RENDANG pedas udang galah sedia dihidang bersama nasi atau pulut kuning.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Bagi penggemar rendang, pasti sudah terbiasa dengan rendang ayam, daging atau kerang yang sering dijadikan juadah istimewa di rumah. Ramai tidak tahu udang galah sesuai dibuat rendang disebabkan kemanisan udang itu sendiri bersama aroma rempah dan daun kunyit menjadikan ia ada keenakan tersendiri.

Menurut pengasas Zulfaza Love Cooking, Zulfa Zainal Abidin, resipi rendang udang galah direka sendiri kerana ingin memberikan kelainan rasa kepada keluarga.

“Kebiasaannya saya menyediakan rendang ayam atau daging untuk juadah di rumah. Jadi bagi memberikan kelainan saya menghasilkan rendang udang galah menggunakan resipi sama dengan rendang ayam,” katanya.

Dalam penyediaan rendang udang galah bahan perlu dimasak sehingga pecah minyak kemudian barulah udang dimasukkan. Ini bagi mengelak udang dimasak terlalu lama.

“Udang yang dimasak terlalu lama akan keras dan hilang manisnya terutama apabila kita menggunakan udang segar,” katanya.

Tidak lengkap rasa rendang tanpa penggunaan santan segar yang membangkitkan aroma dan rasa masakan.

Namun begitu rendang boleh juga disediakan tanpa menumis terlebih dahulu. Caranya dengan mencampurkan semua bahan kecuali udang di dalam kuali dan masak sehingga santan pecah minyak. Kemudian masukkan udang dan masak sehingga rendang berubah kemerahan.

Bagi mereka yang kurang menggemari rasa daun kunyit di dalam rendang, koyak kasar dan simpulkan sahaja daun itu. Jika dihiris ia agak sukar diasingkan selepas dimasak. Rendang udang galah enak dimakan bersama pulut kuning.

Bahan-bahan rendang pedas udang galah

• 1 1/2 kg udang galah

• 4 helai daun kunyit - hiris halus

• 5 helai daun limau purut - hiris halus

• 2 mangkuk santan pekat

• Gula kabung atau gula Melaka atau gula perang secukup rasa

• 3 sudu besar kerisik

• Garam secukup rasa

• 3 hingga 5 asam keping

• Minyak untuk menumis

Bahan A

• 4 biji bawang besar (atau 20 biji bawang merah)

• 1 labu bawang putih

• 3 inci halia

• 3 inci lengkuas

• 2 ketul kunyit hidup

• 6 batang serai - potong kecil

• 30 biji cili padi (boleh tambah atau kurangkan ikut cita rasa)


KISAR bahan A hingga lumat. Panaskan minyak. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga naik bau.

MASUKKAN kerisik dan kacau sehingga sebati.

TAMBAHKAN santan. Kacau dan biarkan mereneh hingga pecah minyak. Kacau sesekali supaya tidak hangit.

MASUKKAN daun kunyit, daun limau purut dan asam gelugur. Kacau sebati.

MASUKKAN bahan utama udang galah dan gaul rata. Masak sehingga udang berubah warna.

TAMBAHKAN santan dan air secukupnya jika perlu. Ketika memasak, kacau selalu untuk mengelakkan rendang hangit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:49 PM