PENGASAS Almas Beauty, Datin Maziah Mohamed. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Hamizah Badiran

TIDAK sangka hampir dua jam sesi pertemuan pertama kami berlangsung dek keramahan dan kesediaannya menjawab satu persatu soalan yang diajukan.

Tutur kata yang tersusun selain begitu bersemangat ketika berbicara juga jelas menunjukkan kematangan dan pengalamannya.

Malah, ia juga menjadi modal untuk pengasas syarikat kosmetik dan kesihatan Almas Beauty & Health Sdn Bhd (Almas), Datin Maziah Mohamed, 50, ini menarik pelanggan sejak di bangku sekolah rendah tatkala membantu ibu berniaga di pasar atau kedai runcit.

Pemilik suara serak basah berasal dari Tanah Merah, Kelantan, ini tidak mudah berputus asa dan semangat itulah yang membara dalam dirinya untuk membina perniagaan, sekali gus menjadi usahawan berjaya seperti sekarang.

“Sejak kecil saya membantu ibu berniaga dan beliau adalah insan yang bertanggungjawab menanam minat itu ke dalam diri ini.

“Ibu percaya dengan kebolehan saya dan selalu menasihati supaya jangan malu jika hendak berjaya dalam bidang perniagaan.

“Bagi saya, doa adalah sesuatu yang amat berkuasa dan alhamdulillah, berkat doa seorang ibu serta diiringi usaha, saya boleh sampai ke tahap ini.

Menurut Maziah, bukan mudah untuk sesebuah perniagaan kekal dalam industri dan bersaing dengan pelbagai syarikat seumpamanya.

Bagaimanapun, sikap merendah diri tetap terpahat kukuh pada usahawan terkenal ini kerana Maziah sedar, sebagai usahawan, cabaran sentiasa ada.

Oleh itu, tidak perlu cepat melatah dan mendabik dada dengan apa yang dicapai hari ini.

“Bermodalkan semangat yang tinggi, saya nekad membuka syarikat. Antara cabaran yang dilalui ketika mahu memperkenalkan produk 14 tahun lalu, saya tebalkan muka mencari dan bertemu wakil penjual untuk meyakinkan mereka mengenai produk saya.

“Tidak mudah bagi mereka menerima dan menjual satu produk yang belum dikenali ramai pada waktu itu kerana banyak faktor perlu diambil kira seperti untung rugi.

“Pernah juga berasa bimbang namun syukur, bermula dari situ perlahan-lahan saya mendapat kepercayaan daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Wanita cekal ini juga berjaya membuktikan wanita turut boleh berdiri sama tinggi dan bersaing dengan lelaki, sekali gus berjaya dalam perniagaan.


MAZIAH menunjukkan sebahagian produk keluaran Almas.

“Saya banyak belajar erti kesabaran dalam mengendalikan perniagaan ini terutama ketika berdepan masalah membabitkan pelanggan, pekerja dan sebagainya.

“Selain itu, saya suka bersaing secara sihat kerana dengan adanya persaingan dalam perniagaan, ia membuatkan kita lebih bekerja keras, fokus dan berani.

“Namun, bagi saya apa yang perlu diterapkan adalah sikap keterbukaan dan positif bukan saja terhadap pelanggan, malah kepada pekerja bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan gembira,” katanya.

Katanya, kebanyakan produk keluaran syarikatnya mendapat sambutan di luar jangkaan terutama minuman kesihatan Jus Nusantara dan Jus Nusantara Gold yang menjadi fenomena luar biasa serta meniti dari bibir ke bibir masyarakat sejak dikeluarkan.

Malah, tahun ini syarikatnya akan mengeluarkan produk baru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Jus kami adalah formula dan gandingan bahan sunnah serta herba tempatan seperti delima, habbatussauda, madu, kurma, temulawak, halia bara, dan cekur yang berfungsi memelihara kesihatan dan melalui kaedah pengilangan bertaraf GMP (amalan pengilangan baik), suci lagi selamat,” katanya.

Sementara itu, beliau juga percaya dalam setiap rezeki yang diperoleh itu terdapat juga bahagian atau hak untuk orang lain.

Oleh itu, Maziah memberi semula kepada komuniti dalam pelbagai cara dan satu daripadanya adalah menerusi program realiti keagamaan, Da’i Pendakwah Nusantara sebagai penaja utama.

“Saya kagum dan berpuas hati di atas program berkenaan yang berupaya melahirkan generasi muda sebagai pendakwah yang mahir dalam menyampaikan hujah berdasarkan al-Quran untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan agama Islam.

“Rezeki yang ada, saya kongsi bersama golongan memerlukan kerana bukan semua daripada kita dilahirkan dalam keluarga berada.

“Selain itu, hati saya begitu dekat dengan pelajar tahfiz dan apabila sumbangan diberi kepada mereka, saya amat gembira,” katanya yang pernah menaja program Tahfiz Muda pada 2016.

Bagi Maziah, program keagamaan itu satu program yang cukup hebat dan apabila besar kelak mereka boleh menjadi contoh kepada remaja lain serta mampu menjadi pendakwah Nusantara yang hebat.

Impaknya, ibu bapa yang melihat anak kecil mengaji menerusi program realiti itu juga pasti terpanggil untuk menghantar anak mendalami ilmu agama terutama menghafaz al-Quran.

Pada masa sama, Maziah amat bersyukur kerana dianugerahkan suami dan anak yang sangat memahami serta sabar.

Beliau menyifatkan dirinya sangat tegas dengan anak kerana mahu mereka menjadi insan yang bijak, berakhlak dan berjaya di dunia serta mempunyai ilmu agama untuk bekalan di akhirat kelak.

“Apabila mereka mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan utama, sebagai ibu, saya orang yang paling gembira. Saya anggap, itulah hadiah paling bermakna mereka berikan pada saya.

“Kini, anak saya, Nurul Afiqah dan Mohd Nasrul Afiq sudah bekerja bersama kami yang secara tidak langsung dididik untuk meneruskan perniagaan ini.

“Saya juga sentiasa berdoa supaya urusan yang kami lakukan ini sentiasa dipermudahkan, perniagaan ini akan terus diberkati dan mendapat keredaan Allah.

“Selain itu, keredaan ibu bapa dan suami juga amat diperlukan dan ia ternyata memudahkan kehidupan,” katanya


MAZIAH dan keluarga pada majlis perkahwinan Nurul Afiqah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:44 AM