YANN bermula sebagai penari, jurusolek dan bakal mengeluarkan produk sendiri. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

WANITA ini memiliki pelbagai kebolehan. Bakat yang dianugerah Allah dalam bidang tarian, andaman dan solekan digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan keyakinan diri. Namun, untuk mencapai kejayaan dalam bidang solekan dan dandanan bukanlah sesuatu yang mudah.

Tambahan pula dia yang mahu dikenali sebagai Yann Rifft terlebih dulu bergelar pramugari dengan Penerbangan Malaysia (MAS) selama 23 tahun. Dalam tempoh ini jiwanya kental dan sebati dengan kerjaya di awan biru.

Seorang yang murah senyuman, jelas wanita kelahiran Melaka ini, kerjayanya bermula sebaik saja menamatkan pengajian tingkatan lima dan dia ditawarkan sebagai penari kebudayaan di Jabatan Ketua Menteri Melaka.

"Sejak kecil saya memang meminati bidang tarian. Apabila ditawarkan sebagai penari kebudayaan, ia membuka peluang memperkenalkan tarian tradisional di luar negara. Pada usia 19 tahun, saya berpeluang mempersembahkan tarian kebudayaan ke luar negara. Pakaian tradisi kebaya bersama aksesori di kepala ia cukup menarik minat pelancong untuk mengenali negara kita dengan lebih dekat," katanya ketika ditemui di studio, Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun selepas empat tahun Yann mula mencuba nasib sebagai pramugari. Sememangnya gelaran kru kabin cita-citanya sejak kecil. Namun dia sedar dengan ketinggian 159 sentimeter (sm) mana mungkin dia mampu bersaing dengan peserta lain yang lebih tinggi.

"Alhamdulillah mungkin sudah rezeki saya, saya ditawarkan kerjaya sebagai pramugari walaupun memiliki ketinggian minimum. Ia sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang melancong ke luar negara dan melihat kebudayaan negara orang lain. Peluang diberi MAS saya gunakan sebaik-baiknya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Bekerja sambil melancong menyebabkan Yann melihat peluang terbuka luas dalam perniagaan.

Ketika kunjungan ke China dia mendapati banyak barang boleh diniagakan. Oleh kerana meminati bidang andaman dia mula memikirkan untuk memberikan perkhidmatan ini kepada bakal pengantin baru.

“Saya mula mencari barang sedikit demi sedikit untuk mempelai. Akhirnya lengkaplah studio andaman diberi nama Jemari Beauty dan saya terus membuat promosi di kawasan sekitar. Oleh kerana masih bekerja, andaman hanya dilakukan ketika bercuti. Ini bagi mengelak ia mengganggu tugasan hakiki sebagai pramugari,” katanya.

Yann juga gemar berkunjung ke Korea Selatan, China dan Jepun untuk mendapatkan koleksi barangan pengantin. Lama-kelamaan disebabkan pakej disediakan murah dan berkualiti, ramai bakal pengantin mendapatkan perkhidmatannya sehinggakan dia tidak mampu menguruskan secara bersendirian.

Tertekan selepas kelahiran cahaya mata

Pada 1998 selepas kelahiran cahaya mata pertama dia terpaksa menukar jadual kerja 100 peratus. Ini disebabkan masa yang sangat terbatas dan perlu memberikan komitmen kepada keluarga.

“Disebabkan jadual kerja yang padat, ditambah perlu sering bertugas ke luar negara membuatkan saya sangat tertekan. Saya mula mengambil kelas solekan kerana ia selari minat serta perniagaan andaman yang diusahakan.


WANITA serba boleh dan berkemahiran dalam pelbagai bidang. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

"Sehinggalah Allah memberikan idea kepada saya untuk menyertai pertunjukan fesyen di pentas peragaan dan keluaran majalah. Bermula daripada situ saya menyertai pelbagai pertandingan solekan," katanya.

Pada 2015, apabila dia semakin dikenali sebagai jurusolek pengantin, Yann mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai pramugari dan menumpukan perhatian sebagai jurusolek.

“Walaupun ia satu keputusan berat, saya terpaksa membuat pilihan. Lagipun anak semakin membesar dan saya turut mempunyai anak kembar lelaki yang memerlukan lebih perhatian. Mahu atau tidak saya perlu melepaskan jawatan,” ujarnya.

Benar kata orang perniagaan membuka pintu rezeki yang sangat luas. Tanpa disangka dia bukan saja bergelar jurusolek sebaliknya terbabit dengan penganjuran acara. Antaranya bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia untuk Hari Kraftangan Kebangsaan dan menganjurkan Pertandingan Wanita Melayu yang memasuki tahun keenam.

Pada masa sama Yann turut menyambung pengajian dengan mengambil Sijil Kemahiran Mara (SKM) dalam bidang solekan serta Vokasional Training Operation (VTO) untuk menjadi tenaga pengajar. Ini disebabkan dia terpanggil untuk meningkatkan kemahiran anak muda dalam bidang solekan.

“Biar mereka menjadikan kerjaya ini sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan bukan hanya kemahiran kelas kedua. Saya dapati ramai jurusolek profesional membina kerjaya mereka dalam bidang ini dan memiliki studio sendiri. Jadi dengan menjadi tenaga pengajar saya dapat membantu untuk mencapai impian bergelar jurusolek profesional,” katanya.

Pada masa sama Yann juga berhasrat mengeluarkan produk penjagaan wajah terutama untuk mereka yang sering bersolek tebal. Namun semuanya masih dalam perancangan dan juga kajian.

“Kualiti menjadi keutamaan kerana saya tidak mahu produk dihasilkan sekadar ikut-ikutan. Biarlah ia berkualiti setanding produk luar negara," katanya yang turut mengeluarkan popia keju resipi sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:06 PM