LULUR susu sedia digunakan untuk memanjakan diri.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

MANFAAT susu kepada kesihatan untuk semua peringkat umur tidak dapat disangkal walaupun masih ramai wanita tidak menggemari rasanya. Baik untuk kanak-kanak atau orang dewasa, khasiat susu penting untuk mengekalkan kesihatan tulang dan gigi supaya sentiasa kuat bagi menjalankan fungsinya selagi hayat dikandung badan.

Kandungan kalsium dalam susu penting untuk mencegah osteoporosis, menghindarkan kerosakan gigi, membantu pertumbuhan kanak-kanak, menggalakkan kesihatan usus dan pelbagai manfaat kesihatan lain.

Bagaimanapun, tahukah anda susu bukan hanya memberi manfaat kesihatan terhadap tubuh apabila diminum, malah khasiatnya menggamit pelbagai pusat kecantikan menggunakannya sebagai bahan dalam rawatan kecantikan. Malah, ia juga dijadikan bahan dalam produk perawatan kecantikan atau kosmetik yang banyak terdapat di pasaran.

Khasiat susu terkenal dalam membantu menyerlahkan kecantikan wanita. Contohnya amalan mandi susu bagi melembutkan kulit yang dikatakan bermula sejak zaman Cleopatra untuk menjadikan kulit lebih halus dan cantik.

Susu mengandungi vitamin A, B, protein dan asid alfa hidroksi (AHA) yang efektif untuk memberi nutrisi kepada kulit, sekali gus mengatasi pelbagai masalah seperti jerawat, mengecilkan pori, menghaluskan kulit, mencerahkan dan banyak lagi manfaat lain.

Susu juga efektif untuk menanggalkan sel kulit mati, sekali gus mengatasi minyak berlebihan pada wajah kerana ia mengandungi AHA yang sesuai untuk tugas berkenaan. Ia boleh dilakukan sendiri dengan menghasilkan lulur untuk kegunaan peribadi di rumah.

Seperti yang diketahui, lulur badan yang terdapat di pasaran biasanya ditawarkan pada harga agak tinggi, selain mengandungi bahan kimia tertentu supaya produk tahan lama. Jadi, apa kata anda mencuba sendiri pupur semula jadi untuk diamalkan sendiri di rumah.

Untuk membuat lulur susu bagi mendapatkan kulit yang lebih segar dan lembut, anda memerlukan beberapa bahan iaitu lima sudu besar garam, sesudu besar madu, sesudu teh minyak zaitun dan sesudu besar susu segar.

Campurkan semua bahan hingga sekata. Kemudian, selepas membasahkan tubuh ketika mandi, sapukan lulur badan ini dengan gerakan memusing ke atas untuk menanggalkan kulit mati sebelum membasuh tubuh hingga bersih.

Garam yang terdapat dalam lulur adalah bahan yang membantu menghilangkan sel kulit mati, manakala madu berfungsi untuk menjaga kelembapan kulit.

Minyak zaitun pula membuat kulit lebih lembut dan lembap sementara susu sendiri dapat membekalkan nutrisi kepada kulit. Kombinasi empat bahan ini dapat menghasilkan kulit berseri, sihat dan menawan.

Selain itu, lulur yang semula jadi ini mengurangkan risiko

bagi kulit anda untuk mengalami keradangan, namun jika ada berlaku (keradangan) ketika memakainya, hentikan segera penggunaannya.

Anda boleh menyimpan lulur badan ini di dalam bekas tertutup dan dimasukkan dalam peti sejuk selama dua hingga tiga hari.


1. SEDIAKAN bahan. Empat sudu teh serbuk kunyit, tiga sudu teh tepung gandum, dua sudu teh susu tepung dan

2&3. DALAM bekas bersih, masukkan lima sudu besar garam dan satu sudu besar madu.

4&5. MASUKKAN satu sudu teh minyak zaitun dan akhir sekali campurkan satu sudu besar susu.

6. GAUL semua bahan hingga sekata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:06 AM