MOHD Bahtiar Tarmuji. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


LUMRAH kehidupan tidak lari daripada ujian. Dugaan datang tanpa diundang dan ketika itulah setiap individu diuji sama ada mampu bertahan atau terhenti di separuh jalan.

Itulah yang dinamakan kehidupan, perjalanannya penuh liku, ada masanya di atas dan mendatar namun ada saatnya laluan diharungi penuh berliku.

Dengan usaha tanpa kenal erti putus asa seterusnya berdoa mengharapkan bantuan Yang Maha Esa, sesiapa saja mampu menempuh dugaan hidup terutama dalam mengecapi kejayaan walaupun keperitan ditempuh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melihat penampilan dan kejayaan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini tidak sesiapa menyangka dia pernah diuji hingga tidak mempunyai sesen wang di tangan mahupun simpanan.

Lebih menyedihkan apabila dia terpaksa mengutip satu persatu tin di tepi jalan untuk dijual demi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Namun semua itu dijadikan kekuatan untuknya bangkit demi membuktikan sesiapa saja mampu berjaya asalkan tidak mudah menyerah kalah.

Kisah perjalanan hidup dalam berdepan satu persatu dugaan hingga dia mampu kembali bangkit wajar dijadikan inspirasi kepada semua golongan tidak kira lelaki mahupun wanita, berusia ataupun masih muda.

Memulakan bicara, Mohd Bahtiar Tarmuji, 33, yang kini bergelar usahawan berjaya dengan menjual produk penjagaan kesihatan berkata, pengalaman menyertai pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dalam tempoh sembilan tahun banyak mengajarnya erti sebenar sebuah kehidupan.

“Ketika itu saya sangat terburu-buru mahu berjaya tanpa ada ilmu dan strategi hingga melakukan banyak kesalahan. Saya mahu berjaya tetapi tidak mempunyai strategi dan perancangan tepat yang akhirnya membuatkan kehilangan segalanya terutama wang ringgit.

“Tempoh sembilan tahun itu berlalu dengan sia-sia, saya bukan saja tidak berjaya bergelar ahli perniagaan seperti yang diimpikan malah terpaksa berdepan dugaan getir apabila tidak mempunyai wang langsung untuk meneruskan hidup,” katanya.

Bagi memastikan dia dapat membeli makanan setiap hari, Mohd Bahtiar tidak malu mengutip tin dan barangan terbuang yang boleh dijual ketika itu.

“Saya buang rasa malu. Apa saja yang boleh dijual saya akan jual terutama tin minuman untuk sesuap nasi. Saya juga terpaksa tidur di kereta di hentian rehat dan rawat selama berhari-hari dalam satu tempoh yang agak lama.

“Soal caci maki, cemuhan dan hinaan rakan sering kali memperlekehkan kehidupan saya yang sangat susah ketika itu, usah cakaplah. Semuanya saya telan dan pekakkan telinga. Kehidupan saya seakan-akan tiada erti lagi sehingga hilang arah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Menurutnya, keperitan itu berlalu dalam tempoh yang agak lama sebelum dia bertemu seorang insan hebat berhati murni, Mohd Suhaimi Umar yang membantunya dengan menawarkan pekerjaan kepadanya.

“Saya ternampak satu iklan jawatan kosong dalam bidang jualan yang ditawarkan individu terbabit. Dalam iklan itu turut ditawarkan makanan dua kali sehari yang akan diberikan secara percuma dan sangat berminat untuk menyertainya bagi memastikan saya ada makanan setiap hari.

“Walaupun tidak berharap, jauh di sudut hati, saya tetap menanam impian untuk berjaya apabila diterima bekerja. Syukur, selepas melalui sesi temu duga saya diterima bekerja dan ia menjadi detik permulaan perubahan dalam hidup,” katanya.

MOHD Bahtiar bersama kakitangan yang banyak membantu.

SINAR KEHIDUPAN

Menurut Mohd Bahtiar, dibesarkan ibu bapa yang terbabit dalam dunia perniagaan menjadikan jiwa dan minatnya sangat mendalam terhadap dunia perniagaan.

“Sejak kecil saya memang minat dan mahu berniaga. Disebabkan itu, saya menceburi dalam MLM walaupun sedar risiko yang terpaksa ditempuh.

“Ibu banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar supaya saya sentiasa bersedia untuk berdepan risiko sekiranya mahu menceburi bidang perniagaan namun tidak sama sekali menyangka akan berdepan dugaan sangat berat,” ujarnya.

Kata Mohd Bahtiar, dia tidak pernah menceritakan detik sukar yang dihadapinya kepada ibu bapa dan keluarganya kerana selain berasa malu, dia juga tidak mahu membimbangkan orang tuanya.

“Mereka (keluarga) tidak tahu saya berdepan saat sukar sehingga tiada duit untuk membeli makanan. Mungkin mereka tahu saya ada masalah namun tidaklah sehingga tidak dapat beli makanan.

“Mereka ada menasihati saya berhati-hati terutama jika mahu menyertai MLM dan disebabkan itu, saya tidak mahu mereka tahu saya ditimpa kesukaran. Kata-kata ibu sentiasa terngiang dan ia jugalah yang menguatkan semangat saya untuk sentiasa berusaha,” katanya.

Menurutnya, sebaik diterima bekerja, dia tidak menoleh ke belakang walaupun masih segar di ingatan dugaan besar yang menghimpitnya sebelum itu.

“Saya bekerja siang dan malam, semuanya saya korbankan demi memastikan hasil kerja memuaskan. Ketika itu apa yang saya harapkan adalah untuk mengubah semula kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Syukur, usaha dan doa saya diterima kerana semakin lama pekerjaan yang dijalankan diterima dan paling manis apabila saya akhirnya berjaya membina empayar perniagaan sendiri dan berjaya mencipta satu produk kesihatan mata, Ains,” katanya.

Lebih manis apabila dia bukan saja berjaya mengubah kehidupannya malah dalam masa sama dapat membantu individu lain terutama wanita yang memerlukan pekerjaan.

“Saya sangat memahami jika orang kata dia perlukan kerja kerana pernah melalui saat sukar hingga tidak mempunyai duit walaupun satu sen. Disebabkan itu, saya sedaya upaya akan membantu individu yang sangat mahukan kerja asalkan mereka tidak mengabaikan peluang diberi.

“Lebih manis apabila saya yang dibantu 15 kakitangan kini berjaya mencipta rekod jualan hingga enam angka dalam tempoh sebulan satu ketika dulu. Kejayaan itu dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk saya supaya terus berusaha kerana hakikatnya kehidupan ini tidaklah kejam, akan ada pelangi yang muncul selepas hujan,” ujarnya.

Mohd Bahtiar berkata, dia juga sentiasa berpegang kepada prinsip lebih banyak diberi lebih banyak diterima yang menjadikan dia tidak mudah alpa dengan kejayaan dikecapi kini.

“Tentu ramai yang baru mengenali saya kini tidak tahu betapa peritnya dugaan yang pernah saya hadapi sebelum ini. Saya juga tidak malu untuk berkongsi pengalaman hidup terutamanya kepada kakitangan dan usahawan muda yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Saya juga sentiasa menasihatkan mereka supaya berpijak di bumi nyata kerana apabila menjejakkan kaki ke bidang ini segala kemungkinan boleh terjadi. Apa yang penting, jangan mudah berpuas hati dan bersedia dengan sebarang risiko,” katanya.

Menurut Mohd Bahtiar yang kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, dia kini fokus untuk mengembangkan sayap perniagaannya ke luar negara terutama menembusi pasaran negara jiran, Indonesia.

“Selain itu, saya juga terus komited membantu setiap kakitangan dan pasukan supaya dapat bersama-sama menjana pendapatan sendiri. Sangat puas dan gembira apabila dapat membantu mereka memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 setiap bulan.

“Bagi saya kepuasan sebenar dapat dirasai apabila kita membantu individu lain terutama kepada mereka yang sangat memerlukan.

“Saya akan terus melangkah ke depan untuk memastikan apa yang saya usahakan kini tidak terhenti separuh jalan sekali gus membuktikan tidak selamanya seseorang itu berada di bawah,” ujarnya dalam nada sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:16 PM