KACAK bergaya dengan busana batik.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

JIKA dulu ramai beranggapan pakaian bercorak batik lebih sinonim digayakan golongan berusia, namun persepsi itu nyata berubah kini apabila ramai orang muda termasuk lelaki memilih menggayakan busana batik.

Fenomena itu semakin menular di negara ini apabila kemeja bercorak batik menjadi pilihan anak muda dalam fesyen harian dan kini ia umpama koleksi wajib ada di dalam setiap almari pakaian.

Ternyata, batik mempunyai keunikan tersendiri dan nilai seni yang tinggi serta wajar dibanggakan apatah lagi jika ia hasil keluaran tempatan yang direka bagi memenuhi cita rasa golongan muda di negara ini.

Berusaha menarik minat lelaki muda untuk cintakan batik, BFAKL tampil dengan koleksi batik tersendiri.


GAYA maskulin menggayakan batik.

Menurut pengasasnya, Akeem Halizan, kemeja batik berpotongan muat padan dihasilkan untuk menarik minat anak muda bergaya dengan fabrik bercorak batik.

“Selain tampak unik, koleksi ini selesa digayakan, malah sesuai dipakai ke pelbagai lokasi dan acara. Lebih menarik, koleksi ini menyerlahkan gaya maskulin lelaki masa kini.

“Kami sentiasa menitikberatkan produk berkualiti selain eksklusif khusus kepada penggemar batik di Malaysia tanpa mengira status dan saiz badan,” katanya.

Menurutnya, atas kualiti yang memuaskan, koleksi ini bukan saja dijual di negara ini, malah turut mendapat pesanan daripada individu di negara luar.


BOLEH digayakan dalam pelbagai acara.

“Bagi memberi kelainan, kami menggunakan daya kreatif selain bermain dengan corak dan sambungan unik fabrik bagi memastikan rekaan terhasil tampak menarik.

“Hasrat utama kami adalah untuk mengubah persepsi pengguna terhadap penggunaan batik dalam fesyen harian,” ujarnya.

Katanya, dari segi saiz, pihaknya menawarkan saiz bermula daripada S sehingga ke saiz besar.

“Semua koleksi boleh didapati dengan harga bermula RM99 hingga RM129 bergantung kepada rekaan dan corak. Kami menyasarkan lelaki berusia 16 hingga 50 tahun untuk menggayakan koleksi ini,” katanya.


BUSANA yang boleh digayakan dalam pelbagai acara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 12:11 PM