TIDAK perlu risau sekiranya anak anda menggunakan tangan kiri sebagai tangan dominan. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

“CIKGU, anak saya kerap menulis menggunakan tangan kiri, boleh tak cikgu latih dia menulis menggunakan tangan kanan? Itu antara persoalan paling kerap diajukan ibu bapa terhadap guru kelas apabila menyedari anak menulis menggunakan tangan kiri.

Permintaan itu bukan saja membuatkan ramai di antara tenaga pendidik berasa runsing terutama bagi memberi penerangan jelas kepada ibu bapa mengenai tangan dominan setiap individu itu berbeza.

Secara asasnya, tangan dominan merujuk kepada kecenderungan menggunakan satu tangan untuk melakukan aktiviti yang membabitkan motor halus dan kasar seperti menulis, menggunting, melukis, menangkap dan membaling.

Tangan dominan bukanlah satu perkara yang boleh dipilih kerana genetik dan otak individu itu sendiri yang memainkan peranan penting dalam menentukan tangan dominan.

Kecenderungan seseorang kanak-kanak menggunakan tangan kiri atau kanan biasanya boleh dilihat dengan jelas pada masa dia mula menguasai bahasa, kira-kira pada usia dua tahun. Bagi sesetengah kanak-kanak, dominasi tangan ini hanya jelas kelihatan pada usia empat tahun dan biasanya tangan dominan ini akan kekal sepanjang hayatnya.

Memang ramai ibu bapa yang cuba mengubah supaya anak kidal menggunakan tangan kanannya untuk melakukan kerja. Anak tangan kidal sering dianggap ‘pelik’ dan lari daripada kebiasaan sedangkan ia perkara normal.

Mengupas mengenai topik ini Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Hazhari Ismail berkata, seawal usia enam hingga sembilan bulan, setiap bayi mula mempunyai kecenderungan menggunakan satu tangan dominannya.

Menurutnya, ada juga kanak-kanak yang boleh menggunakan kedua-dua tangan sama ada kiri mahupun kanan ketika membuat suatu tugasan.

“Menjelang usia sekitar 24 bulan atau dua hingga tiga tahun, fungsi tangan sudah mula menjadi dominan namun untuk sesetengah kanak-kanak, ia mungkin boleh berubah apabila usianya memasuki empat atau lima tahun.

“Apabila kanak-kanak sudah masuk ke persekitaran sekolah, mereka sudah mula membuat aktiviti pramenulis, di situ kita dapat mengesan tangan mana yang lebih dominan untuk menulis,” katanya.

TERDAPAT beberapa jenis tangan dominan manusia.

Hazhari menjelaskan terdapat beberapa jenis tangan dominan manusia iaitu:

1. Tangan kanan - Majoriti populasi dunia menggunakan tangan kanan (90 peratus).

2. Tangan kiri atau kidal - Biasanya individu kidal dianggap kreatif. Individu kidal juga sering berdepan masalah kerana kebanyakan peralatan direka untuk individu yang menggunakan tangan kanan. Bagaimanapun, kini sudah banyak peralatan direka bagi memberi kemudahan buat individu kidal.

3. Dominan-silang - Iaitu individu yang menggunakan kedua-dua tangan untuk tugasan khusus contohnya menulis dengan tangan kanan tetapi membaling bola menggunakan tangan kiri.

4. Ambidekstrus - Kedua-dua tangan boleh digunakan dan kekuatan yang seimbang. Namun hanya satu peratus penduduk dunia berada dalam kategori ini. Individu ambidekstrus ini sangat unik kerana boleh menulis dengan kedua-dua tangan.

Kata Hazhari, persoalan yang sering timbul di kalangan ibu bapa adalah mengapa kanak-kanak boleh bertukar-tukar tangan dominannya pada peringkat awal usianya.

“Jawapannya mudah, ini kerana ketika waktu ini, perkembangan motor kanak-kanak baru berkembang dan belum cukup kuat. Maka, kekuatan genggaman dan pegangan tangan mereka adalah rendah dan boleh bertukar-tukar.

“Ada juga keadaan apabila tingkah laku kanak-kanak yang kurang sabar dan dia akan ambil saja barang yang terdekat dengan tangannya. Sebagai contoh sekiranya botol susu itu lebih dekat dengan tangan kiri, dia akan ambil botol susu dengan tangan kiri juga ,”katanya.

Menurutnya, walaupun seseorang kanak-kanak itu mempunyai tangan dominan, namun tangan yang satu lagi tetap memainkan peranan penting untuk menyempurnakan tugasan.

“Semua ini bukan hanya tertumpu pada tangan saja namun ia juga termasuk dengan pergerakan kaki. Sekiranya ibu bapa masih risau mengenai tangan dominan anak, dinasihatkan untuk lakukan pemeriksaan khusus sendiri seperti aktiviti bersama.

“Guru di taska atau tadika sering kali melakukan aktiviti untuk menentukan tangan mana yang lebih dominan supaya senang apabila hendak mengajar muridnya menulis,” ujarnya.

UJI PILIHAN MEREKA

Menurut Hazhari, ibu bapa boleh cuba meletakkan barang-barang di depan anak-anak, kemudian buat pemerhatian tangan mana yang digunakan untuk mencapai barang itu.

“Jika melebihi 70 peratus daripada pemerhatian anda, anak-anak menggunakan tangan kanan, maka kita boleh menganggarkan tangan dominan mereka ialah kanan.

“Cuba pula dengan aktiviti lain seperti biarkan mereka memegang warna pensil, ambil cawan atau pegang sudu untuk mengesahkan lagi pemerhatian anda,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa seharusnya tidak perlu risau sekiranya si anak menggunakan tangan kiri sebagai tangan dominan.

“Lebih baik jika kita sudah tahu tangan mana yang dominan dan dalam masa sama kuatkan perkembangan fizikal motor kasar dan halus mereka.

“Ini kerana kedua-dua tangan sangat diperlukan untuk melakukan semua pekerjaan kelak, “ ujarnya.

Selain itu, Hazhari turut menyenaraikan aktiviti lain yang boleh menguatkan tangan dominan anak seperti:

• Menangkap dan membaling bola

• Permainan beg kacang

• Tutup mata dan main permainan ‘angkat tangan’

• Menggunting

• Melukis ‘Lazy-8’ (nombor lapan)

• Mewarna dengan pensel warna

• Menaip papan kekunci

• Memegang anak patung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:57 AM