URUTAN kepala untuk merehatkan minda.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Golongan wanita kini bukan lagi isteri dan ibu yang cuma sibuk menguruskan hal ehwal rumah tangga saja. Ada yang bekerja dari rumah, mengusahakan perniagaan sendiri, mengambil upah mengasuh anak kecil, bahkan menyandang jawatan besar di syarikat mahupun firma gergasi dan aktif dalam khidmat masyarakat.

Mereka berkorban masa dan tenaga demi menyediakan kehidupan terjamin buat anak dan keluarga. Tanpa sedar, beban kerja sebeginilah yang meletihkan wanita.

Beban kerja tanpa henti tidak kira di rumah atau di pejabat lazimnya mendedahkan wanita kepada tekanan. Jika tidak ditangani dengan betul, tidak mustahil ia boleh mengganggu kestabilan hormon, sekali gus mendedahkan wanita kepada pelbagai risiko penyakit.

Kata pemilik Zana Spa Muslimah, Suzana Abu Talib, setiap wanita berhak untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, bertenaga, berkualiti dan sihat sepanjang hayat.

“Wanita harus tahu menghargai dan menyayangi diri mereka. Walaupun terikat dengan beban kerja di rumah atau komitmen di pejabat, mereka perlu sentiasa ‘menyelenggara’ keperluan tubuh, fizikal, tahap kecergasan dan kesihatan supaya kekal cantik serta berkeyakinan.

“Saya selalu mencadangkan terapi urutan tradisional Melayu buat kebanyakan wanita yang singgah ke spa ini. Ia mempunyai banyak kelebihan antaranya membantu melancarkan perjalanan darah, menguatkan sendi dan otot, menstabilkan hormon, meningkatkan sistem imun badan, melambatkan proses penuaan, merehatkan minda serta mengurangkan tekanan.

“Mereka juga tidak perlu bimbang dengan had aurat dan harga pakej ditawarkan kerana spa ini memang khusus untuk golongan wanita serta menyediakan perkhidmatan urutan mampu milik.

“Kalau boleh, kami sentiasa mahu menyediakan pakej terbaik pada harga mampu milik supaya semua wanita mendapat peluang untuk memanjakan diri selepas penat bekerja,” katanya.


MINYAK terapi khas untuk pelanggan menikmati urutan.

Selain urutan tradisional, Suzana berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan pakej urut ibu berpantang, urut ibu hamil, urut saraf, merangsang penyusuan susu ibu, urutan refleksologi dan rehat minda.

“Sebahagian besar khidmat rawatan di spa ini berasaskan urutan. Bagi rawatan wajah umpamanya, kami guna teknik urutan untuk melancarkan perjalanan darah, menaikkan otot muka dan tulang pipi. Wajah pelanggan akan dibelai dan disapu lulur khas untuk membersihkan sel kulit mati. Kemudian, selepas liang pori dibersihkan, kita akan sapu masker untuk menegangkan kulit.

“Istimewanya di sini, sepanjang rawatan di jalankan, pelanggan akan menikmati bacaan ayat suci al-Quran dan selawat. Kami mahu merawat bukan saja dari sudut fizikal malah mental dan rohani. Tambah menarik, rawatan dan konsep ini tidak hanya diterima baik golongan wanita Muslim, tetapi disenangi pelanggan wanita bukan Islam,” katanya.

Sepanjang rawatan, pelanggan diberi kain batik untuk berkemban dan boleh memilih bahan urutan sama ada minyak, lulur beras atau Kopi. Juruterapi akan mulakan urutan dari kaki, betis, paha, kelangkang, punggung, belakang badan, belikat, bahu, tengkuk hingga kepala.

“Seeloknya, wanita perlu menjadikan amalan berurut sebagai rutin untuk lebih awet muda dan mengekalkan kecergasan fizikal serta kesihatan dalaman,” katanya.


BAHAGIAN tapak kaki diurut untuk melancarkan peredaran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:00 AM