LEMON, teh hijau dan madu untuk menghilangkan jerawat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Siapa yang tidak bimbang apabila melihat jerawat tumbuh di muka. Bukan kecil tetapi jenis besar dan bernanah. Jika dibiarkan akan meninggalkan parut yang sukar dihilangkan. Walaupun menggunakan pelbagai produk, sesetengahnya tidak serasi dengan jenis kulit. Lebih memburukkan keadaan apabila ia meninggalkan kesan kemerah-merahan.

Bagi Noorhafizah Mohd Shah, 36, dia turut mengalami masalah sama apabila muncul jerawat batu di seluruh muka. Malu berhadapan orang ramai, dia menggunakan pelbagai produk untuk menghilangkan jerawat, tetapi tidak berkesan. Kulit menjadi sensitif dan gatal.

“Saya mencuba pula suntikan sel stem di klinik estetika untuk menghilangkan parut bersama suntikan vitamin C. Walaupun terpaksa berbelanja besar, saya rela melakukannya disebabkan tertekan dengan masalah muka yang tiada penghujung. Jika bertemu orang ramai pasti ada saja yang bertanya mengapa kulit saya begini,” katanya tersenyum malu.

Dalam pencarian produk sesuai, kulit Noorhafizah menjadi sangat kusam dan tidak bermaya. Kemungkinan ia disebabkan kesan jerawat jenis bernanah yang dalam dan selalu tumbuh di tempat sama berulang-kali.

“Ditambah pula faktor usia menyebabkan keupayaan kulit menghasilkan sel baru menjadi semakin berkurang. Ini punca utama mengapa parut lama sukar dihilangkan,” katanya.

Berusaha memulihkan keadaan kulitnya Noorhafizah cuba menggunakan bahan alami seperti teh hijau, tomato, serbuk kayu manis, cuka epal, timun, lemon dan madu yang disapu pada kulit. Namun bagi mengetahui sama ada bahan-bahan ini meninggalkan kesan sampingan atau tidak dia cuba membuat ujian sapuan pada kulit tangan dulu. Jika tiada kegatalan, kemerahan atau ruam bermakna ia sesuai digunakan.

“Setakat ini campuran teh hijau, lemon dan madu sangat berkesan untuk merawat jerawat. Ini disebabkan fungsi teh hijau itu sendiri yang mampu mengecutkan jerawat ditambah lemon dan madu,” katanya.

KELUARKAN teh hijau daripada uncangnya.

CAMPURKAN dengan madu.

TAMBAHKAN dengan lemon dan kacau sebati.

SAPUKAN bahan-bahan tadi pada kulit dan biarkan seketika selama 10 minit. Cuci dengan air bersih.

Selain itu, teh hijau mempunyai sifat antiradang, sekali gus mengurangkan kemerahan disebabkan jerawat. Teh hijau boleh mencerah dan melindungi kulit serta membuang lebihan kotoran pada kulit. Dalam teh hijau ini sendiri mengandungi bahan aktif dipanggil katekin (catechin) yang bersifat antimikrob.

“Bahan ini membantu memusnahkan kuman penyebab jerawat. Jadi apabila kuman sudah tiada bengkak, merah-merah atau radang jerawat akan reda. Malah kandungan antioksida yang tinggi, menjadikan kulit lebih muda, melambatkan proses penuaan dan mengurangkan garis kedutan pada wajah,” katanya.

Noorhafizah turut mengamalkan serum sarang burung bagi merangsang penghasilan kulit baru. Ia hasil daripada kajiannya sendiri sehingga berjaya mengeluarkan produk pada Mei 2018.

“Tujuan saya mengeluarkan produk sendiri kerana takut untuk mencuba pelbagai perawatan wajah di pasaran. Saya bimbang kulit mengalami masalah seperti mana yang berlaku pada 2017,” katanya.

Ujarnya, selepas mengamalkan serum sarang burung parut lama cepat hilang. Jadi dia selang-selikan dengan rutin harian dan mingguan misalnya pengambilan serum sarang burung setiap hari manakala penggunaan bahan tradisional secara mingguan.

“Pupur dan skrub menggunakan bahan dapur saya gemar lakukan pada hujung minggu kerana masa lebih panjang untuk berehat dan memanjakan diri. Hasilnya sangat berkesan. Kulit menjadi semakin lembut, lembap, bersih dan berseri. Paling penting tiada lagi istilah kulit kusam atau wajah kelihatan tua berbanding usia sebenar.

Tambahnya lagi, setiap orang harus sedar setiap bahan dijadikan Allah itu pasti ada manfaatnya. Tugas pengguna adalah untuk mengkaji dan merasai sendiri keberkesanannya.

“Kebanyakan bahan dapur mudah diperoleh, murah dan selamat. Kita juga boleh melakukannya berulang-kali berdasarkan manfaat dan tujuan penggunaan. Untuk tambahan kepada setiap petua saya selitkan sumber vitamin C yang diperoleh menerusi lemon. Untuk mencerahkan kulit pula saya gunakan kentang, dadih asli dan susu.

Sekiranya setiap individu memahami fungsi bahan-bahan ini agak mudah menggunakan untuk perawatan. Misalnya ketika cuaca panas kulit menjadi kusam ada resipi yang boleh mencerahkan kulit. begitu juga bagi kulit berminyak boleh menggunakan bahan dapur untuk mengurangkannya. Ini dapat menjimatkan wang. Apa yang penting adalah minat dan rajin mencari ilmu mengenai kecantikan,” katanya yang berkongsi petua menerusi laman Facebook Fyza Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:30 AM