Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


HATINYA sayu, air mata cuba ditahan setiap kali menyertai aktiviti sukarelawan membabitkan anak yatim. Mana tidaknya tubuh kecil yang kebanyakannya masih tak mengerti apa-apa itu seboleh-bolehnya tidak mahu dilepaskan wanita berjiwa murni ini sebaik tamat program.

Perasaan itu wujud sejak 2009 lagi apabila buat pertama kalinya anak kelahiran Gombak, Selangor ini menganjurkan program amal lawatan ke rumah perlindungan anak yatim ketika dia masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia menjadi detik permulaan buat Syarifah Nurramadani Said Nadjamuddin, 31, bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan yang banyak mengajar dirinya erti sebenar kehidupan.

Memulakan bicara dalam berkongsi suka dukanya sebagai seorang sukarelawan, beliau yang juga pegawai audiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ini berkata, riak wajah dan kegembiraan terpancar pada wajah kanak-kanak setiap kali program dijalankan menjadi sebab utama mengapa dirinya memilih untuk terus berbakti serta berkongsi kasih dengan insan memerlukan.

“Jika ditanya mengapa, jawapan saya mudah. Saya mahu berkongsi kasih sayang dan bersama-sama membawakan kegembiraan khususnya kepada anak yatim.

“Tidak tergambar kesedihan yang saya rasai apabila dipeluk dan disayangi setiap kali program berlangsung, ternyata anak ini tidak mahukan wang ringgit tapi kasih sayang,” katanya.

Syarifah Nurramadani berkata, dia kemudian bertekad untuk terus mencurahkan bakti dalam aktiviti itu selagi hayat dikandung badan.

“Apa lagi yang lebih bermakna selain berkongsi kegembiraan? Saya yakin setiap individu terutama kanak-kanak sukakan kasih sayang bukannya pergaduhan, kesedihan atau kebencian.

“Disebabkan itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang, walaupun kini sering sibuk dengan tuntutan tugas hakiki, saya berusaha mencari masa terluang terutama pada hujung minggu untuk mencurah bakti,” ujarnya.

Menurutnya, atas rasa cintanya pada anak yatim, dia mewujudkan laman Instagram atas nama @gottagiveback khusus untuk berkongsi maklumat mengenai rumah perlindungan anak yatim atau asnaf di seluruh Malaysia.

“Ia boleh dijadikan rujukan kepada sesiapa saja yang mahukan maklumat mengenai rumah perlindungan anak yatim. Syukur, ia mendapat sambutan dan membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai anak yatim kepada orang awam.

“Saya juga berusaha menarik minat lebih ramai generasi muda khususnya untuk bersama-sama terbabit dalam aktiviti ini,” katanya.

Kata Syarifah Nurramadani yang mewarisi minat itu daripada ibunda tercinta berkata, dia juga terpaksa mengorbankan masanya terutama pada hujung minggu semata-mata untuk aktiviti murni itu.

“Boleh dikatakan hampir setiap minggu masa saya dihabiskan untuk aktiviti sukarelawan dan bersama-sama kanak-kanak ini. Seronok dan sangat bahagia apabila kita boleh melakukan aktiviti yang diminati.

“Soal penat ditolak ketepi kerana saya langsung tidak berasa penat malah bertenaga walaupun hakikatnya sibuk dengan tugasan harian di HKL. Inilah dikatakan minat mengatasi segalanya,” ujarnya tersenyum.

Menurutnya, selain berkongsi kasih sayang dengan kanak-kanak diraikan, dia juga gembira kerana aktiviti disertai itu membuka ruang untuknya menambah kenalan terutama dalam kalangan sukarelawan itu sendiri.

“Bagi kami, di samping menjalankan aktiviti, secara tidak langsung kami dapat beramah mesra dan berkongsi suka duka. Tekanan di tempat kerja atau masalah peribadi dapat dikurangkan apabila kita berasa gembira.

“Walaupun masa banyak dihabiskan untuk aktiviti ini namun saya puas. Puas apabila melihat senyuman terpancar pada wajah individu dirai terutama anak kecil,” katanya.

Menurut Syarifah Nurramadani, dia juga berazam untuk terus mencurah bakti sebagai sukarelawan dan memperbanyakkan penganjuran program amal.

“Selepas hampir 10 tahun, banyak yang saya pelajari terutama makna bersyukur, bersyukur dengan nikmat kehidupan dan kasih sayang yang kita rasai setiap hari, kerana terlalu ramai individu kurang bernasib baik yang sangat dahagakan semua itu.

“Walaupun kadangkala tidak mudah untuk saya bahagikan masa sebaiknya, namun saya yakin niat yang baik akan dipermudahkan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:49 PM