SIKAP Eriyca yang sentiasa optimis dan berusaha keras membawanya ke mercu kejayaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


DIKURNIAKAN pakej lengkap sebagai wanita, bertubuh langsing, kulit sempurna dengan gaya persis model ternama, ibu muda ini disifatkan sungguh bertuah apatah lagi apabila jenama produk yang diasaskannya semakin menunjukkan kejayaan.

Baru meniti usia 29 tahun, pemilik nama Eriyca Baiduri Abd Rashid begitu optimis terhadap cabang perniagaan baru diceburi bersama kakak dan adiknya.

Pernah bercita-cita menjadi pembaca berita selepas menamatkan pengajian ijazah dalam bidang komunikasi massa, Eriyca yang mesra disapa Madammu tidak pernah menyangka laluan kerjayanya jauh berbeza daripada diimpikan.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, obsesinya pada kecantikan mendorong memulakan langkah berani dengan memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan mengasaskan jenama Noir Beauty & Health meskipun dia sedar bukan calang-calang persaingan yang perlu ditempuhinya.

Namun, dia tidak gentar malah memang sifat semula jadinya yang akan membuat sesuatu sampai jadi. Tidak menoleh ke belakang, wanita ini cekal berdepan jatuh bangun dalam perniagaan.

Baginya, mungkin kekuatan diri dan dua adik-beradiknya itu mengalir daripada kecekalan ibu mereka sendiri, Normah Dollah, 48, yang terlebih dulu melalui onak serta ranjau kehidupan tanpa mengenal putus asa.

“Melihat ibu membesarkan kami ketika usia­nya terlalu muda seorang diri cukup membuatkan kami kagum dan mahu jadi usahawan kental sepertinya.


PRODUK setaraf antarabangsa menjadi kebanggaan syarikat.

“Ibu seorang wanita yang kuat. Selepas bergelar ibu tunggal ketika umurnya baru awal 20-an, ibu nekad meninggalkan kampung halaman dan membawa kami tiga beradik perempuan memulakan hidup baru di Kuala Lumpur.

“Perceraian tidak melemahkan ibu, sebaliknya dia berusaha menjadi wanita berjaya. Enggan menangisi nasib sendiri, ketika itu, ibu sambung belajar dan berniaga kecil-kecilan hingga akhirnya membuka syarikat sendiri. Kami memang memandang tinggi ibu dan percaya mampu berjaya sepertinya.

“Sekali lagi ibu diuji apabila dia disahkan menghidap kanser limfoma 15 tahun lalu. Tapi ibu memang wanita yang tidak pernah kenal erti mengalah. Rawatan demi rawatan dijalani dan alhamdulillah ibu cukup kuat sepanjang perjuangan melawan kanser,” katanya.

Menurutnya, sebelum pembabitannya dalam bidang kecantikan dua tahun lalu, dia terlebih dulu menggalas pengalaman dalam bidang perdagangan dan membuka restoran di ibu kota.

Minatnya pada kecantikan awalnya secara suka-suka dengan hanya berkongsi petua kecantikan menerusi platform video langsung di Facebook.

Katanya, dari situ pengikutnya semakin bertambah dan dia yakin perniagaan berasaskan kecantikan mempunyai potensi luas

untuk berkembang.

“Produk pelindung tabir suria dan serum yang diasaskan kami antara produk awal yang mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang sudah merasai keberkesanannya.


SENTIASA memberi ruang kepada kakitangan untuk berkongsi buah fikiran.

“Kami memulakan semuanya dari bawah, tanpa modal besar, sayalah posmen dan saya juga uruskan pembungkusan dengan operasi semuanya di rumah. Kemudian, apabila permintaan bertambah, kami buka ruang untuk stokis dan ejen.

“Sebagai pengasas produk, saya tahu peranan mereka sangat penting dalam meningkatkan perniagaan. Saya tidak akan menjadi seperti sekarang tanpa sokongan dan kerja keras mereka.

“Sebab itulah syarikat sentiasa memberi ganjaran bagi yang mencapai sasaran jualan sebagai motivasi selain membantu mereka menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Menurutnya, jenama itu kini meluaskan rangkaian produk dengan mengeluarkan beberapa produk kecantikan antaranya produk penjagaan wajah berasaskan pitera selain suplemen untuk kulit dan produk kosmetik.

Katanya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih dan tidak kenal jemu. Baginya, keyakinan diri, tidak malu dan berdisiplin tinggi adalah kunci utama dalam menjayakan sesuatu.


BERWAJAH jelita dan mempesonakan menjadi batu loncatan dalam perniagaan kecantikan.

Selain itu katanya, cabaran dalam perniagaan membabitkan percaturan besar apatah lagi bidang itu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Jadi, dia bersama kakak, Datin Dahlia Baiduri Abd Rashid, 31, dan adik, Dayana Baiduri Abd Rashid, 27, perlu memastikan penghasilan produk terbaik dan tidak sesekali berkompromi dengan kualiti produk dikeluarkan. Oleh itu, kajian dan pembangunan produk sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Saya anggap persaingan ini suatu yang sihat dan setiap pengeluar produk mahu menjadi yang terbaik. Keadaan ini sebenarnya menguntungkan pengguna kerana mendapat manfaat terbaik dalam setiap produk.

“Sebab itu, saya berusaha keras memastikan produk Noir kekal relevan dan memuaskan hati pelanggan dengan menampilkan inovasi dan teknologi terbaru dalam pembuatan produk,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana selain ibu, suaminya juga memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap apa yang diusahakannya kini malah dia yakin restu suaminya itu juga mendorong impiannya.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, dia sentiasa meletakkan keluarga di tempat utama. Pada hujung minggu, dia akan meluangkan masa bersama suami dan tiga anaknya dengan pelbagai aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:31 PM