FAUZIAH Sirat.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Sifat keibuan jelas terpancar di wajah wanita ini. Sentiasa peka dengan perubahan di sekeliling, bijak mengambil hati anak kecil dan remaja serta tahu untuk menggunakan kekuatan mahupun potensi yang ada dalam diri.

Nama Fauziah Sirat mungkin lebih dikenali dalam kalangan remaja dan ibu bapa yang pernah menghantar anak mereka mengikuti pengajian di pusat tuisyen milik wanita ini. Paling tidak, dia pasti dikenali menerusi penampilannya di kaca televisyen dan banyak video sarat pengajaran serta motivasi di laman Facebook.

Mengenali wanita ini secara tidak langsung ketika singgah di satu program di Kuala Lumpur baru-baru ini, Fauziah bukan saja seorang yang ramah dan mudah tersenyum, bahkan tutur katanya penuh keibuan.

Menelusuri latar belakang anak sulung daripada lima beradik ini, rupanya Fauziah adalah pemegang Sarjana Pendidikan, Sarjana Muda Sains (Kimia) dan pernah berkhidmat di Jabatan Komunikasi Korporat, Permodalan Nasional Berhad (PNB). Lahir di Batu Pahat, Johor dan berkahwin dengan pilihan hati, mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Kata Fauziah, pada awalnya dia sukar menyesuaikan diri di PNB kerana tidak mahir dalam bidang pelaburan. Namun, lama-kelamaan dia mula memahami rentak kecenderungan dirinya.

“Saya sentiasa percaya diri mempunyai kebolehan interpersonal yang baik dan mampu membantu dalam tugasan di jabatan berkenaan. Tetapi perubahan hidup berlaku apabila anak mula menghampiri usia persekolahan.

“Agak sukar untuk menguruskan kerjaya dan keluarga dalam satu masa yang sama. Pada hemat saya, ini bukan isu mahu memilih yang mana satu, tetapi isu melunaskan tanggungjawab dan amanah.

“Atas rasa tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik anak itulah, saya berlapang dada melepaskan pekerjaan di PNB. Bagaimanapun, saya tidak berhenti begitu saja. Memandangkan saya bukanlah jenis yang boleh duduk diam, saya mula mencuri ruang, mengisi masa terluang dengan perkara yang boleh menyerlahkan potensi diri. Dipendekkan cerita, akhirnya saya membuka pusat tuisyen,” katanya tersenyum.

SEMANGAT mahu melihat kemenjadian anak bangsa.

Kaji isu remaja

Menurut Fauziah, sejak zaman persekolahan, dia memang suka bercakap di depan khalayak ramai. Selagi ada peluang, dia pasti merebut tempat untuk menyertai pertandingan debat, pidato dan syarahan hingga pernah mewakili daerah ke peringkat negeri.

“Saya mula terdorong menjadi penceramah motivasi remaja dan ibu bapa apabila ada pelajar di pusat tuisyen menjadikan saya sebagai tempat mereka mengadu masalah. Daripada masalah pencapaian akademik, rakan sebaya hinggalah isu dengan ibu bapa.

“Dari situ, saya mula mengkaji isu remaja dan mengenali fitrah mereka. Kadangkala saya menjadi sahabat baik mereka, ada waktunya saya menjadi ibu. Sedar atau tidak, pengalaman bersama remaja inilah yang banyak membuka mata saya. Saya mula sedar kita sebagai yang lebih dewasa kurang memahami mereka. Malah, sepanjang tempoh membesarkan anak, ibu bapa cenderung mengikut apa yang mereka mahu, bukan berdasarkan siapa anak mereka.

“Saya percaya, semua berkaitan anak bermula dari rumah. Mereka membesar bergantung kepada resipi dan rencah yang digunakan ibu bapa. Oleh itu, cabaran ibu bapa kini adalah untuk mendidik diri mereka sendiri supaya berilmu dan kekal relevan dengan perubahan pesat saban hari.

“Ini penting kerana anak memerlukan suri teladan di dalam hidup mereka. Saya fikir, kalau kita mahukan anak berakhlak tinggi, ibu bapa juga perlu berbuat serupa. Jika kita mahukan anak rajin membaca, ibu bapa juga perlu rajin membaca. Menariknya, apabila keluar dari rumah, pembentukan nilai, motivasi, potensi anak dipacu lagi oleh guru di sekolah dan warga komuniti. Ini bermakna, pendidikan anak adalah tanggungjawab semua pihak dan asasnya perlu terbina dengan baik di rumah,” katanya.

Satu hal yang jelas kata Fauziah, sekolah aliran perdana khususnya bukan untuk semua. Ia hanya untuk mengasah kepintaran akademik, kecerdasan logik dan bahasa.

“Tetapi saya dapat lihat anak ini unik. Tidak semua pintar logik dan bahasa. Ada yang hebat dalam muzik, sukan, alam semula jadi, ruang, interpersonal dan komunikasi dengan diri (intrapersonal).

“Tetapi kecerdasan ini tidak dibongkar dan diasah di sekolah kerana itulah wujud kelompok anak yang tercicir. Bukan sebab mereka tidak pintar tetapi sekolah tidak ‘mengiktiraf’ kecerdasan mereka.

“Saya lihat situasi ini mungkin boleh menyebabkan anak membina tanggapan bahawa ‘aku tidak pandai’ sehingga hilang keyakinan diri dan rasa mahu maju. Ini mendorong saya untuk mengasaskan Cesta 16, sebuah firma membangunkan potensi generasi muda. Saya mahu generasi muda yakin semua orang itu pintar dan kepintaran itu perlu diasah dengan belajar. Belajar tidak semestinya di sekolah, dengan buku teks, tetapi ia boleh berlaku di mana-mana, setiap masa,” katanya.

KOMITED mendekati remaja.

Kata Fauziah, semua yang berlaku sepanjang dia mengendalikan pusat tuisyen banyak menyumbang idea baru buat dirinya. Lebih dari itu, wanita ini merendah diri, mengakui dia banyak belajar daripada pelajarnya sendiri.

“Saya melihat sendiri bagaimana produk keluarga bahagia dan keluarga berantakan. Saya melihat perbezaan jelas yang ditunjukkan produk keluarga komunikasi sihat dan keluarga miskin komunikasi. Terus terang, semua ini cukup membimbangkan.

“Bagaimana generasi muda kita mahu berdepan dengan cabaran akan datang jika ibu bapa masih terperangkap dengan kaedah keibubapaan zaman silam? Persoalan sebegini akhirnya menyebabkan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman sedia ada untuk sama-sama meningkatkan kualiti institusi keluarga dan generasi muda,” katanya.

Menyusun langkah supaya seiring perubahan zaman, wanita ini dilihat bijak menyesuaikan diri dalam arus teknologi semasa. Dia sedaya upaya menjadikan menulis sebagai rutin kerana percaya hasil tulisan mampu memberi impak yang sangat besar.

“Menulis bukan saja menyampaikan tujuan kita untuk bercerita dan berkongsi dengan khalayak pembaca, tetapi boleh jadi satu wadah refleksi. Apa yang kita buat dan apa yang dipelajari pada hari berkenaan. Sebolehnya saya cuba untuk kerap menulis.

“Laman media sosial seperti Facebook dan Instagram sangat membantu usaha penulisan saya. Buku pertama, Sonata Ayah Bonda adalah hasil nukilan dari pengalaman saya dengan anak dan cerita pelajar saya. Ia memang ditulis khusus untuk ibu bapa yang mengikuti ceramah saya.

“Sekurang-kurangnya mereka ada kisah benar yang boleh dirujuk dan diambil iktibar. Selain itu, ada juga karya saya dimuatkan dalam dua buku anekdot, Rencah dan Kompas bersama penulis lain. Di samping buku fiksyen, saya juga ada menulis buku akademik.

“Alhamdulillah, sehingga kini ada orang mengenali saya sebagai pemberi motivasi remaja dan ibu bapa. Tetapi ramai juga yang mengenali saya sebagai seorang guru memandangkan saya adalah pengusaha dan pengetua Pusat Tuisyen Seri Mawar Bestari. Kedua-dua profesion ini sangat bermakna kerana ia banyak membantu saya mengenal remaja dan juga ibu bapa. Ia juga menjadikan saya seorang yang sangat terdorong untuk belajar dan mengubah corak sistem pendidikan di pusat tuisyen,” katanya.

Percaya pada diri

Ketika ditanya mengenai cabaran sukar yang terpaksa dilalui, kata Fauziah, mendidik ibu bapa sebenarnya jauh lebih payah daripada mendidik anak. Baginya, ramai orang menjadi ibu bapa sekadar untuk mengulangi peranan kitar semula.

“Kalau dulu ayah menggunakan pendekatan rotan sebagai cara mendidik anak, kita juga akan menggunakan kaedah sama apabila sampai waktu dan ketika bergelar bapa. Kita cuma mengikut amalan terdahulu sedangkan zaman sentiasa berubah.

“Ramai juga beranggapan menjadi ibu bapa ini tidak perlu belajar. Sebab itu, bila ada kursus keibubapaan, yang datang boleh dikira dengan jari. Kalau ada yang datang sekalipun, kebanyakannya terdiri daripada kaum ibu. Kaum bapa hanya hantar ibu sebagai wakil. Lama-kelamaan, jurang anak dan ibu bapa menjadi semakin besar. Inilah yang kerap mengundang banyak permasalahan di kemudian hari,” katanya.

MEMENUHI jemputan sebagai tetamu program.

Apapun kata Fauziah, dia tentunya tidak berada di tempat sekarang tanpa sokongan dan dorongan daripada suami, ibu bapa, anak-anak dan keluarga. Untuk itu, dia perlu berterima kasih khususnya kepada anak-anak saya yang sentiasa berlapang dada, menerima hakikat bahawa mereka perlu berkongsi ibu dengan ramai remaja lain.

“Tidak timbul isu bidang mana yang beri kepuasan lebih. Tidak kira menulis, mengajar ataupun menjadi pakar motivasi remaja dan ibu bapa, saya buat semua ini atas dasar tanggungjawab untuk membantu menyokong bidang pendidikan. Kalau ditanya bila mahu berhenti, saya lebih suka katakan, selagi semangat untuk melihat kemenjadian generasi muda itu masih meluap-luap, dengan izin Allah SWT, saya akan terus berdiri seperti hari ini.

“Saya percaya setiap manusia dilahirkan dengan DNA potensi tersendiri yang berupaya menyerlahkan nilai kepimpinan masing-masing. Kita perlu cari, gali dan bongkar apa kecenderungan dan kekuatan kita supaya kita boleh memberi manfaat diri dan orang lain.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyasarkan diri untuk dijadikan inspirasi oleh orang lain. Saya hanya melakukan tugas sebagai seorang khalifah menurut DNA potensi saya sebaik mungkin. Semoga apa yang dilakukan selama ini mampu menjadikan diri saya seorang ibu yang lebih baik untuk anak dan membuka mata lebih ramai ibu bapa supaya dapat menyuburkan kecintaan kepada ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 3:20 PM