Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

PERSONALITI periang, ‘gila-gila’, mudah mesra dan ramah ditambah dengan gayanya yang ranggi, mungkin ramai tidak menyangkakan wanita ini antara insan penting yang memberi bimbingan tambahan kepada pelajar di pusat tuisyen.

Kerjaya itu diceburinya sejak enam tahun lalu disebabkan keghairahan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain lantas sebaik bermula, dia tidak pernah menoleh ke belakang.

Jika sesetengah orang menganggap menjadi guru tuisyen tidak lebih sekadar meraih pendapatan sampingan selain kerjaya hakiki, berlainan pula buat Saliza Ibrahim.

Kerjaya itu sebaliknya begitu dibanggakan wanita yang mesra disapa Zack Kirana malah dia berani memilih bidang itu sebagai kerjaya tetap sejak 2014.

Semuanya bermula selepas Saliza menggantikan rakannya yang cuti bersalin sebagai guru ganti di sebuah pusat tuisyen selama tiga bulan dan tidak disangkanya coretan pertama di papan putih ketika itu mengubah seluruh landskap kehidupannya.

Menyifatkan dirinya ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya itu, pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Melayu dari Universiti Malaya ini yakin mampu mengajar walaupun dia tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan.

“Sebenarnya, sebelum memulakan profesion ini, saya terlebih dulu terbabit dalam industri radio sebelum ambil keputusan pulang ke kampung halaman menemani ibu selepas kematian ayah.

“Di sana saya membantu ibu menguruskan perniagaan katering keluarga hinggalah rakan baik meminta menggantikannya selama tiga bulan di pusat tuisyen kerana cuti bersalin.

“Sejak itu, minat terus bercambah dan memang tidak sangka ramai murid dapat menerima gaya saya yang ranggi dan lincah sebagai guru Bahasa Malaysia (BM) yang selama ini sering digambarkan sebagai seorang yang sopan dan ayu,” katanya sambil tertawa.

Baginya, dia selesa menjadi dirinya sendiri malah kaedah yang diajar juga berbeza berbanding pelajaran formal di sekolah bagi menarik murid yang terdiri daripada berbilang bangsa untuk mencintai bahasa kebangsaan.

SALIZA (berdiri) ketika seminar bersama pelajar.

Menurutnya, ramai beranggapan subjek itu senang kerana ia bahasa percakapan seharian tapi sebenarnya banyak perbezaan dengan mata pelajaran yang lebih formal.

Bagi memudahkan pelajar faham dan ingat topik yang dipelajari, Saliza lebih suka membuat formula. Dia yang juga berbakat bermain alat muzik seperti gitar kadangkala menjadikan kaedah pembelajaran lebih menyeronokkan dengan bermain alat itu di dalam kelas.

Ini kerana baginya, pelajar zaman ini kebanyakan tidak minat belajar dan kurang fokus pada pelajaran, maka kaedah pembelajaran yang konvensional perlu diubah. Guru kini perlu lebih aktif dan proaktif dalam mencari kaedah yang boleh menarik perhatian pelajar. Sesuai dengan jiwa remaja, penggunaan alat muzik memang berjaya ‘mengumpan’ dan menarik kembali minat mereka kepada pelajaran .

“Mereka ini hidup dalam zaman teknologi di hujung jari, ramai juga terpengaruh dengan apa yang dipaparkan di media sosial. Ada yang tengok artis dan orang terkenal di Facebook dan Instagram dan terpengaruh kononnya untuk jadi kaya dan buat duit tidak perlu pandai atau ada pelajaran tinggi.

“Benar, pendidikan tinggi bukan tiket untuk berjaya kerana ramai orang di dunia ini yang kaya raya walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti. Namun mereka semua ada harta paling penting iaitu ‘semangat jitu, disiplin, berani, dahagakan ilmu dan tidak kenal putus asa’. Ini semua adalah ilmu yang perlu dipelajari sepanjang masa dan di sini, saya cuba selitkan elemen itu kepada pelajar.

“Ini yang menjadi cabaran dan kebimbangan ibu bapa mahupun guru untuk menarik minat sesetengah daripada mereka. Sebab itu, kita perlu mengenali perangai mereka untuk kita tangani dengan cara yang bijak dan tidak terlalu mengikut buku.

“Cara saya ialah jadikan pelajar seperti rakan supaya mereka boleh ceritakan masalah yang dihadapi dalam pelajaran mahupun kehidupan peribadi. Dari situ kita tahu apa yang boleh dibuat untuk memastikan prestasi mereka bertambah baik,” katanya.

Dia yang mengajar subjek itu di pusat tuisyen Math Clinic di sekitar Lembah Klang bagaimanapun mengakui cabaran dalam bidang itu memandangkan mereka bukan guru kementerian terutama dalam menguasai format baru jika berlaku perubahan.

Namun hubungan baik yang terjalin dengan guru pakar memberi kelebihan buatnya selain selalu mengikuti seminar dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka serta pelbagai seminar teknik menjawab.

Saliza berkata, sejak pertama kali mengajar dia sudah menamakan dalam diri ilmu yang diajarkan pada orang lain membawa pahala berterusan.

“Jadi, bayangkan jika saya menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain, setiap kali mereka mengamalkan dan menyampaikan ilmu itu, pahala pasti akan berterusan,” katanya.

Matlamatnya kini mahu terus melengkapkan diri dengan ilmu dan jika boleh ke peringkat lebih tinggi. Kini, dia dalam perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam masa terdekat. Selepas menjadi guru dia kini mempunyai cita-cita baru, mahu bergelar sebagai pensyarah di universiti.

BERSAMA anak murid di pusat tuisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:46 PM
GURU Bahasa Melayu, Saliza Ibrahim. FOTO Luqman akim zubir