UNTUK wanita berkerjaya.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

WALAUPUN di bandar terkenal dengan kehidupan gaya hidup mewah serta berpenampilan moden, Muslimah sebenarnya masih boleh mengikut dan mengamalkan satu sistem kepercayaan mengenai pakaian patuh syariah, bertudung labuh adalah tidak kolot.

Ingin membuang tanggapan wanita bertudung labuh tidak mampu mencapai kejayaan dalam bidang diceburi mereka, bagi pengasas jenama Bymirasya Sharmimi Razak dia mengakui ia satu anggapan salah dan wajar diperbetulkan.

“Siapa kata wanita bertudung labuh tidak mampu mencapai kejayaan dalam lapangan bidang diceburi mereka? Hari ini ramai Muslimah menunjukkan kejayaan dalam pelbagai kerjaya profesional,” katanya.

Bertujuan mempromosi gaya hidup Muslimah di bandar supaya berpakaian menutup aurat sepenuhnya Sharmimi memulakan langkah pertama dengan memperkenalkan jenama tudung labuh rekaannya.

“Idea mengeluarkan rekaan tudung labuh tercetus selepas saya mendapati tidak banyak rekaan tudung labuh segera di pasaran yang menepati cita rasa untuk kegunaan sendiri.

“Jika ada materialnya tidak berkualiti. Dorongan ibu dan rakan yang meminta saya menghasilkan tudung labuh akhirnya dapat direalisasikan dengan terhasilnya rekaan tudung segera ini,” katanya yang mula menghasilkan selendang kemudian selepas setahun barulah dia memperkenalkan potongan dua muka.


RONA hijau pudina lebih meyakinkan.

Keistimewaan koleksi Qaisara Instant ini apabila memperkenalkan potongan dua muka dengan sengkuap yang dijahit sekali bersama tudung. Sasaran adalah untuk wanita berkerjaya yang ingin sentiasa kemas dan nampak cantik sehingga selesai waktu pejabat.

“Saya sering menerima rungutan pelanggan me­ngenai selendang yang me­ngambil masa lama untuk dipakai sedangkan wanita ingin cepat dan pantas terutama selesai bersolat.

“Kehadiran jenama ini tepat pada masanya apabila ia mudah dipakai hanya sarungkan sahaja kemudian betulkan di bahagian seng­kuap,” katanya yang mula memperkenalkan rekaan­nya ini pada 2016.

Memudahkan cara me­nguruskan tudung, ujar Sharmimi, dia menggunakan material berkualiti tinggi untuk koleksi tudung segera yang dihasilkannya.

Untuk sengkuap fabrik spandex dipilih kerana ia tahan lebih lama, tidak berbulu dan mudah dibasuh manakala bahagian kain menggunakan sifon premium pandora iaitu sejenis fabrik yang agak tebal, namun ringan dan terletak cantik apabila digayakan.

“Selain tahan lama material ini juga kelihatan eksklusif dan cantik digayakan ke pejabat mahupun dipakai pada hujung minggu. Ia sesuai untuk kaki libur yang aktif dan ingin cepat dalam aktiviti harian mereka. Bagi ibu yang mempunyai anak kecil, tudung segera ini memang ditujukan khas untuk anda. Ia bukan saja mudah dipakai, malah jika anak menarik tudung, ia juga senang dibetulkan,” katanya.


WARNA gelap lebih eksklusif.

Hadir dalam 15 rona iaitu pastel yang ditujukan kepada mereka yang menggemari rona lembut dan warna gelap untuk gaya eksklusif. Kesemua warna polos ini mudah disuai padan dengan pakaian harian wanita terutama mereka yang berusia 23 hingga 45 tahun.

Berhasrat ingin memartabatkan golongan wanita, Sharmimi menjelaskan dia banyak membuka peluang perniagaan kepada golongan suri rumah dan wanita berkerjaya bagi memberikan pendapatan sampingan kepada mereka.

“Saya gembira kerana dapat membantu suri rumah, ibu tunggal mahupun yang sudah bekerja bagi mendapatkan wang tambahan menerusi ejen jualan. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan bebanan kewangan suami,” ulasnya.

Dijual pada harga RM69 untuk Qaisara Instant dan harga kombo RM60 sehelai untuk pembelian tiga helai tudung ke atas. Boleh didapati dalam ukuran L (1.9 meter) manakala XL (2.1 meter) dan dijual pada harga yang sama. Semua koleksi ini didapati di butik Bymirasya di Shah Alam serta pembelian dalam talian atau menerusi stokis dan ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:37 PM