AISHAH bijak mengatur perjalanan perniagaannya. FOTO
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

MEMBESAR dalam persekitaran berbeza di United Kingdom (UK) pada usia 19 tahun dan sering berulang-alik dari London ke Malaysia dan kini ke Korea Selatan membuatkan Nik Anis Aishah Nik Mohd Azmi atau panggilan mesranya Aishah lebih matang berbanding usia sebenarnya.

Malah disebabkan perjalanan ke setiap negara seorang diri atau ditemani adik, Aishah menjadi seorang yang berdikari, berkeyakinan dan berani berhadapan pelbagai situasi.

Bermula dengan gemar berlibur ke luar negara sejak zaman persekolahan, dia memulakan misi melancong ke Jakarta (Indonesia), Seoul (Korea Selatan), China dan Bangkok (Thailand) sekali gus menimbulkan minat untuk berniaga.

“Saya sebenarnya adalah peminat koleksi BT21, tetapi koleksi ini cuma boleh didapati di Korea Selatan dan dijual di UK. Apabila berada di luar negara dan bertemu aksesori atau produk yang unik saya akan membeli barangan ini dan menjualnya kepada rakan di Malaysia. Contohnya, barangan kumpulan K-Pop terkemuka, BTS yang menjadi kegilaan ramai. Setiap kali memuat naik gambar koleksi yang saya ada ramai memberikan maklum balas ingin mendapatkannya,” katanya.

Aishah yang juga gemar membeli-belah mengakui setiap produk yang dijumpai tidak terus dijadikan bahan jualan sebaliknya me­ngambil kira kehendak pembeli.

“Saya juga seorang pelanggan, jadi saya mengambil kira kehendak mereka. Saya tahu apa yang diniagakan. Kebiasaannya, saya akan membaca komen pelanggan bagi memastikan benar-benar faham dan boleh memberi penerangan kepada pembeli me­ngenai produk dan barangan yang dijual.“Jangan salah faham kerana saya tidak mengambil tempahan awal kerana bukan pembeli peribadi. Ia konsep berbeza kerana saya hanya membeli barangan unik untuk dijual,” katanya yang menggunakan peluang bercuti bersama keluarga untuk mendapatkan barangan kegemarannya.

Anak kelahiran Kedah ini mengakui setiap bulan dia menyediakan slot untuk melancong dari satu negara ke negara lain. Dia yang menetap di London selama empat tahun kerana mengikut ibu bapa yang berniaga di sana sering menjadikan Korea Selatan sebagai lokasi utama.

Biasanya dia akan berada di Korea Selatan selama lima hari dan berjalan-jalan di bandar raya Seoul terutama di Myeong-dong dan Itaewon bagi mendapatkan koleksi barangan. Adiknya akan menemaninya mencari koleksi yang diinginkan di setiap negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Jika Korea Selatan terkenal dengan produk selebriti, Thailand pula lebih menjurus kepada jenama indie manakala Filipina menawarkan koleksi unik barangan fesyen wanita. Di sinilah letaknya cabaran kerana bukan mudah mendapatkan koleksi aksesori, pakaian, kasut atau beg tangan yang berkualiti namun moden dan glamor. Biasanya saya bertanya kepada kawan dan melayari media sosial untuk mendapatkan maklumat. Jika tidak sesuai saya tidak akan memasarkannya,” katanya.

Menjadikan ibu sebagai inspirasi kerana dia juga seorang usahawan, jelas Aishah, dia berterima kasih kepada ibu dan ayah yang memberikan galakan untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan. Istimewanya ibu tidak pernah cuba mencari kesalahan sebaliknya memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada Aishah.

“Ibu seorang yang sangat dedikasi dalam melakukan apa juga perkara. Minat, kesabaran dan motivasi yang ditunjukkan memberikan inspirasi kepada saya untuk melakukan lebih baik daripada ibu. Sedangkan ibu terpaksa membahagikan masa dan tenaga menjaga keluarga pada masa sama menjalankan perniagaan sudah pasti saya sangat teruja dan berbangga dengannya.

“Begitu juga dengan perjalanan karier kumpulan BTS yang dikenali di serata dunia. Aura positif yang disebarkan memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seperti mereka berjaya dalam bidang yang diceburi tanpa mengalah,” katanya.

Sejak kecil gadis ini sememangnya gemar melancong. Sejak berusia belasan tahun dia sudah diberikan kepercayaan untuk menaiki kapal terbang seorang diri ke London. Bermula daripada situ timbul keseronokan sehingga dia bertambah yakin untuk melancong ke luar negara seorang diri.


KINI memiliki butik yang dikongsi dengan ibunya. FOTO

Bekas penuntut Universiti London Metropolitan dalam jurusan perniagaan ini pernah ke Amerika Syarikat dan Jamaica seorang diri. Aishah mengakui sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, apa yang penting pastikan pasport, duit dan telefon sentiasa ada di tangan.

“Sepanjang berada di negara orang saya cuba menyelesaikan setiap masalah yang datang. Untuk mengharapkan bantuan keluarga tidak mungkin kerana mereka berada jauh dari saya. Setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik. Walaupun saya datang dari Asia namun tiada diskriminasi, mereka menerima saya sepenuhnya. Cuma tubuh saya yang kecil membuatkan saya sering dikatakan sebagai budak bawah umur,” katanya sambil ketawa.

Guna media sosial

Sebagai pengguna aktif media sosial Aishah menggunakan sepenuhnya Twitter, Instagram, kpopstore serta membuka akaun Carousell dan Facebook bagi memudahkan perniagaannya. Dalam hal ini visual memainkan peranan penting untuk menarik jualan. Sebab itu dia akan memastikan setiap gambar produk berkualiti dengan mengambil kira pencahayaan dan perkara sampingan sebagai tarikan kepada pembeli.

“Selepas pelanggan tertarik dan bertanyakan lebih lanjut di media sosial saya menggunakan kemahiran memujuk bagi meyakinkan mereka mengenai produk yang dijual. Kebiasaannya mereka percaya dengan apa yang saya sampaikan,” katanya yang turut menggunakan emoji comel di bahagian keterangan gambar bagi mendapatkan perhatian.

Selain menjual menerusi dalam talian, Aishah turut memiliki butik fizikal di Pulau Langkawi yang dikongsi dengan ibunya menggunakan label Langkawi Designer Outlet. Kedai ini baru beroperasi di Langkawi sebulan yang lalu.

“Ramai bertanya mengapa saya memilih Langkawi sebagai lokasi dan bukannya di Kuala Lumpur. Jawapan saya cuma satu. Langkawi adalah pusat pelancongan yang namanya meniti di bibir pelancong. Banyak pelancong tempatan dan luar negara datang silih berganti. Barangan yang kami jual

juga dibeli pada harga berpatutan dan unik,” katanya.

Kehadiran butik kecil ini sekali gus memberikan semangat untuk Aishah memajukan dirinya untuk menjadi usahawan berjaya pada masa akan datang. Aishah juga ingin memperluaskan pasaran bisnes bukan saja di Malaysia, tetapi secara global.

“Sudah semestinya saya perlu bekerja keras bagi memastikan impian ini terlaksana,” katanya bersemangat.

Sebagai wanita yang baru melangkah ke alam dewasa, nasihat Aishah kepada remaja yang ingin memulakan perniagaan supaya tidak menunggu sehingga ada modal untuk memulakan perniagaan mereka.

“Mulakan secara kecil-kecilan dan kumpul modal dulu, barulah mengembangkan perniagaan. Saya dulu bermula dengan keuntungan kecil sahajam tetapi ia tetap untung. Jangan sedih sekiranya barangan dijual tidak mendapat perhatian pelanggan. Cuba ubah cara promosi dan pemasaran. Lama-kelamaan anda akan menemui rentaknya,” katanya.

Sebagai peniaga Aishah mengharapkan pelanggan berpuas hati dan gembira dengan perkhidmatan disediakan.

“Visi saya, pastinya ingin memartabatkan pasaran Asia secara global, kerana sememangnya Malaysia kaya dengan budaya dan produk yang versatil dan unik,” katanya yang meminati komik Jepun dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:16 PM