SENAMAN piloxing boleh dicuba di rumah, di taman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


BAGI sesetengah wanita, bersenam sering dianggap menyusahkan apatah lagi jika ia dilakukan dengan cara membosankan, justeru pelbagai alasan biasa seperti kesibukan tugas mahupun perlu menjaga anak di rumah sering kedengaran.

Terkini, senaman piloxing yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat aktiviti kecergasan memungkinkan lebih ramai wanita ‘rajin’ mengeluarkan peluh, sekali gus dapat mengekalkan kesihatan tubuh.

Piloxing ialah satu kaedah senaman gabungan tinju, pilates dan tarian bagi mewujudkan keseimbangan secara fizikal dan mental serta memberi lebih variasi dalam mengekalkan kecergasan.

Bagi menjadikan senaman lebih menyeronokkan dan bertenaga, tarian dan muzik ditambah untuk menguatkan lagi otot, fizikal dan mental di samping membakar lemak serta sesuai bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.

Senaman ini bukan dilakukan di gimnasium saja, tetapi boleh dicuba di rumah atau di taman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu jika tahu langkah pergerakannya.

Jurulatih elit piloxing Adza Tuty berkata, piloxing dilakukan bersama iringan muzik rancak dan ini meningkatkan denyutan nadi hingga tubuh terasa lebih relaks kala mengikut rentak muzik.

Katanya, setiap senaman piloxing yang dilakukan dari teras tubuh seperti gerakan menumbuk dan gerakan lain semuanya dilakukan dengan membabitkan seluruh bahagian abdomen, otot teras, paha dan punggung, malah sesuai dilakukan untuk mereka yang mahu membentuk tubuh.

Pada masa sama, senaman ini juga membantu mengurangkan tekanan. Ini kerana melalui pergerakan pilates yang memberi tumpuan terhadap keseimbangan dan pergerakan tubuh membantu meningkatkan tumpuan yang baik di dalam mengurangkan tekanan.

Lebih penting, senaman ini menggunakan gerakan yang mudah untuk diikuti. Adza menunjukkan beberapa senaman lantai piloxing yang boleh dilakukan sendiri di mana saja untuk memantapkan otot punggung.

X-burn


1. BARING meniarap di lantai dan luruskan tangan ke depan. Secara serentak buka kaki dan tangan seperti bentuk V. Luruskan kembali tangan dan kaki seperti langkah pertama. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

V Press


1. BARING meniarap dengan tangan direlakskan ke di kepala. Sedia untuk mengangkat kaki ke arah punggung. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

2. ANGKAT kaki ke atas dan tolak ke arah pinggul setinggi yang boleh. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Piloxing Butt


1. TURUNKAN badan dengan tangan kanan menopang di atas lantai dan tangan kiri lurus menahan berat badan manakala kedudukan kaki seperti merangkak. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

2. KEJAPKAN perut ke dalam serentak itu kaki kiri ditolak ke atas dan lutut dibawa ke sebelah kaki kanan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

3. ANGKAT lutut kanan 90 darjah ke tepi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

4. TOLAK Kaki kanan dari lutut lurus keluar ke tepi. Kembali ke kedudukan permulaan. Ulang beberapa kali dan lakukan untuk kaki sebelah lagi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:03 PM