LAKUKAN pemeriksaan dan rawatan sepatutnya. FOTO hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

HAMIL dan memiliki cahaya mata menjadi impian setiap pasangan berumah tangga. Hakikatnya tidak semua pasangan bernasib baik disahkan hamil sejurus selepas berkahwin kerana ada yang terpaksa menanti dalam tempoh lama.

Menyentuh mengenai kesukaran hamil, lazimnya umum mengetahui terdapat pelbagai sebab dan punca yang menjadi penyebab kepada masalah itu.

Kebanyakan wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS) tentu saja kecewa dan berasa sedih kerana lazimnya PCOS menjadi penyebab kepada masalah sukar hamil.

Bagaimanapun, ada juga wanita yang mempunyai sindrom ini berupaya hamil secara semula jadi tanpa bantuan rawatan kesuburan.

Mengupas mengenai PCOS dan risikonya, pegawai perubatan, Dr Farhanah Ibrahim berkata, PCOS berlaku apabila keadaan kilang telur atau ovari seseorang wanita menjadi bengkak disebabkan benih terperangkap di dalamnya dan tidak boleh menetas pada waktu subur.

“Keadaan ini membuatkan ovari membengkak dan menyebabkan berlaku masalah kesuburan dan gangguan kitaran haid.

“Ramai dalam kalangan penghidap PCOS mengalami masalah tidak datang haid untuk jangka waktu panjang. Ada pula yang mengalami perdarahan haid yang sangat banyak atau berpanjangan,” katanya.

Dr Farhanah berkata, punca sebenar berlakunya PCOS tidak dapat dikenal pasti namun genetik mungkin salah satu daripada faktornya.

“Ramai yang datang bertemu saya mengalami masalah haid antaranya lewat, ada juga yang terpaksa mengambil ubat lawas haid yang mana rata-ratanya sangat tertekan kerana mereka sedang berusaha untuk hamil.

“Apabila melakukan pemeriksaan dan kajian, saya dapati hampir 99 peratus daripada wanita yang mengalami masalah itu dikategorikan dalam golongan wanita lebih berat badan dan kebanyakannya mempunyai simptom PCOS,” ujarnya.

Menurut Dr Farhanah, dalam bahasa yang mudah, wanita yang mengalami PCOS mempunyai lebih hormon lelaki.

“Apa yang dikatakan hormon lelaki, adalah apabila jerawat tumbuh dengan banyak, badan mempunyai bulu yang lebat dan ada juga yang mempunyai misai

serta janggut.

“PCOS juga menyebabkan hormon menjadi tidak seimbang, haid yang tidak tetap dan akhirnya menyebabkan kesukaran untuk hamil,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila ada yang sudah berjaya hamil tetapi sangat mudah mengalami keguguran.

“Perlu diketahui dan ditekankan, PCOS biasa terjadi kepada wanita yang mengalami masalah lebih berat badan atau obes.

“Paling membimbangkan adalah dinding rahim boleh menjadi terlebih tebal yang mana sepatutnya ia akan keluar sebagai haid tetapi darah kotor itu tidak juga keluar dan keadaan menjadi berbahaya kerana berisiko berubah menjadi kanser,” ujarnya,

Dr Farhanah berkata, realitinya PCOS boleh diatasi dengan kaedah mengubah gaya hidup.

“Paling utama anda perlu menurunkan berat badan, sekiranya berjaya turunkan 10 peratus daripada berat sudah memadai dan jika dapat turunkan lebih daripada 50 peratus berat, berkemungkinan besar boleh menjadikan haid kembali teratur dan normal.

“Gaya pemakanan harian juga sangat memainkan peranan, dinasihatkan supaya mengambil makanan yang tinggi protein dan serat serta rendah karbohidrat. Elakkan makan makanan ringan dan tidak berkhasiat,” katanya.

Selain itu, Dr Farhanah mengingatkan penghidap PCOS perlu melakukan senaman secara berkala lima kali seminggu.

“Dapat bersenam 20 minit dalam sehari sudah memadai. Lakukan senaman yang sesuai dengan keadaan serta kemampuan diri masing-masing.

“Diingatkan juga supaya dapatkan pemeriksaan doktor terutama sekiranya mengalami diabetes. Jika mengalami jerawat teruk atau badan ditumbuhi bulu yang sangat banyak juga ada kaedah rawatannya asalkan jangan malu bertemu doktor,” ujarnya.

Katanya Dr Farhanah, apabila sudah mengubah gaya hidup, sekiranya ingin hamil, boleh ke klinik atau hospital dan mendapatkan rawatan kesuburan.

“Jika pemberian ubat tidak berkesan, pakar perubatan mungkin boleh lakukan rawatan pembedahan khas.

“Sebaiknya hamil pada berat badan kurang daripada 80 kilogram (kg) untuk mengelak risiko tertentu ketika hamil,” katanya.


UBAH gaya hidup bagi penghidap PCOS. FOTO hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:34 PM