BUNGA ros riben.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

REBEN sering digunakan sebagai perhiasan untuk balutan hadiah dan juga aksesori bagi mencantikkan produk atau barangan. Namun idea Suzana Mustafa yang menjadikan reben sebagai bunga tangan sememangnya unik dan menarik.

Bukan itu sahaja dia yang terkenal dalam bidang kraf tangan menjelaskan terdapat pelbagai kegunaan mawar gulung berasaskan reben ini apabila ia turut dijadikan bunga pahar, hiasan bakul, gubahan bekas hantaran, alas meja, sarung kusyen, ikatan langsir, hiasan beg dan jambangan bunga meja.

Sambil menunjukkan langkah demi langkah menghasilkan bunga mawar kepada pembaca Hati Harian Metro, menurut Suzana, dia tertarik menggunakan reben disebabkan aksesori ini mempunyai pelbagai bentuk, warna dan juga fabrik berbeza.

“Sebelum menghasilkan sesuatu perhiasan misalnya bunga saya perlu mengetahui tekstur, kualiti, ukuran dan jenis reben di pasaran. Ini sangat penting kerana saiz reben memainkan peranan penting dalam pembentukan bunga gulung. Ada reben berukuran besar dan kecil inilah yang menentukan ukuran bunga yang dihasilkan,” katanya.

Bermula sebagai hobi dan juga minat terhadap reben mendorong Suzana menghasilkan pelbagai rekaan berasaskan bahan ini. Ia memerlukan kesungguhan dan ketelitian bagi menjadikan bunga kemas dan tiada cacat celanya. Selain reben, material fabrik dan juga renda turut boleh dibentuk menjadi bunga asalkan tahu caranya.

“Saya memilih reben kerana warna yang pelbagai. Lagipun, ia dekat di hati saya kerana sering digunakan sebagai perhiasan balutan hadiah. Jadi saya rasa adalah menarik seandainya saya menghasilkan rekaan menggunakan reben ini,” ujarnya.

Selain aktif di media sosial dengan memberikan panduan menghasilkan bunga reben Suzana juga turut menunjukkan beberapa produk yang dihasilkannya. Pada masa sama dia turut menjadi tenaga pengajar untuk Program Community Based Enterprise (CBE) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Program Skill-2-Income untuk golongan B40.

“Saya dapati sekiranya seseorang itu berkemahiran pelbagai produk boleh dihasilkan menggunakan reben. Selain dijadikan perhiasan di rumah bunga reben ini boleh dijual secara dalam talian. Sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan bagi keluarga kurang berkemampuan,” katanya yang turut menghasilkan produk sendiri di bawah label Suet Made.

LANGKAH-LANGKAH


1. BAHAN menghasilkan bunga mawar gulung iaitu reben, gam, gunting, lidi, benang dan jarum menjahit.

GUNAKAN reben berukuran 1.5 inci lebar dengan panjang 46 inci. Lipat segi tiga pada bahagian permulaan reben.

3.LIPAT hujung reben seperti dalam gambar.

4.GULUNG reben sebanyak lima pusingan. Kemudian jahit bahagian bawahnya. Jangan biarkan benangnya terputus.

5.MULAKAN menggulung reben secara longgar sehingga habis hujung reben.

6.CUCUK setiap lapis reben pada bahagian kiri dan kanan.

7.JAHIT pada setiap lapisan reben bermula di bahagian tengah untuk mengelak reben terlerai. Pastikan setiap lapisan kanan dan kiri reben dijahit. Tarik benang sehingga bahagian atas mengecut.

8.GAM bahagian hujung supaya tidak terlerai.

9.AMBIL lidi dan pasang pada hujung bunga reben yang sudah siap. Balut lidi dengan pelekat hijau.

BUNGA tangan berasaskan reben yang sudah siap dan sedia diberikan kepada mempelai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 1:39 PM