USAHAWAN Noraishah Ismail. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


KEBANYAKAN usahawan menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan bagi meningkatkan tahap kehidupan namun semua itu jauh berbeza dengan misi dan matlamat yang dipegang ibu kepada empat cahaya mata ini.

Wanita manis berhati mulia ini memasang azam menubuhkan sebuah sekolah khas buat kanak-kanak autisme menggunakan sepenuhnya hasil keuntungan perniagaannya.

Memulakan bicara, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu ini mengakui mula menceburi bidang perniagaan sejak sembilan tahun lalu untuk membantu suaminya yang turut berkecimpung dalam bidang sama.

Siti Noraishah Ismail, 33, berkata, dia menjejakkan kaki ke dunia perniagaan sekadar suka-suka namun semuanya berubah selepas anak keduanya disahkan mengalami masalah autisme tiga tahun lalu.

“Anak saya disahkan autisme ketika dia berusia tiga tahun. Dia lambat bercakap namun ketika itu saya dan suami beranggapan ia adalah normal disebabkan anak pertama kami juga lambat bercakap. Walaupun sedikit lewat mengetahui dia mempunyai masalah autisme, saya dan suami berusaha memberikan yang terbaik untuknya.

“Bohonglah jika saya katakan semuanya okey, saya juga sama seperti ibu lain yang berasa sangat sedih apabila anak disahkan autisme. Bukan mahu menyalahkan takdir namun lumrah seorang ibu tentu saja memiliki perasaan itu,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bangkit atas sokongan suami dan keluarga serta berazam memberikan yang terbaik untuk anak keduanya itu, Nur Airis Aleesya Mohd Suhaimi yang kini berusia enam tahun.

“Bermula daripada itu, saya dan suami berusaha membawanya bertemu pakar dan mengikuti beberapa kelas terapi selain menghantarnya ke sekolah khas autisme. Kosnya agak tinggi dan sehingga kini kami perlu menyediakan kira-kira RM2,000 setiap bulan untuknya.


SITI Noraishah bersama suami dan anak.

“Perkara itu sangat menjentik hati saya terutama apabila memikirkan keluarga yang kurang berkemampuan dan memiliki anak autisme, bagaimana hendak membayar pelbagai yuran kelas terapi? Ia juga menjadi detik permulaan saya memasang azam menubuhkan sebuah sekolah khas autisme untuk golongan kurang berkemampuan,” ujarnya.

Siti Noraishah berkata, dia mula bertekad menyimpan keuntungan diperoleh hasil menjalankan perniagaan dalam bidang kecantikan.

“Saya disiplinkan diri, setiap bulan keuntungan diperoleh akan saya ketepikan di dalam simpanan khas untuk sekolah ini. Kini, kami sudah merangka pelbagai perancangan dan kajian untuk proses penubuhan sekolah ini yang dijangka mula beroperasi tiga tahun akan datang. Sekolah ini akan dibuka di bawah syarikat kami iaitu TRS Holding sebagai satu badan amal khusus membantu ibu bapa kurang berkemampuan yang mempunyai anak autisme.

“Kami juga mahu mencari badan bukan kerajaan (NGO) tertentu untuk bekerjasama bagi mempercepatkan proses penubuhan sekolah ini yang dirancang ditubuhkan di Bandar Seri Putra, Bangi,” katanya.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat dan matlamatnya, dia kini sentiasa berusaha memberikan yang terbaik supaya dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Syukur, sambutan produk kecantikan yang dijual menggalakkan dan saya turut berharap dapat mengembangkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Di samping ingin menjana keuntungan, saya juga ingin membantu lebih ramai anak muda untuk memperoleh pekerjaan dalam bidang ini. Saya gembira apabila dapat membantu insan lain terutama golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Katanya, walaupun sibuk dengan komitmen kerjaya, dia tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

“Saya mempunyai empat cahaya mata dan semuanya masih kecil, yang sulung baru berusia lapan tahun manakala si bongsu berusia setahun 10 bulan. Syukur, di samping perniagaan yang dijalankan ini, saya tetap boleh menguruskan anak terutama anak kedua.

“Suami banyak membantu, walaupun dia sibuk menguruskan perniagaan dan kelas perniagaannya, dia memahami serta akan membantu apabila berada di rumah,” katanya.

Menurutnya, dia kini berharap semua yang dirancangnya dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Semua ini bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu disiplin, komited menjana keuntungan dan tetapkan tekad. Saya juga berharap pengorbanan yang dilakukan ini dapat memberikan kegembiraan dan senyuman kepada ibu bapa lain juga kepada kanak-kanak autisme,” ujarnya.


SITI Noraishah (berjaket merah jambu) bersama kakitangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:07 PM