MAHU membuka kafe suatu hari nanti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SETIAP orang pasti mempunyai kenakalan sendiri ketika zaman persekolahan. Ponteng kelas, tidak mendengar arahan guru dan tak menyiapkan kerja sekolah antara kesalahan yang pernah dilakukan Muhammad Naim Ramli, 28.

Namun siapa sangka di sebalik ‘aksi nakal’ ketika zaman persekolahan, anak muda ini mula berubah peribadi sebaik mengenali dunia kulinari menerusi ibunya. Muhammad Naim atau mesra disapa Cef Naem mula dikenali selepas menjadi juara dalam program realiti masakan, Hero Oven pada 2016.

“Minat memasak bermula ketika berusia 13 tahun. Sebagai anak yang rapat dengan ibu, saya suka mengganggu ibu di dapur. Apabila dia memasak saya tolong membasuh pinggan, memotong sayur dan bawang.

“Bagi mewujudkan keceriaan di dapur, ibu sering menguji dengan meminta saya mengenal pasti bahan masakan yang digunakannya. Apabila saya dapat meneka dengan tepat, ibu tersenyum gembira,” katanya.

Menyedari minatnya mulai tercetus dalam bidang masakan pada usia 15 tahun, Cef Naem mula memasang impian bergelar tukang masak terkenal suatu hari nanti. Bagaimanapun, cita-cita itu dipendamkan sementara tanpa diketahui rakan dan guru di sekolah.

Mereka juga tidak pernah tahu yang dia juga mahir memasak dan boleh menyediakan pelbagai jenis masakan ringkas di rumah.


CEF Naem menjadi juara Hero Oven 2016.

“Memang saya rahsiakan kebolehan memasak kerana tidak mahu mereka mengejek atau mengeluarkan kata-kata nakal kerana dulunya saya aktif bersukan. Bentuk badan yang sasa dan sado mungkin mengundang pelbagai reaksi apabila saya memilih bidang kulinari sebagai kerjaya,” katanya.

Merealisasi cita-citanya sebagai cef selepas tamat tingkatan lima, Cef Naem yang mendapat sokongan ibu meneruskan pengajian dalam kulinari dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua di sebuah kolej swasta.

Kemudian dia mencari pengalaman dengan bekerja di restoran selama setahun sebelum berhenti untuk mengambil SKM tahap tiga.

Di sinilah kerjaya sebagai cef bermula apabila dia diterima bekerja di beberapa hotel terkemuka untuk menyediakan pastri, masakan Barat, Jepun dan Melayu selama hampir lapan tahun.

IBU SARAN SERTAI PERTANDINGAN

Jadual kerja yang padat, sehingga tiada masa mengikuti perkembangan semasa menyebabkan ibunya menyarankan Cef Naem menyertai pertandingan Hero Oven anjuran TV3.

“Mulanya memang saya tidak berminat kerana memikirkan masa yang terhad untuk menjalani uji bakat. Namun rayuan ibu yang inginkan kemunculan saya di kaca televisyen benar-benar membuatkan saya serba salah. Akhirnya saya mencuba nasib dan diterima sebagai peserta,” katanya memulakan cerita bagaimana bergelar cef selebriti.

Jelas Cef Naem, dia sebenarnya seorang yang pemalu dan tidak banyak bercakap. Apatah lagi sekiranya dikelilingi orang ramai. Namun apabila berjaya mengalahkan peserta lain dia berasakan inilah masanya untuk dia cuba melakukan sesuatu yang baru.

Selepas kemenangan, dia kembali meneruskan kerja di hotel. Ketika inilah konflik mula timbul apabila pihak pengurusan meminta Cef Naem memilih antara dua sama ada ingin fokus sebagai cef di hotel atau menjadi cef selebriti.

“Kedua-duanya sukar saya lepaskan namun satu perkara yang membuatkan saya terfikir, mengapa tidak mencuba sesuatu yang baru. Tiada salahnya mencuba, jika tidak mungkin saya akan menyesal. Atas desakan dan kata hati saya melepaskan jawatan sebagai cef di hotel dan mencuba bidang program masakan di televisyen,” katanya.



Kini, dia bersyukur kerana banyak tawaran pengacaraan program masakan diterima termasuk Dapur Panas yang disiarkan di TV3. Malah sebagai pelapis muda dalam bidang masakan, Cef Naem ingin memperkenalkan cara memasak dengan lebih mudah.

“Sebelum ini ramai yang tidak gemar memasak disebabkan bahan digunakan terlalu banyak. Misalnya untuk menyediakan rendang dengan resipi asli, kita memerlukan sehingga 10 bahan. Tetapi saya cuba olah menggunakan lima bahan dengan rasa yang sama.

“Begitu juga pelbagai jenis masakan lain saya cuba oleh dan inovasikan menggunakan resipi yang ringkas, dimasak dengan cepat namun tetap mengekalkan rasanya. Kalau boleh, saya juga mahu menambah khasiat dalam setiap masakan,” katanya.

Jika ada masa terluang anak kelahiran Gombak ini gemar berkunjung ke gimnasium. Baginya penjagaan kesihatan sangat penting sekali gus ingin mengubah persepsi masyarakat mengenai penampilan cef yang lebih sihat dan tampak menarik bukan sahaja menerusi program televisyen tetapi ketika bertemu masyarakat di luar.

Pada masa akan datang dia berhasrat membuka kafe yang menyediakan menu air tangannya pada harga RM5.

“Saya sedar hidup di Kuala Lumpur semuanya memerlukan kos. Ramai tidak mampu makan di restoran mewah apatah lagi di hotel. Melalui tawaran harga makanan serendah RM5 ia memberi peluang pelanggan menikmati hidangan enak pada harga mampu milik,” katanya yang turut menjadi pemandu Grab dan membuka kelas membuat kek kepada orang ramai.

Sebelum mengakhiri perbualan, sempat dia menambah, menjadi pemandu Grab memberinya peluang mengenali pelbagai kerenah pelanggan dan memahami keperluan masyarakat. Bahkan dia tidak malu kerana baginya usia muda perlu dimanfaatkan sebaiknya dan semua kerjaya mempunyai ‘gudang ilmu’ untuk diteroka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 5:00 AM