PESERTA perlu membuat semula rekaan baru daripada pakaian terpakai. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

HUJUNG minggu yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga dikorbankan wanita ini demi membantu insan lebih memerlukan. Dek mahu melihat mereka menguasai asas jahitan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing, dia rela menghabiskan masa dan tenaga mengajar peserta dalam projek menjahit semula baju terpakai melalui inisiatifnya, Remade by Magic.

Bagi Nur’Atirah Razali, 36, melihat golongan wanita daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) ini seakan-akan mengingatkan dirinya sendiri yang terlebih dulu berdepan kesukaran hidup sejak kecil.

Apatah lagi kejayaan produk inovasi hasil reka ciptanya iaitu pembaris pola jahitan atau dipanggil Magic Ruler sebelum ini sudah membantu ramai wanita meningkatkan taraf kehidupan dengan kemahiran menjahit, dia nekad mahu memberi semula kepada masyarakat.

“Saya sendiri lahir dalam keluarga susah dan sejak kecil sudah terbiasa berdikari mencari duit untuk kegunaan persekolahan. Oleh itu saya mahu produk yang saya cipta ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk menambah pendapatan.

“Melalui Magic Ruler ini, lebih mudah membuat pola blok dengan pengiraan yang sudah ditetapkan. Pelajar saya mendapati alat ini lebih mudah digunakan, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenai jahitan,” katanya ketika ditemui di studio dan pusat jahitan miliknya, D’Athirah Design di Shah Alam, baru-baru ini.

“Melalui Magic Ruler ini, lebih mudah membuat pola blok dengan pengiraan yang sudah ditetapkan. Pelajar saya mendapati alat ini lebih mudah digunakan, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenai jahitan,” katanya ketika ditemui di studio dan pusat jahitan miliknya, D’Athirah Design di Shah Alam, baru-baru ini.

Projek Remade by Magic, katanya, sebagai usaha untuk membantu wanita terdiri daripada ibu tunggal, menghidap kanser, berpendapatan rendah dan ada dalam kalangan mereka terpaksa berdepan kesukaran hidup kerana suami diisytihar muflis dan diberhentikan kerja.

NUR’ATIRAH mahu bantu ramai golongan B40 meningkatkan kemahiran.

Katanya, projek itu lahir kerana ramai di antara mereka tidak mampu mengikuti kelas jahitan yang biasanya dikenakan yuran agak mahal antara ratusan hingga ribuan ringgit.

Ibu kepada empat cahaya mata ini seterusnya berasa terpanggil untuk membantu kira-kira 11 peserta pertamanya Disember lalu untuk mengikuti kelas jahitan peringkat asas dalam tempoh dua bulan.

Katanya, peluang sebagai mentor di Kolej Komuniti Shah Alam diambilnya untuk menyediakan sijil kemahiran sebagai pelajar separuh masa menerusi projek itu.

Menurutnya, hanya yuran pendaftaran RM100 yang semuanya digunakan untuk membeli barangan dan peralatan menjahit selain sebagai komitmen peserta yang terbabit dalam projek itu.

Guna barang terpakai

Menariknya, projek itu juga membabitkan inisiatif guna semula barang terpakai apabila dia mengalu-alukan pemberian pakaian terpakai atau kain lebihan untuk dijahit semula menjadi rekaan baru.

Pakaian siap dijahit itu kemudian akan dijual semula dengan harga berpatutan untuk peserta menambah pendapatan.

“Peserta ini semuanya tiada asas menjahit dan saya bersama tiga tenaga pengajar melatih mereka hingga mahir menjahit dan mengambil tempahan.

“Ada beberapa peserta yang sudah pun mendapat tempahan walaupun baru seminggu mengikuti kelas ini. Memang menjadi harapan saya agar mereka dapat tingkatkan diri dan suatu hari nanti ada label jenama sendiri.

“Di sini, saya tidak hanya mengajar menjahit, tapi saya turut ajar mereka cara mengira kos dan bagaimana untuk memulakan perniagaan sendiri selepas mahir menjahit,” katanya.

Menurut Nur’Atirah, selepas tamat silibus pembelajaran, latihan akan diberikan kepada peserta dan dari situ perkembangan mereka akan dipantau. Pakaian yang disiapkan juga dipastikan mempunyai kualiti untuk dijual semula.

NUR’ATIRAH (kanan) bersama peserta projek Remade by Magic.

Katanya, pemilihan pakaian yang didermakan juga dilakukan dengan teliti. Hanya yang masih berkualiti diambil dan digunakan untuk direka semula.

Nur’Atirah berkata, meskipun projek itu tidak berbentuk keuntungan, tapi kepuasan dapat membantu golongan memerlukan menjadi keutamaannya.

Katanya, suami, Mohd Zaffidin Mohd Azman begitu memahami niat murninya itu dan tidak jemu memberi sokongan malah dengan rela hati menjaga anak mereka ketika dia mengajar pada hujung minggu.

Nur’Atirah mencipta versi pertama Magic Ruler pada 2016 dan menggunakannya untuk kelas jahitannya sendiri. Ia terbukti berjaya, memberi inspirasi kepadanya menghasilkan versi yang lebih baik untuk ditawarkan kepada orang ramai.

Berbanding pola kertas yang biasa digunakan dalam jahitan, rekaannya membolehkan pembaris yang diperbuat daripada plastik keras itu digunakan untuk semua saiz dan mesra pengguna.

Produk itu juga muncul juara dalam kategori awam bagi Zon Tengah-Selatan pertandingan inovasi anjuran Yayasan Inovasi Malaysia tahun sama.

“Banyak lagi rancangan untuk membantu ibu tunggal yang saya mahu lakukan. Dalam syarikat, saya sudah pun meletakkan sebahagian keuntungan untuk golongan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 3:17 PM