KANAK-kanak biasanya ‘belajar’ perkataan yang tidak elok daripada faktor sekeliling.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

“Bodoh! Buruknya dia! Bangsat betul”. Perkataan sebegini yang keluar daripada mulut kanak-kanak tentu saja mengejutkan ramai ibu bapa apatah lagi apabila diungkapkan kanak-kanak yang masih kecil.

Golongan itu biasanya ‘belajar’ perkataan tidak elok daripada pelbagai faktor atau sumber di sekelilingnya yang mencarut, menyumpah atau mengeluarkan apa juga kata-kata negatif.

Apabila menyentuh faktor sekeliling, ia bukan sekadar berpunca daripada pengaruh golongan dewasa malah ia turut membabitkan rakan sebaya, televisyen dan Internet atau sekiranya kanak-kanak itu sendiri sudah boleh membaca.

Ramai ibu bapa atau penjaga terkejut apabila secara tiba-tiba si kecil mengeluarkan kata-kata kesat walaupun seisi keluarga sedaya upaya menjaga setiap tutur kata terutama apabila di rumah.

Tentu saja ia menimbulkan rasa malu sekiranya ia diucapkan di depan khalayak, jiran tetangga atau saudara mara.

Mengupas mengenai isu ini, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Hazhari Ismail berkata, secara tidak sedar perkara ini boleh terjadi daripada pengaruh rakan sebaya di tadika atau pusat asuhan.

Menurutnya, selain itu, ia mungkin disebabkan kanak-kanak itu sering mendengar perkataan tidak elok muncul daripada mulut kanak-kanak lain ketika bermain di padang permainan.

“Hakikatnya, ini adalah sifat semula jadi manusia untuk belajar berkomunikasi dengan mendengar perbualan daripada sekeliling yang kemudian menyebabkan perbendaharaan kata mereka mula bertambah.

“Kajian daripada Universiti Stanford di bawah pakar bahasa, Melissa Mohr ada menyatakan dalam setiap bahasa terdapat kirakira 0.7 peratus perkataan berbentuk tidak elok yang lebih banyak dituturkan dalam perbualan harian.

Dia juga menekankan kanak-kanak boleh tahu sekurang-kurangnya satu perkataan tidak elok pada usia dua tahun,” katanya.

Hazhari berkata, ketika di bawah usia tiga tahun, kanak-kanak akan menyerap apa saja yang dilihat dan didengarnya.

Semua maklumat itu tersimpan dalam memori mereka dan tidak hairanlah jika suatu hari keluar perkataan yang tidak molek bunyinya dari mulut mereka.

“Persoalan utama, mengapa kanak-kanak mengungkapkan perkataan tidak baik? Jawapannya mudah. Kanak-kanak tidak tahu perkataan yang mereka tiru dan ucap itu membawa maksud yang tidak baik.

“Mereka hanya memerhati keadaan sekeliling. Sebagai contoh mereka lihat apabila kawan mengejek biasanya menyebut perkataan ‘bodoh’, jika dimarah, ada yang menyebut ‘nanti kena pukul’ atau dimaki apabila menghilangkan satu-satu barang.

“Mereka tidak akan tahu menggunakan perkataan itu sekiranya individu di sekeliling tidak menggunakannya.

Mereka juga kadangkala ingin mencuba dengan perkataan yang digunakan itu betul atau tidak dalam pelbagai konteks dan situasi. Adakah perkataan itu perkataan yang kelakar atau menarik perhatian? Adakah perkataan itu akan membuat orang lain marah? Semua ini hanya akan diketahui dengan cuba menggunakannya,” katanya.


TEGUR kanak-kanak yang mengeluarkan kata-kata tidak elok.

Menurut Hazhari, masyarakat negara ini dibiasakan dengan kaedah mengubah tingkah laku kanak-kanak dengan melakukan sesuatu tindakan seperti hukuman.

“Hakikatnya, kanak-kanak itu perlu diajar dan diberitahu perkataan yang diucapkan itu adalah tidak elok bukanlah dengan kaedah mengenakan hukuman. Pada kali pertama anda mendengar

anak menggunakan perkataan yang kurang baik, anda perlu menegur mereka, bukan memarahi. Teguran itu pula perlu dilengkapi dengan memberitahu mereka pilihan perkataan yang lebih baik dan sesuai.

“Jangan tegur saja tanpa mengajar mereka perkataan yang sesuai digunakan. Ini akan membuatkan mereka keliru dan terus mengulang kesalahan yang sama. Kanak-kanak sangat mudah meniru, mungkin ada secara tidak sedar, ibu bapa atau penjaga sendiri yang berbual menggunakan perkataan tidak elok di depan mereka. Jangan berterusan begitu, terangkan kepada mereka bahawa perkataan itu tidak elok dan sekiranya perlu boleh meminta maaf,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya ada perubahan baik yang mana kanakkanak terbabit tidak menggunakan lagi kata-kata tidak elok, perlulah dipuji kerana ia adalah salah satu cara meningkatkan tingkat laku yang baik sekali gus tahap keyakinan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 2:27 PM