XAVIER (kanan) bersama Alfred menunjukkan kasut rekaan mereka.- Foto Nurul Syazana Rose Razman.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


KASUT bertumit dua hingga lima inci dengan rekaan moden dan versatil menjadi tanda pengenalan jenama Xalf yang dimiliki Xavier Mah, bersama rakan kongsi Alfred Hor.

Melihat sendiri seni pertukangan dan ketelitian pembuatan ternyata kedua-dua anak muda ini sangat mencintai seni rekaan kasut yang jarang dipelopori anak tempatan.

Mula memperkenalkan jenama ini sekitar Disember 2012 apabila berkolaborasi dengan jenama kereta mewah Bentley, ia sesuatu yang cukup membanggakan.

“Ketika mula memperkenalkan konsep kasut tempahan khusus atau bespoke, ia sangat mencabar. Tambahan pula Xalf sendiri menyediakan rangkaian sepatu tumit tinggi dengan ciri moden dan mewah,” katanya.

Setiap kasut rekaan jenama ini direalisasikan oleh empat artisan yang memiliki kepakaran dalam penghasilan kasut kulit. Keempat-empat artisan adalah warga tempatan berpengalaman yang menyertai bidang ini lebih tiga dekad lalu.

Cerita Xavier lagi, penghasilan kasut rekaannya tidak semudah yang disangka. Ini kerana dia sangat mementingkan kualiti sama ada bahan digunakan dan juga kerja tangannya.

Menggunakan material kulit asli yang pelbagai, kerja pertukangan bermula daripada mengambil ukuran, memotong, menjahit dan menampal sebelum kasut sedia untuk dicuba.

“Biasanya pelanggan akan memakai kasut buat kali pertama dan tukang kasut akan memperbaiki kekurangan sebelum proses terakhir disiapkan serta dihantar kepada pelanggan,” jelasnya.


ALFRED menunjukkan cara pembuatan kasut.

Disebabkan setiap kasut dihasilkan secara eksklusif, kerja terakhir mengambil masa bagi memastikan ia benar-benar sesuai ketika sepatu disarung pada kaki.

Kebanyakan kasut tumit tinggi tidak selesa dipakai untuk satu jangka masa yang lama namun berbeza bagi jenama ini kerana walaupun berukuran tinggi namun kasutnya mampu digayakan dalam semua keadaan.

Mengenai potongan dan material jelas Xavier, untuk mendapatkan kasut yang baik dan meyakinkan perlu memiliki ketinggian sekurang-kurangnya satu inci sehingga satu setengah inci. Ini bagi memastikan postur badan berada dalam kedudukan yang betul ketika berjalan.

Selain kualiti jenama ini juga menyediakan kasut dalam rona terang dan pastel. Ini bagi memberi lebih pilihan kepada wanita mendapatkan kasut idaman mengikut acara yang akan dihadiri.

“Sebenarnya ketinggian kasut sangat penting bagi memberi keselesaan ketika berjalan. Tapak kasut tidak boleh terlalu nipis kerana akan menyebabkan kaki mengalami kesakitan.

“Paling penting tulang kasut pada bahagian tengah perlu menggunakan material tahan lasak bagi menyokong beban tubuh. Tapaknya juga menggunakan kulit asli dengan lapisan sokongan yang tebal namun lembut agar pijakan tidak mencederakan kaki,” katanya yang pernah menjalin kolaborasi bersama jenama kereta mewah seperti Bentley, Lotus, Aston Martin dan McLaren dalam acara tahunan mereka.

TEKAD HASILKAN JENAMA SENDIRI

Menurut Xavier, kerjaya sebagai pereka kasut bermula sewaktu dia diundang menjadi jemputan bagi memeriahkan pertunjukan fesyen di New York.

“Ketika pertunjukan berlangsung, saya melihat beberapa model berdiri sambil menggayakan busana bersama sepasang sepatu tumit tinggi jingga yang sangat unik.

“Saya teruja dan terus bertekad untuk menghasilkan jenama kasut sendiri. Bagi saya pereka kasut lebih mencabar walaupun tidak banyak persaingan daripada anak tempatan. Ini kerana untuk mendapatkan kasut berkualiti dan dan selesa sangatlah sukar.


ANTARA bahan yang digunakan bagi membuat kasut Xalf.

“Berbeza dengan busana kerana ramai pereka yang ingin menjadikannya sebagai kerjaya. Lihat juga pelbagai jenis jenama yang dilancarkan saban bulan dan tahun,” ujarnya yang juga memiliki syarikat perhubungan awamnya sendiri.

Kini jenamanya menawarkan lebih 40 variasi kulit yang diimport dari pelbagai negara seperti India, Hong Kong, China, Itali dan Indonesia. Antaranya kulit lembu, kambing dan keldai termasuk reptilia seperti ular sawa.

Tampil dengan rekaan unik, jenama ini turut menjadi pilihan selebriti terkemuka dari dalam dan luar negara. Antaranya pelakon, Datuk Yasmin Yusoff; ikon fesyen, Tengku Chanela Jamidah, Ai Tominaga; pelakon dari Indonesia, Kimberly Ryder; model, pelakon dan penyanyi Malaysia, Amber Chia, Atikah Suhaime dan Nikki Palikat.


REKAAN kasut XALF.

PERINCIAN kasut XALF.

Sehingga kini, terdapat lebih 80 rekaan kasut wanita pelbagai jenis yang direka khas menepati ciri-ciri wanita kontemporari. Antaranya kasut sarung, sandal, baji, stiletto, but dan kasut tumit tinggi.

Terbaru, mereka melancarkan rangkaian sepatu mewah Belle yang diinspirasikan untuk wanita bergaya dan tampil jelita. Idea menghasilkan Belle tercetus ketika melancong ke New York, Paris dan Tokyo apabila dia terpesona melihat keyakinan wanita di sana yang tampil anggun mengenakan sepatu bertumit tinggi.

“Walaupun ada di antaranya memakai kasut bertumit setinggi lima dan enam inci namun mereka berjalan penuh yakin ke tempat kerja atau acara santai. Rona kasut pula bukan hanya pada palet pastel seperti hitam atau coklat sebaliknya warna terang seperti merah, kuning dan hijau,” katanya.

Untuk koleksi Belle, Xavier memberikan kelainan dengan menggunakan material kulit pada rona ceria seperti jingga, merah, biru, hijau dan merah pulasan.

Pada masa akan datang mereka bercadang untuk mengeluarkan kasut lelaki, kasut gaun dan kasut perkahwinan secara lebih khusus dan eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 5:30 AM