DIET seimbang tingkatkan imuniti tubuh kanak-kanak. FOTO fail NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


PEMAKANAN sihat lazimnya disebut sebagai diet seimbang. Ia mengandungi kombinasi pelbagai jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan tubuh.

Bagi kanak-kanak, memantau pemakanan sihat mereka dianggap kritikal. Ini kerana pemakanan yang salah boleh menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Bahkan jika terus diabaikan tidak mustahil ia menyebabkan sistem imun badan anak menjadi lemah, seterusnya mudah terdedah kepada jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga me­ngaitkan pemakanan yang salah dengan 45 peratus daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Apabila pemakanan tidak dijaga, sistem imun badan merosot, keupayaan menangani penyakit serius juga akan turut berkura­ngan.

Di rumah, kecuaian ibu bapa menyediakan pemakanan sewajarnya kepada anak akan melemahkan imuniti tubuh mereka. Tanpa sedar, itulah yang menjadi punca mengapa si kecil mudah demam dan jatuh sakit.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Chiong Kai Ming, tidak kira kanak-kanak atau dewasa, tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang betul untuk mendapat­kan keseimba­ngan dalam diet harian.

“Pemakanan lengkap bermaksud memberikan anak anda makanan sihat, seimbang, dalam kuantiti sederhana mengikut saiz sajian yang disarankan dan mestilah ada kepelbagaian untuk memenuhi keperluan badannya.

“Sehingga hari ini, tiada satu pun jenis makanan, minuman atau kumpulan makanan tertentu yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh dalam satu-satu masa. Jadi, untuk mendapatkan diet sihat, kita tetap perlu mengamalkan pemakanan seimbang dengan jumlah yang tepat.

“Bagi kanak-kanak, fungsi otak hingga tingkah laku mereka, semuanya boleh dipengaruhi pemakanan. Mereka memerlukan pelbagai nutrien bagi menyokong perkembangan tubuh dan pertumbuhan; membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental; membantu mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan serta menyediakan bekalan zat mencukupi untuk pertumbuhan peringkat remaja,” katanya.

KENALI PIRAMID MAKANAN

Jelas Chiong, dalam memastikan tumbesaran sihat, kanak-kanak lazimnya memerlukan semua kumpulan makanan utama untuk menyokong keperluan tubuhnya

Mereka disarankan mengambil hidangan buah-buahan, sayur, kekacang, produk bijirin dan makanan yang kaya dengan protein seperti telur, produk tenusu, daging, ayam, ikan, dengan jumlah sederhana.

“Di negara kita, amalan pemakanan sihat boleh dilakukan dengan merujuk Piramid Makanan Malaysia. Ia adalah panduan mudah untuk ibu bapa mengetahui jumlah sajian yang disarankan dengan jenis makanan diperlukan.

“Terdapat lima kumpulan makanan yang dibahagikan mengikut empat aras berbeza. Aras bawah piramid makanan terdiri daripada makanan seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi. Ini adalah sumber tenaga penting, yang diperlukan badan.

“Aras kedua adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia menjadi sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral. Vitamin C dalam buah-buahan dan sayur-sayuran boleh meningkatkan daya imun badan, seterusnya membantu mengelakkan penyakit seperti demam dan selsema.

“Kemudian barulah daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu. Semua ini adalah sumber protein, zink dan zat besi (ferum) yang memainkan peranan penting dalam sistem imun tubuh kanak-kanak. Protein bertanggungjawab menghasilkan antibodi, ia­itu komponen utama sistem imun badan. Ia membantu badan melawan bakteria dan virus serta menghalang jangkitan.

“Akhir sekali adalah sumber lemak. Lemak penting untuk membekalkan kalori mencukupi untuk perkembangan normal saraf, mata atau otak kanak-kanak tetapi ia diperlukan dalam kuantiti yang kecil, bersesuaian keperluan kanak-kanak,” katanya.


CHIONG menerangkan carta Piramid Makanan Malaysia untuk kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun. FOTO Aswadi Alias

MENENTUKAN PEMAKANAN ANAK

Pastinya ibu bapa tahu untuk membezakan pemakanan bayi dan kanak-kanak bukan? Apa yang sukar adalah mengenal pasti keperluan mereka secara lebih terperinci.

1. Bayi (1 hingga 6 bulan)

• Tidak ada apa yang diperlukan bayi melainkan susu ibu.

• Dia perlu disusukan dengan susu ibu sejak lahir hingga sekurang-kurang­nya enam bulan.

• Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi.

• Ia sumber semula jadi paling selamat, berkhasiat dan memenuhi keperluan nutrien bayi ketika awal kehidupannya.

• Susu ibu juga berupaya membekalkan nutrien terbaik untuk bayi dengan kadar mencukupi.

• Kolostrum dalam susu ibu mengandungi antibodi yang berupaya melindungi bayi dan menguatkan sistem imunisasi mereka.

• Kolostrum juga boleh melindungi bayi daripada jangkitan cirit-birit, selsema, bronkitis atau radang paru-paru.

• Ia juga mencegah pelbagai masalah alahan yang dialami bayi dan kanak-kanak, antaranya asma, ekzema dan kolik.

2. Kanak-kanak kecil (selepas umur 6 bulan)

Pada umur ini, lazimnya mereka sudah mula diberi makanan pelengkap sesuai sebagai tambahan kepada susu ibu atau rumusan bayi. Bagaimanapun, sesetengah ibu lambat memperkenalkan makanan pelengkap. Kelewatan memperkenalkan makanan pepejal boleh membawa risiko anemia, tidak cukup zat besi atau gangguan pertumbuhan kepada kanak-kanak. Sistem imun juga akan menurun.

Sekiranya bayi tidak makan dalam jumlah yang banyak, cuba tambah kekerapan waktu makan dengan menawarkan hidangan kecil. Perlu diingatkan diet rendah lemak tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Ini kerana, lemak diperlukan untuk membekalkan kalori mencukupi bagi menyokong perkembangan normal saraf, mata atau otak. Pun begitu, pastikan lemak diperoleh daripada sumber makanan berkhasiat. Bukan makanan ringan.

3. Anak bersekolah

• Mereka perlu mengambil hidangan seimbang. Memandangkan pada usia ini kanak-kanak mudah terdedah kepada pemakanan tidak sihat seperti air berkarbonat dan makanan ringan, jadi ibu bapa perlu memantau. Pastikan mereka mendapat hidangan sayur dan buah berwarna-warni.

• Usah beri terlampau banyak jus buah-buahan. Apabila anak kenyang de­ngan kandungan serat dalam jus, mereka akan menolak untuk makan hidangan berat.

• Jika anak sukakan makanan diproses, cuba kawal pemakanan mereka ke arah hidangan lebih sihat.

• Kurangkan makanan manis, kordial, susu pekat dan gula dalam hidangan untuk mengelak risiko obesiti.

• Pantaulah perkemba­ngan anak menggunakan kalkulator berat.

• Pastikan mereka makan pelbagai jenis buah atau kumpulan makanan berbeza dalam jumlah yang bersesuaian. Melalui cara itu, barulah mereka mendapat faedah mencukupi.


BERI anak pemakanan sihat. FOTO fail NSTP

PEMAKANAN SIHAT TINGKAT IMUNITI

Kata Chiong, faktor pemakanan sememangnya berupaya membantu meningkatkan imuniti tubuh kanak-kanak. Sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak diberi makanan seimbang dan berkualiti.

“Dalam dunia pemakanan, malnutrisi (keadaan yang disebabkan oleh kurangnya makanan seimbang) dikenal pasti sebagai faktor paling popular menyebabkan masalah penurunan tahap imun di seluruh negara.

“Apabila kanak-kanak tidak mendapat makanan mencukupi, dia akan menjadi kurus dan perutnya kembung. Itu tanda malnutrisi tenaga protein. Ada kajian menunjukkan bahawa keadaan ini mempunyai kaitan dengan kemerosotan kepekatan antibodi dalam tubuh manusia. Apabila hal ini berlaku, sel imuniti badan juga akan menurun.

“Selain malnutrisi tenaga protein, imuniti tubuh juga boleh terjejas apabila berlaku kekurangan nut­rien tertentu seperti zink. selenium, zat besi, kuprum, vitamin A, C, E, B6 dan asid folik. Bahkan, berlebihan berat badan juga boleh me­nyebabkan imuniti tubuh merosot. Jadi, sentiasa perhatikan pemakanan anak-anak supaya seimbang dan sihat,” katanya.

Jelas Chiong, anak yang diabaikan keperluan pemakanannya boleh mendapat risiko kesihatan termasuk kegagalan membesar normal dari segi berat dan tinggi, perubahan tingkah laku, rengsa pada mata, lambat sembuh dari jangkitan atau luka, lesu, kurang daya tumpuan, cirit-birit berulang dan kemurungan disebabkan lapar.

TIDAK PERLU VAKSIN?

Menjelaskan salah faham berhubung fungsi pemakanan dalam membina imuniti tubuh dengan fungsi vaksin, kata Chiong, kedua-duanya memberi manfaat berbeza kepada tubuh.

“Dalam tubuh kita, terdapat dua sistem imun. Satu dipanggil spesifik (khusus) dan satu lagi tidak spesifik. Sistem imun spesifik pula disebut sebagai antigen spesifik. Sistem imun tidak spesifik pula dikenali sebagai benteng perlindungan pertama tubuh. Contohnya adalah mukus dan bulu roma. Benteng ini menyekat virus dan bakteria dari luar. Begitupun, yang disekat hanyalah jangkitan penyakit kecil seperti demam dan selesema biasa.

“Berbeza dengan sistem imun spesifik, ia memerlukan perlukan pendedahan terlebih dulu terhadap mikro organisma berkenaan sebelum tubuh menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit terbabit.

“Perlu diingat ada waktunya, kanak-kanak belum bersedia untuk melawan sesetengah antigen spesifik, Jadi, sebab itulah vaksin penting. Ia mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus mahupun bakteria yang dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin ini berfungsi untuk merangsang sistem imuniti tubuh, sekali gus membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus seperti cacar air, batuk kokol, difteria dan H1N1,” katanya.

Kata Chiong, semua penyakit terbabit bukanlah terdiri daripada mikro organisma biasa. Ia memerlukan cegahan vaksin untuk mengawal risiko komplikasi yang mengancam nyawa.

“Secara mudahnya, pemakanan yang sihat masih tidak boleh menggantikan fungsi vaksin. Perlindungan imuniti ini perlu dilakukan mengikut prosedur. Apabila kanak-kanak sudah didedahkan kepada patogen tertentu, tubuhnya akan mudah menganalisa jangkitan dan bertindak balas menyekat serta mengurang­kan keterukan gejalanya di masa depan,” katanya.

TIP

• Pastikan menu seharian ada sayur, buah-buahan dan protein yang berkualiti.

• Cuba masukkan hida­ngan tinggi vitamin A, C, E seperti lobak merah, keledek, bayam, oren, lemon, kacang hazel dan mentega kacang dalam diet harian anak.

• Minum lapan gelas air kosong sehari supaya sistem imun dapat berfungsi dengan baik

• Ambil makanan kaya probiotik secukupnya untuk membantu mengekalkan kesihatan sistem penghadaman dan imuniti badan

• Galakkan anak bergerak aktif dan bermain di luar sebagai senaman, sekali gus merangsang sistem imun mereka.

• Pastikan anak mendapat tidur mencukupi. Kurang tidur boleh menyebab­kan kemerosotan prestasi kognitif, masalah tingkah laku dan melemahkan sistem imun badan

• Patuh kepada jadual imunisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:54 PM