REKAAN santai mudahkan si kecil bergerak bebas. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my

MEMENUHI jemputan kenduri perkahwinan atau majlis sambutan hari jadi, ada kalanya menyukarkan setiap ibu dalam mencari busana sesuai buat anak perempuan tersayang.

Tidak mahu mengikat anak dengan gaya kurung dan gaun, rekaan santai dengan gabungan material berkualiti skirt tutu jenama kamikids bycintakami antara pilihan ramai ibu.

Lebih menarik, pakaian digayakan itu bukan saja membuatkan si cilik kelihatan sopan tetapi membolehkan mereka juga bebas bergerak, bermain, berkawan dan bergembira.

Nampak ringkas dengan potongan skirt labuh, koleksi ini sesuai digayakan dengan blaus, kemeja dan baju-T terutama ketika menghadiri majlis istimewa pada hujung minggu.

Terserlah keanggunan si kecil tatkala menyarung skirt tulle yang didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu merah jambu, biru muda, putih, kelabu kuning dan coklat muda.

Kata empunya koleksi, Intan Nazrifa Tormudzi, skirt tutu menjadi kegemaran kanak-kanak perempuan terutama yang menggemari watak kartun Disney dan cuba meniru gaya seperti watak kegemaran mereka.


SEBAHAGIAN koleksi pakaian Kamikids yang mempamerkan rekaan kasual dan santai. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, kebiasaan skirt tutu dihasilkan pendek dan keras untuk digayakan si kecil.

“Namun saya menampilkan kelainan dengan penggunaan net lembut dan pelapik satin supaya ia lebih selesa dipakai dan tidak panas. Selain selesa, rekaan saya adalah terkini dan ceria.

“Penggunaan net lembut yang dipadankan warna pastel menjadi keistimewaan dan memberi kelainan, sekali gus menonjolkan lagi keanggunan skirt ini ketika digayakan.

“Malah, skirt yang dihasilkan juga labuh agar tampak lebih sopan. Untuk gaya sopan ke majlis perkahwinan, tulle skirt boleh digayakan dengan top kurung lengan panjang,” katanya.

Intan Nazrifa berkata, koleksi kasual ini boleh digayakan dengan pelbagai gaya yang disukai anak mengikut kreativiti ibu bapa.

“Untuk tahun ini, kamikids merancang mengeluarkan koleksi raya 2019 dalam warna yang lebih menarik. Antaranya baju Melayu Johor yang menggunakan warna terang dan untuk kanak-kanak perempuan akan menggunakan kain jenis bercorak dengan rekaan lebih segar dan menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:04 AM