NUR Putri Aina bijak bahagi masa antara keluarga, pelajaran dan perniagaan. FOTO Aziah Azmee
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

USIA baru menginjak 23 tahun namun cita-citanya besar mahu mengubah nasib keluarga. Bagaimanapun, itu bukan omongan kosong, sebaliknya pada usia seawal itu wanita ini bijak merebut peluang di depan mata.

Jika ramai remaja seusianya lebih selesa mengharapkan bantuan ibu bapa untuk mengisi duit poket, Nur Putri Aina Afrinna sudah mampu menjana pendapatan sendiri melalui penjualan coklat di bawah label Afrinna Chocolate.

Sejak tiga tahun lalu, Nur Putri Aina atau lebih mesra disapa Aina memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan untuk mendapatkan wang poket bagi menampung kehidupan sebagai pelajar Diploma Perakaunan dan Perniagaan di Institut Profesional Baitulmal.

Percaturannya membuahkan hasil, malah dia tidak menyangka daripada pendapatan ratusan ringgit, perniagaan yang bermula secara dalam talian itu mampu mencecah pendapatan empat angka sebulan.

Kini, ibu muda ini lebih berbangga apabila usahanya itu menjadi platform buat suri rumah untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjadi ejen pesan hantar (dropship).

Sepanjang terbabit dalam penjualan coklat, banyak pahit manis yang dilalui dan tidak dapat dilupakan. Pernah ditipu pelanggan dan mengalami kerugian yang agak banyak malah bukan itu saja, dia terpaksa meredah hujan lebat serta panas terik hanya untuk memuaskan hati pelanggan namun baginya merekalah keutamaan sebagai sumber rezeki.

“Bagaimanapun, adat berniaga memang tidak terlepas daripada cabaran antaranya persaingan tapi bagi saya industri coklat ini masih luas dan banyak ruang yang boleh kita terokai. Jadi, saya tidak pernah mengalah mahupun berasa lemah semangat, sebaliknya semua itu menjadikan saya lebih kuat berusaha untuk mencapai sasaran.


PRODUK coklat Aina membantu ramai suri rumah dan pelajar tambah pendapatan. FOTO Aziah Azmee

“Fokus saya bukan saja untuk mengambil keuntungan tapi ingin membantu lebih ramai ‘buat duit’ dengan mudah hanya dari rumah.

“Saya yakin dengan keadaan ekonomi sekarang terutama kos hidup yang amat tinggi di bandar besar seperti di Kuala Lumpur ramai yang ingin mencari pendapatan sampingan. Jadi, saya sedia membantu mereka dengan modal yang rendah.

“Bagi saya, tujuan berniaga bukan semata-mata untuk keuntungan. Saya ingin membantu pelajar dan suri rumah yang mahu mencari pendapatan sampingan untuk menampung kehidupan mereka yang mencabar. Kalau boleh, saya juga mahu melihat lebih ramai golongan muda khususnya yang beragama Islam untuk menjadi peniaga dan usahawan.

“Jika kita dapat memakmurkan ekonomi masyarakat dengan cara yang mematuhi syariah maka akan kuranglah pelbagai masalah sosial yang membabitkan isu kewangan kerana saya lihat banyak kes jenayah disebabkan desakan hidup,” katanya.

Dalam usaha membantu orang lain, ibu muda kepada seorang cahaya mata berusia setahun tujuh bulan ini berpendapat dia perlu mengukuhkan sumber kewangannya dan menambah pengalaman perniagaannya terlebih dulu. Oleh itu, tidak hairanlah jika dia ligat mengintai dan mencari peluang.

Tidak kira berapa sibuk, dia tetap mencuri masa membuka gerai jualan di kolej, universiti, pejabat dan hospital. Tidak cukup dengan itu, Nur Putri Aina turut mengusahakan pelbagai produk makanan seperti pastri dan kek selain menerima tempahan katering.


IBU, Aslina Kamarudin (kiri) sentiasa menjadi penyokong kuat Nur Putri Aina meniti kejayaan. FOTO Aziah Azmee

Di samping membuka gerai jualan, wanita ini juga mengambil vendor makanan yang berminat untuk meletakkan produk mereka sebagai satu cara membantu pengusaha lain berkongsi rezeki.

Terasa lelah mendengar Nur Putri Aina menyenaraikan jadual hariannya yang padat. Mana tidaknya, selain ligat berniaga, dia perlu menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu dan pelajar. Bahkan, dia mahu menjadi teladan kepada adiknya bahawa seseorang itu boleh menjalankan pelbagai kerja dalam satu masa dengan baik.

Dari mana datangnya kekuatan ini? Mungkin ada yang berkata, dia boleh melakukan semua itu kerana umurnya yang masih muda. Nur Putri Aina tersenyum mendengar pertanyaan ini dan mengakui tanpa perancangan rapi, tidak mungkin dia mampu menguruskan rutin hariannya dengan baik.

Katanya, dia membahagikan masa antara berniaga dan belajar dengan menyusun jadual hariannya sebaik-baiknya. Namun dia beruntung kerana ibu, Aslina Kamarudin, 45, juga banyak membantu melicinkan perjalanan perniagaannya itu.

Aina berkata, keluarga adalah tunjang kekuatannya yang banyak memberi sokongan baik dalam pelajaran mahupun perniagaan. Baik suami, ibu bapa dan adiknya, insan inilah yang banyak memberi nasihat serta kata-kata semangat untuk terus berjaya dalam bidang diceburi.

“Sebagai anak sulung saya perlu membantu keluarga dan buktikan kepada mereka saya boleh berjaya. Disebabkan amat meminati bidang perniagaan, ia lebih memudahkan saya fokus dengan apa yang saya buat sekarang.

“Adatlah dalam berniaga mesti ada pahit dan manisnya. Banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuh untuk mencapai kejayaan tapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memajukan bisnes kecil-kecilan ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir penjualan coklat membolehkannya memperoleh pendapatan ribuan ringgit malah kadang-kadang lebih daripada itu hingga membulatkan tekadnya untuk turut membantu orang lain menambah rezeki.

Sebagai anak pula, katanya, tentu berhasrat mahu membantu ibu bapa dan memberi kesenangan selagi mereka masih ada. Sebab itu dia berusaha keras sehingga kini untuk mencapai impian dan membantu orang lain melalui usaha kecil ini.

Sibuk bekerja, belajar dan berniaga, bila pula dia meluangkan masanya untuk berseronok? Sambil tersenyum dia menjawab, keseronokan itu ada dalam semua perkara yang dilakukannya kerana ia berlandaskan pada minatnya untuk berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:55 AM