KACANG hijau banyak manfaat untuk tubuh.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Mengintai dapur kebanyakan ibu yang rajin memasak di rumah, tentu kacang hijau tidak pernah terkecuali dalam stok simpanan. Selain enak dibuat bubur manis, tepungnya pula banyak digunakan dalam penyediaan kuih tradisional seperti kole kacang dan putu.

Bagi wanita yang kreatif, kacang hijau bukan setakat dijadikan juadah, tetapi turut dimanfaatkan untuk kerja kraf tangan, mengawal masalah kesihatan tubuh dan menghasilkan bahan perawatan kulit.

Bayangkan, butiran halus ini bukan calang-calang, tetapi mempunyai ribuan manfaat untuk kesejahteraan diri penggunanya. Ini kerana, kacang hijau mengandungi sumber protein yang sangat baik, rendah lemak, tinggi serat dan antioksidan.

Ia juga kaya dengan kalsium, zat besi, zink, kalium, fosfor, vitamin A, B, C, E dan K serta folat. Melengkapi nutrisi kacang hijau adalah manganese, selenium, magnesium dan karbohidrat. Jadi, sudah semestinya semua zat dan khasiat ini menawarkan pelbagai manfaat berbeza untuk tubuh.

Di kebanyakan spa dan pusat perawatan wajah yang mementingkan penggunaan bahan alami, tepung kacang hijau yang dicampur susu, madu atau yogurt dijadikan pupur wajah.

Kacang hijau yang direndam semalaman dan dikisar bersama kelapa pula dijadikan skrub untuk menyental tubuh, khususnya bahagian pelipat, bawah lengan, leher, siku dan kaki. Berikut antara resipi ringkas yang boleh dijadikan panduan untuk perawatan wajah di rumah. Modalnya tidak besar, namun kepuasan diperoleh pasti menyenangkan.

SKRUB WAJAH

Bahan-bahan

• 1 cawan kacang hijau (dibasuh dan dikeringkan)

• 1 cawan air suam

• Minyak aromaterapi lavender

• Kain bersih


SERBUK atau tepung kacang hijau sesuai dibuat pupur dan skrub.

Cara-cara

1. Kisar kacang hijau dan pindahkan ke dalam mangkuk yang kering.

2. Letak dua titis minyak aromaterapi dalam air suam dan celupkan kain. Perah sedikit.

3. Dalam keadaan wajah yang bersih, tekap kain.

4. Urut wajah perlahan-lahan dan biar kain terus menekap muka antara 10 ke 15 minit.

5. Alih kain dari wajah dan oles serbuk kacang hijau seperti rutin pemakaian pupur biasa.

6. Urut perlahan-lahan dan bilas dengan air sejuk sehingga bersih.

7. Keringkan wajah.

PUPUR KACANG

Bahan-bahan

• 1 cawan kacang hijau (dikisar halus)

• 3 sudu yogurt asli

• 1 camca madu


REHATKAN diri dengan pupur kacang hijau di rumah.

Cara-caranya

1. Masukkan yogurt dan madu ke dalam mangkuk bersih.

2. Campur serbuk kacang hijau sedikit demi sedikit.

3. Kacau sehingga mencapai kepekatan bersesuaian.

4. Oleskan campuran pada wajah yang sudah dibersihkan dan biarkan antara 20 hingga 30 minit, sehingga pupur kering.

5. Bilas dengan air sejuk dan lap wajah dengan tuala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 1:01 PM