan bakat dalam bidang ini datang secara tidak disangka. Ketika sedang menjalani kemoterapi dia menghasilkan solekan dan memuat naik gambar menerusi Instagram. Tidak sangka solekannya menarik perhatian selebriti terkenal sehingga dia diundang untuk menyolek wajah mereka.

“Bermula daripada situ saya menemui ketenangan tatkala memegang berus dan pembayang mata. Saya dapat rasakan kerjaya ini sesuai dengan jiwa saya,” katanya yang mampu bermain piano dengan baik.

Sejak kecil dia yang mempunyai bakat melukis dan mewarna dengan baik mengakui tidak pernah mengikuti mana-mana kelas solekan atau belajar secara formal. Cuma dia banyak mempelajari menerusi YouTube untuk menambah ilmu solekan dan dandanan rambut. “Saya juga banyak berkawan dengan jurumekap profesional bagi mempelajari teknik solekan sekali gus meneruskan minat ini secara lebih serius,” katanya.


JURUSOLEK sepenuh masa selepas bebas kanser sepenuhnya.

Namun ketika muncul di khalayak ramai, dia menerima pelbagai pertanyaan. Ramai beranggapan bidang solekan langsung tidak kena dengan latar belakang sebagai doktor.

“Pada awalnya, ramai yang mempertikaikan kerjaya saya ini kerana dianggap sangat jauh menyimpang daripada landasan sepatutnya. Namun saya yakin apa yang dilakukan kini membuatkan saya lebih gembira dan ia secara tidak langsung membantu proses penyembuhan kanser dengan lebih cepat,” ujarnya.

Selain menerima undangan solekan daripada selebriti, Mukhlis turut terbabit dalam program tanggungjawab sosial bersama lebih 30 pesakit kanser.

“Program ini membabitkan kelas solekan secara percuma, kisah pesakit kanser dan mendapatkan panduan kesihatan yang dikongsi bersama. Saya dapati setiap pesakit ada kisah mereka sendiri. Setiap kali bersama berada dalam kelas solekan kelihatan wajah mereka kembali ceria dan tersenyum gembira. Inilah yang sangat diperlukan bagi setiap pesakit kanser agar harapan mereka dapat dikembalikan,” katanya.

Bagi Mukhlis, ketika bergelar doktor dia lebih percaya kepada perkara saintifik berasaskan perkara logik tetapi apabila menghidap kanser, rawatan hanya satu usaha sebaliknya sokongan keluarga dan doa adalah ubat paling mujarab bagi memanjangkan jangka hayat pesakit kanser.

Ingin membantu lebih ramai pesakit kanser pulih daripada kesakitan mereka, Mukhlis turut menubuhkan Mukhlis Cosmeceuticals yang akan mengeluarkan produk solekan dan barangan penjagaan wajah. Pada masa sama dia juga memasang impian memiliki Wisma Dr Mukhlis bagi membantu lebih ramai pesakit kanser dari segi sokongan emosi untuk pulih semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:30 AM