BAHAN-BAHAN membuat masker betik. Betik masak, lemon dan madu.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

BAGI kebanyakan wanita kulit berjeragat seakan-akan mimpi ngeri yang sukar dihilangkan. Ini kerana jeragat boleh menyebabkan penampilan sedikit terganggu kerana tompokan hitam ini akan membuatkan sapuan bedak sukar menutupinya. Malah ia meninggalkan kesan kehitam-hitaman yang memburukkan lagi penghasilan solekan anda.

Dalam erti kata lain walau setebal mana sekalipun bedak atau semahal mana sekalipun bedak asas digunakan ia tidak dapat menutupi jeragat.

Untuk itu ramai mencuba pelbagai produk menghilangkan jeragat namun ia amat sukar. Ada pula membuatkan jeragat semakin buruk disebabkan kesan produk yang tidak sesuai dengan kulit.

Percaya atau tidak wanita zaman dulu hanya menggunakan bahan semula jadi daripada dapur bagi mencantikkan kulit mereka. Mereka percaya sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai warna adalah ejen terbaik mengurangkan masalah jerawat seterusnya memperlahankan pertumbuhan jeragat.

Bagi Noor Hafizah Mohd Shah, 36, dia percaya masker yang dihasilkan menggunakan buah-buahan tempatan sangat baik untuk mengurangkan masalah kulit. Ini terbukti apabila dia sendiri menggunakan betik bagi menghambat jeragat dan menghalang tompokan akibat kesan jerawat.

“Jeragat memang lebih sukar dihilangkan berbanding jerawat. Oleh itu pemakanan, petua dan juga cara mengurangkannya adalah berbeza sama sekali dengan kulit berjerawat. Menggunakan betik masak ia terbukti mampu memulihkan wajah akibat jeragat, mengembalikan kulit kusam, menghilangkan parut dan kedutan,” katanya.


AMBIL kiub masker kemudian sapu pada kulit wajah setiap hari.

Sambil menunjukkan cara mudah membuat masker betik di rumah, ujar Noor Hafizah, masker betik amat mudah disediakan, cepat serta pantas berkesan pada muka.

“Ia juga selamat pada kulit kerana tiada kesan sampingan, tidak memedihkan kulit dan menyebabkan kegatalan. Sapuannya membuatkan kulit terasa sejuk dan nyaman,” katanya.

Selain itu campuran betik dan lemon meninggalkan rasa manis-manis buah dan menenangkan. Bagi memulakan langkah membuat masker sediakan bahan-bahan utama seperti isi betik masak, satu sudu madu dan sedikit perahan lemon.

“Kisar kesemua bahan-bahan ini tanpa meletakkan air. Ini kerana betik memiliki kandungan air yang tinggi. Selepas itu tambahkan madu dan sedikit perahan lemon. Kacau sehingga sebati.

“Kemudian masukkan dalam acuan dan sejuk bekukan selama satu jam. Apabila ingin dipakai cuma gosokkan perlahan pada seluruh kulit wajah dan biarkan selama 10 minit. Bilas dengan air biasa,” katanya.

Dia yang sering melakukan rawatan masker ini memberitahu, kulit akan terasa sejuk, lembap dan licin. Menerima petua ini daripada ibunya, Noor Hafizah turut mengakui pada mulanya kulit menjadi sedikit tegang namun ia hanya bersifat sementara.

“Saya yang mengamalkannya sejak remaja amat gemarkan masker betik ini. Selepas memakainya kulit terasa sangat lembut dan gebu. Malah jeragat pula ‘malu’ untuk tumbuh pada muka disebabkan keberkesanannya,” ujarnya yang menasihati wanita berkulit kering supaya mula memakai masker betik sebagai amalan seharian.


SEJUK BEKUKAN campuran betik, lemon dan madu selama satu jam.

Betik menjadi penawar dan menghambat jeragat terbaik kerana buah ini mengandungi vitamin C yang tinggi, beta karotin dan asid alfa hidroksi (AHA) yang baik untuk kulit. Antara kebaikan bahan mineral yang terdapat dalam betik adalah:

1. Kandungan vitamin C sangat tinggi dalam betik. Seperti yang diketahui vitamin C boleh mencerahkan kulit, memberhentikan penghasilan melanin atau pewarna kulit coklat yang menyebabkan terjadinya tompokan jeragat sekali gus merangsang kolagen dalam kulit.

2. Beta karotin pula menggalakkan warna kulit menjadi lebih sekata.

3. Enzim papain dan AHA adalah asid buah semula jadi yang bertindak sebagai agen penanggal sel kulit mati, jadi tidak mustahil masker betik mampu menjadikan kulit lebih cerah, bersih dan licin tanpa parut jerawat dan kesan jeragat tebal.

PANDUAN ELAK JERAGAT:

1. Konsisten memakai masker betik pada setiap hari atau dua kali seminggu sekiranya inginkan bayang jeragat terus hilang

2. Setiap kali keluar rumah pastikan memakai krim pelindung matahari mengandungi SPF 35 paling minimum. Pemakaian krim pelindung matahari mampu mengelak kulit menjadi gelap, mudah berjeragat dan berkedut.

3. Makan makanan berkhasiat. Elakkan makanan berminyak.

4. Minum banyak air sekurang-kurangnya dua liter sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:21 PM