MENYEDIAKAN juadah dapat mengeratkan perhubungan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Aroma enak nasi lemon bersama ayam panggang membangkitkan selera. Bukan sekadar satu jenis makanan dihidangkan kepada penulis, tetapi Zulfa Zainal Abidin, 48, turut menyediakan roti bersalut serbuk roti dan pulut yang dimakan bersama manisan bunga talang. Ternyata air tangan wanita ini ada kehebatan tersendiri apabila setiap resipi diadun dan dibuat berulang kali bagi mendapatkan rasa yang diinginkan.

Lebih menarik apabila kebolehan memasak turut dikongsi suami, Zaidi Sahid, 43, yang turut berkebolehan memasak tanpa melalui kelas secara formal. Selain berkongsi ruang dapur menyediakan aneka juadah, pasangan suami isteri ini sering diminta menyediakan makanan untuk kenduri-kendara di kawasan perumahan mereka.

Menceritakan bagaimana boleh meminati bidang masakan, menurut Zulfa, dia masih ingat ketika berjalan ke sekolah rendah dia melihat seorang wanita India menyediakan hidangan tengah hari untuk keluarganya.

“Setiap kali melalui rumahnya saya akan berhenti di dapur untuk melihat dia memasak. Amat menyeronokkan melihat kesungguhan dia memasak sehinggakan saya tidak sedar berada lama di situ. Keadaan ini mencetuskan keinginan untuk memasak suatu hari nanti. Sejak itu saya suka menonton program memasak di kaca televisyen dan mula mencuba masakan yang ringkas untuk hidangan keluarga,” katanya.


ZAIDI bersama isteri Zulfa dan empat anak mereka sedang menikmati juadah enak hasil air tangan ibu dan bapa mereka.

Berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak sesekali membataskan minat Zulfa dalam kulinari. Dia mula menghimpunkan pelbagai resipi dan aktif menulis blog masakan bermula pada 2010. Semuanya bermula apabila ada rakan terdekat sering meminta resipi daripadanya setelah merasa juadah yang disediakan.

“Lama-kelamaan semua resipi ini saya masukkan dalam blog dengan harapan perkongsian hobi dengan suami ini memberi banyak manfaat kepada pembaca. Apatah lagi apabila mereka mengakui kebanyakan resipi yang dicuba menghasilkan juadah dan sedap dan enak,” katanya.

Mengakui hanya belajar menerusi percubaan memasak dan diubah suai mengikut keenakan makanan, walaupun tidak melalui kelas formal, sokongan ibu sangat membantu untuk menjadi seperti dirinya sekarang. Dia bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang pandai memasak jadi sedikit sebanyak bakat ini diperturunkan kepadanya. Boleh memasak semua jenis hidangan tetapi kepakaran Zulfa lebih kepada hidangan Barat, kek dan pastri.

Ditanya mengenai suami yang memiliki kebolehan memasak, jelas Zulfa, dia langsung tidak tahu suami mahir memasak kerana perkahwinan mereka diatur rakan. Selepas berkahwin barulah dia tahu suami boleh memasak pelbagai jenis nasi dan lauk-pauk.

“Ketika masih bujang saya sering berdoa agar dikurnia suami yang pandai memasak. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah. Saya tidak sangka dia boleh memasak lauk-pauk dan nasi serta mampu menyediakan dalam jumlah yang banyak terutama untuk kenduri-kendara,” katanya.

Dikurniakan empat cahaya mata yang turut mempunyai bakat memasak, jelas Zulfa, sejak kecil dia sudah mencambah minat memasak kepada anak-anaknya dengan harapan mereka mampu menyediakan hidangan untuk diri sendiri.

“Sebagaimana kami memperoleh pengalaman memasak menerusi didikan ibu bapa, begitulah yang kami terapkan kepada anak. Mulanya dengan memberikan pendedahan awal mengenai peralatan memasak kemudian sedikit demi sedikit membiarkan mereka memasak sendiri. Mereka pula seronok di dapur dan mampu menyediakan hidangan ringkas seperti nasi goreng dan telur dadar selepas beberapa kali mencuba,” katanya.


ZAIDI bersama isteri Zulfa dan empat anak mereka sedang menikmati juadah enak hasil air tangan ibu dan bapa mereka.

SUAMI MASAK UNTUK KENDURI

Menurut Zaidi pula, bakat memasak diwarisi daripada arwah ayah yang menjadi tukang masak untuk kenduri di kampungnya di Johor Bahru. Bukan dia seorang saja berkebolehan memasak malah mereka lapan beradik juga mahir menyediakan nasi beriani resipi turun temurun keluarga. Ketika berusia sembilan tahun Zaidi sudah boleh memasak makanan ringkas seperti sayur tumis air dan ikan sambal berkat tunjuk ajar ayahnya.

“Saya sering mengikut ayah menghadiri kenduri-kendara. Walaupun tidak diberikan resipi secara bertulis namun berdasarkan pengalaman saya dapat mengagak bahan dan jumlah digunakan. Inilah kelebihannya bagi tukang masak yang belajar menerusi pengalaman,” katanya.

Walaupun isteri mempunyai kepakaran dalam memasak tetapi Zaidi tidak melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya sebaliknya dia turut membantu mengisi keperluan bersama.

“Oleh kerana kami suami isteri bekerja jadi tugas memasak biasanya dilakukan bersama. Kadangkala saya menyediakan juadah makan malam, isteri pula masak hidangan tengah hari dan kami bersama-sama menyiapkan sarapan. Ini dapat menjimatkan masa selain menjadikan tugasan isteri lebih ringan.

“Memasak sendiri juga menjimatkan dan lebih berkhasiat. Tambah pula apabila setiap anak memiliki cita rasa berbeza. Jika makan di rumah seboleh-bolehnya kami mahu menyediakan hidangan kesukaan mereka. Berbeza sekiranya makan di luar kerana tidak semua hidangan memenuhi selera anak. Kadangkala rasanya kurang memuaskan,” katanya.

Dia yang pernah menuntut di United Kingdom mengakui, keinginan merasai masakan Melayu dapat dipenuhi apabila dia menyediakan makanan sendiri. Kebanyakan rakan sudah tahu kebolehan Zaidi jadi mereka menyediakan bahan mentah saja dan Zaidi akan memenuhi permintaan ‘pelanggan’.

Selepas pulang ke Malaysia, kebolehan memasak Zaidi dihidu rakan. Ini disebabkan setiap kali mereka mengadakan rumah terbuka pasti juadah disediakan sendiri.

“Setiap menu adalah berbeza dan kelihatan sukar diperoleh di tempat lain. Inilah yang kami sering sediakan setiap kali rumah terbuka Aidilfitri sehingga ada yang tidak melepaskan peluang untuk datang pada setiap tahun. Setiap kali ada kenduri saya juga akan memasak semua juadah sambil dibantu isteri. Walaupun penat tetapi timbul kepuasan apabila juadah dihidangkan habis dijamah tetamu,” katanya yang turut diberi tanggungjawab memasak untuk jamuan berbuka puasa setiap kali Ramadan menjelang.

Jelas Zaidi, memasak sendiri lebih menjimatkan dan rasanya pula lebih sedap berbanding katering. Walaupun kedua-dua masih bekerja dalam sektor awam namun keinginan untuk menceburi perniagaan tetap ada. Itu pun selepas kedua-duanya bersara nanti.

Kata Zulfa pula, selama ini dia banyak berkongsi resipi pelbagai jenis masakan dengan pembaca. Pada masa akan datang mereka berharap mampu memiliki studio memasak sendiri dan dapat berkongsi kepakaran dengan orang lain. Bahkan mereka mengidamkan syarikat katering sendiri yang dapat memenuhi keperluan individu yang ingin mengadakan pelbagai majlis.

“Inilah impian saya dan isteri pada masa akan datang. Disebabkan masih bekerja hasrat ini terpaksa dipendam terlebih dulu. Insya-Allah selepas bersara jika ada rezeki kami ingin membangunkan perniagaan makanan bersama-sama,” katanya.


ZAIDI turut membantu meringankan tugasan isteri di dapur.

PANDUAN ERATKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI:

1. Lakukan kerja rumah bersama seperti memasak dan mengemas rumah. Wujudkan suasana gembira ketika melakukannya misalnya dengan bergurau senda disulami gelak tawa.

2. Babitkan anak bersama-sama dalam semua aktiviti suami isteri anda. Misalnya jika sedang memasak ajak anak membantu memotong sayur atau mengelap pinggan. Bantuan ini dapat mewujudkan rasa hormat dalam diri anak.

3. Jangan ada rasa ego dalam diri suami isteri. Jika ada buang perasaan ini kerana ia akan membuatkan anda merasa hebat sebagai lelaki dengan itu tidak mahu melakukan kerja rumah.

4. Ucapkan kata-kata manis dan terima kasih kepada suami selepas mereka membantu meringankan kerja rumah. Jika boleh berikan hadiah kepada suami misalnya dengan membelikan barang kesukaannya.

5. Suami pula sekali-sekala memberikan kejutan dengan menyediakan hidangan kesukaan isteri. Pasti isteri akan lebih rasa dihargai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:30 AM