ANGGUN solekan gaya formal ke pejabat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

DUA bahagian penting dalam solekan yang perlu diberi penekanan iaitu mata dan bibir. Kepelbagaian rangkaian warna alat solek ini membuatkan wanita sukar mencari rona sesuai pembayang mata dan juga gincu menyebabkan mereka mengenakan warna yang tidak sesuai terutama ketika bekerja.

Bagi wanita berkerjaya terutama mereka yang bekerja dalam bidang profesional tidak boleh membiarkan wajah polos tanpa warna.

Ini kerana golongan ini sering bertemu pelanggan. Oleh itu pentingnya memilih rona sesuai agar wajah tampil berseri dan menyenangkan hati pelanggan.

Menurut jurusolek profesional Zulfazli Suhadi, wanita tidak boleh malas bersolek.

Tidak kira sesibuk mana pun, wajah perlu dihias, sekurang-kurangnya dengan solekan asas memakai bedak, bercelak, bergincu dan mengenakan maskara.

“Jika malas atau tidak sempat menggunakan pelbagai jenis bedak asas, cukuplah dengan bedak kompak sahaja. Kemudian pilih pembayang mata yang sesuai dengan acara yang akan dihadiri. Misalnya jika ke pejabat pilih rona semula jadi seperti biru dan coklat, adunkan supaya mata anda tampak segar,” nasihatnya.

Apa yang penting pastikan wajah berseri ditutupi solekan. Elakkan pembayang mata warna terang kerana ia membuatkan wajah lebih garang dan tidak sesuai penggayaan formal ke pejabat.

Jelas Zulfazli lagi, selepas sapuan pembayang mata, jangan dilupa layangan celak dan maskara kerana ia membuatkan solekan kelihatan lengkap.

Pilih maskara yang tidak menyebabkan bulu mata bergumpal dan celak yang mudah disapu pada bahagian kelopak mata atas.

“Celak membuatkan mata lebih galak dan solekan lebih terserlah. Jika tidak percaya buatkan satu garisan pada bahagian atas garis kelopak mata. Pasti wajah sedikit berbeza dan kelihatan lebih manis.

“Di pasaran terdapat dua jenis celak iaitu pensil dan cecair. Jenis cecair sapuan lebih jelas namun perlu berhati-hati melakukannya. Celak batang pula lebih senang dioles. Namun terpulang kepada keselesaan masing-masing,” katanya.

Bahagian terakhir yang tidak kurang pentingnya adalah sapuan gincu sebagai mengakhiri solekan. Sama seperti pembayang mata, pemilihan warna gincu juga akan menentukan keseluruhan penampilan wanita.

Sebaiknya pilih jenis merah jambu untuk acara rasmi. Lapiskan sapuan pengilat bibir bagi menyerlahkan lagi bibir mungil anda.

“Wanita boleh memilih jenis gincu matte, krim, salap bibir atau jenis berkilat. Kesesuaiannya bergantung kepada jenis bibir dan juga sama ada untuk solekan siang atau malam.

“Gincu jenis matte membuatkan bibir anda kelihatan lembap. Sapuannya juga lebih mudah malah tahan lebih lama. Ia tidak mencomotkan terutama sekiranya anda makan atau minum.

“Gincu jenis ini juga memelihara kelembapan kulit bibir, membuatkan bibir tidak mengelupas. Namun ada juga wanita memiliki bibir sensitif. Jadi mereka boleh menggunakan salap bibir terlebih dulu sebelum sapuan gincu,” kata Zulfazli.

Menyedari ramai wanita memiliki masalah bibir kering, jenama Carrisa Cosmetics memperkenalkan koleksi alat solek bagi memenuhi keperluan hawa terutama golongan berkerjaya tampil lebih segar, memikat namun tidak keterlaluan.

Rangkaian alat solek yang kini memasuki tahun kedua mendapat tempat di hati pelanggan disebabkan menyediakan rangkaian gincu, celak dan maskara dengan penggunaan lebih mudah dan praktikal namun menjanjikan warna menawan.


SAPUAN bedak asas menutupi cela sekali gus menjadikan rona kulit sekata. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

UNTUK membentuk kening lukis menggunakan celak alis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

CELAK cair disapu pada bahagian atas garis kelopak mata. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

LAYANGKAN maskara beberapa kali pada bulu mata untuk melebat dan melentikkan bulu mata anda. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

PILIH rona gincu merah jambu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

SAPUKAN dengan pengilat bibir jenis matte. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Panduan memakai gincu agar tidak comot:

1. Tanggalkan kulit yang mengelupas pada bibir menggunakan skrub bibir atau gosok dengan berus gigi secara perlahan-lahan. Gunakan juga air suam untuk melembutkan bibir.

2. Selepas bibir lembut, gunakan pelembap dan biarkan beberapa saat hingga lembapannya menyerap. Pemakaian salap bibir sangat penting untuk mengunci kelembapan dan mengelak bibir pecah.

3. Buat garis bibir menggunakan pensil bibir warna ‘nude’, kemudian sapukan gincu rona kegemaran anda.

4. Tekan perlahan bibir yang sudah diberi warna menggunakan tisu, sapukan kembali gincu dengan warna yang sama.

5. Terakhir, sapukan bedak tabur pada permukaan bibir sebagai lapisan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 3:34 PM