GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

DISAHKAN hamil tentunya menjadi berita paling ditunggu-tunggu setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Tiada kata-kata dapat menggambarkan kesyukuran dan kegembiraan dirasai apabila menerima rezeki yang sangat diharapkan.

Namun hakikatnya kehamilan bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai dugaan perlu dilalui si ibu sepanjang sembilan bulan membawa kandungan.

Lain kehamilan lain ragamnya, ada bakal ibu yang berdepan masalah kesihatan juga fizikal seperti kenaikan berat badan. Ada juga yang berdepan dengan perubahan emosi menakutkan ketika hamil.

Sesetengah ibu hamil mengalami tekanan perasaan melampau dan sering berasa muram hinggakan perkara remeh boleh menyebabkan emosi terganggu dengan mudah.

Situasi berkenaan bagaimanapun adalah normal kerana ia dikatakan berlaku akibat perubahan hormon dalam badan si ibu. Ramai pakar perubatan berpendapat, perubahan emosi itu berlaku sepanjang 10 minggu pertama kehamilan.

Ia akan berkurangan apabila memasuki trimester kedua sebelum semakin hilang begitu saja ketika usia kandungan semakin menghampiri tempoh kelahiran.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, hampir semua wanita hamil akan mengalami perubahan emosi yang bercampur iaitu perasaan gembira kerana berjaya hamil dan pada masa sama berasa tertekan dan letih.

Menurutnya, ia berpunca kerana keletihan di tempat kerja, komitmen di rumah dan akibat pembesaran bayi di dalam rahim wanita terbabit.

“Wanita hamil biasanya mempunyai emosi bercampur baur kerana dapat menghadiahkan zuriat dalam perkahwinan yang dibina dan pada masa sama, gusar mengenai proses kelahiran juga bimbang memikirkan masa depan si anak.

“Malah, ada yang bertanya sama ada mereka mampu menjadi ibu yang baik dan dapat membesarkan serta memberikan pendidikan sempurna kepada anak atau sebaliknya,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, faktor ketabahan dalaman diri wanita turut memainkan peranan. Ini kerana wanita yang biasa hidup susah sejak kecil mungkin lebih tabah daripada bakal ibu yang selalu bergantung kepada pertolongan ibu bapa.

“Setiap wanita mempunyai tindak balas berbeza terhadap tekanan hidup yang dihadapi ketika mereka hamil.

“Dalam tempoh itu, suami adalah individu paling penting yang perlu berkongsi susah senang dan melayani semua rungutan dan perubahan emosi itu,” ujarnya.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan seseorang wanita itu berkemungkinan besar boleh mengalami kecelaruan emosi menakutkan ketika hamil.

“Antaranya, wanita itu tidak mendapat sokongan fizikal dan emosi daripada suami, keluarga terdekat atau rakan.

“Ini selalunya berlaku apabila perkahwinan berkenaan tidak mendapat restu keluarga, suami tinggal berjauhan, bekerja di syarikat yang sangat kompetitif atau suami dan isteri tidak bersedia untuk menimang cahaya mata,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, wanita yang hamil selepas menjalani rawatan kesuburan juga berisiko untuk mengalami kecelaruan emosi.

“Ini kerana wanita berkenaan mudah berasa tertekan disebabkan sudah lama mencuba dan membelanjakan banyak wang semata-mata untuk hamil.

“Begitu juga dengan faktor bebanan harapan ibu bapa dan suami yang tinggi menggunung, mengharapkan agar kehamilan itu berjaya. Tekanan seperti itu mengganggu emosi wanita hamil,” katanya.

Sementara itu, Dr Zubaidi berkata, doktor atau jururawat perlu memeriksa atau meneliti tanda kecelaruan emosi berkenaan pada pesakit mereka.

“Walaupun masalah ini dianggap biasa bagi wanita hamil, mereka yang mengalami kecelaruan emosi ini selalunya seperti sudah berputus asa dengan kehamilannya atau mudah menitiskan air mata apabila bercerita mengenai masalah dihadapi.

“Selain itu, ada juga sukar bercerita, tetapi kadangkala kelihatan air mata mengalir yang menandakan mereka sedang mengalami kecelaruan emosi.

“Jika doktor atau jururawat yang bertugas gagal mengenal pasti perkara berkenaan, dibimbangi mereka akan mengalami masalah kemurungan atau meroyan apabila melahirkan anak kelak,” katanya.

SABAR melayan kerenah wanita hamil. FOTO hiasan

TANDA KECELARUAN EMOSI

Selain letih, kurang tidur dan mudah mengalirkan air mata kerana mengenangkan masalah dihadapi, beberapa tanda yang cuba disembunyikan wanita yang mengalami masalah kecelaruan emosi termasuk:

• Tidak seronok dengan kehamilan.

• Kerap termenung, rasa sedih atau ‘kosong’ sepanjang hari.

• Tidak dapat menjalankan rutin seharian di rumah dan di tempat kerja.

• Mudah marah kerana alasan remeh contohnya apabila tidak jumpa kunci kereta, mereka menjerit dan memaki atau terus menangis.

• Keinginan untuk sentiasa makan atau tidak mahu makan sama sekali.

• Rasa bersalah, rasa tidak dihargai atau mudah putus asa.

• Jika wanita hamil mengalami tiga atau lebih daripada tanda di atas dalam masa lebih daripada dua minggu, mereka harus segera dirujuk kepada kaunselor atau doktor pakar psikiatri.

KAEDAH MENGURUS EMOSI

TIDAK STABIL KETIKA HAMIL:

1. Sering ingatkan diri bahawa kehamilan adalah rezeki dan amanah daripada Allah. Sebagai bakal ibu, anda perlu belajar menerimanya dengan tangan terbuka.

2. Rehatkan diri dan fikiran dengan sepenuhnya. Jangan bebankan diri dengan tugasan tertentu sebelum saat kelahiran.

3. Perasaan runsing juga pasti berkurangan jika hubungan dengan pasangan lebih intim. Hubungan itu umpama jaminan pasangan ada untuk anda dan anda juga tidak berseorangan ketika menghadapi cabaran mengandung.

4. Wujudkan sistem sokongan sebelum dan selepas bayi dilahirkan. Ada juga ibu hamil tanpa suami di sisi, jadi dekati keluarga dan rakan rapat yang setia mendampingi.

5. Tidak salah jika lakukan sesuatu yang boleh membuatkan rasa gembira misalnya menghabiskan waktu berkualiti bersama pasangan atau waktu bersendiri seperti menikmati urutan dan menonton wayang bersama teman baik.

6. Kongsi masalah atau sebarang kebimbangan bersama teman baik. Ia bukan saja meringankan beban masalah malah dapat menghilangkan seketika tekanan.

7. Pengurusan tekanan juga penting daripada membiarkan ia membebankan perasaan dan emosi.

8. Selain itu, pastikan mendapat waktu tidur yang cukup, makan teratur serta melakukan senaman ringan untuk mengeluarkan peluh.

SUAMI memainkan peranan penting ketika proses kehamilan isteri. FOTO hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:43 PM