ABDUL Halim tidak kenal erti putus asa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Impiannya sama seperti individu lain, dia mahu membahagiakan ibu tercinta yang tidak jemu mencurahkan kasih sayang dan berkorban apa saja demi membesarkannya.

Dia juga percaya, restu dan doa seorang ibu adalah senjata terpenting dalam menentukan kejayaan seseorang.

Tidak hanya mengharapkan restu ibu, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini juga berusaha keras untuk merealisasikan impian hati bergelar seorang usahawan dan dermawan suatu hari nanti.

Namun, semuanya tidak semudah disangka, pelbagai suka duka dan jatuh bangun perlu ditempuhi demi memastikan apa yang diinginkan tidak hanya sekadar impian kosong.

Kisah penuh inspirasi anak muda, Abdul Halim Shamsudin, 27, membuka mata penulis betapa besarnya peranan seorang ibu dalam menentukan satu kejayaan.

Memulakan bicara, Abdul Halim yang menjalankan beberapa cabang perniagaan antaranya penulisan buku dan kelas usahawan berkata, dia memasang impian bergelar usahawan dermawan sejak berusia 12 tahun dan sentiasa meminta ibunya mendoakan supaya cita-citanya itu tercapai.

“Saya tidak berasal daripada keluarga yang terbabit dalam dunia perniagaan namun sangat berminat untuk mengecapi cita-cita ini disebabkan sedar ia membuka banyak peluang untuk membantu orang lain. Saya juga menanam impian menyumbangkan sedikit keuntungan kepada insan memerlukan apabila berjaya kelak.

“Mungkin semua ini adalah daripada didikan ibu, dia selalu mengingatkan saya supaya berbuat baik dengan ramai orang dan membantu insan memerlukan,” katanya tersenyum.

Abdul Halim yang juga siswazah jurusan pendidikan kanak-kanak berkata, pada awal pembabitan, ibunya agak berat hati untuk merelakan dia menceburi bidang itu.

“Bukan ibu tidak suka tetapi dia bimbang kerana dunia perniagaan ini banyak cabarannya namun dia tahu ini sememangnya impian saya sejak kecil.

“Saya juga akui terpaksa meminta bantuan kewangan daripada ahli keluarga untuk dijadikan modal berniaga namun nasib saya tidak baik, saya mengalami kerugian besar disebabkan kurang ilmu dan pengalaman,” ujarnya.

Mungkin juga dia mengambil keputusan terlalu terburu-buru sehingga menyebabkan perniagaan awalnya menjunam. Duit yang dilaburkan sebagai modal perniagaan hilang lenyap begitu saja. Hancur juga hatinya memikirkan kerugian yang ditanggung tetapi dia tidak mahu terus menyesali nasibnya.

Kejadian itu membuka mata Abdul Halim untuk lebih bersedia menghadapi liku dunia perniagaan. Ia juga menyedarkan usahawan muda ini untuk membuat perancangan supaya perjalanan perniagaannya tidak terhenti separuh jalan.


TIDAK kenal erti putus asa.

“Ketika itu saya sedar bukan mudah untuk berjaya. Saya tidak lagi terburu-buru dan mula mencari mentor sebelum mula menemui Suhaimi Umar daripada TRS Training & Consultancy untuk memastikan apa yang saya lakukan pada landasan tepat.

“Syukur, saya semakin menemui rentak dan perniagaan berjalan lancar. Paling menggembirakan saya dapat menggembirakan ibu tercinta yang banyak berkorban selama ini,” katanya.

Menurutnya, dia yakin segala yang dikecapinya kini bukan disebabkan usaha kerasnya semata-mata namun lebih daripada berkat doa seorang ibu.

Bantu anak muda

“Kini, semuanya seakan-akan tidak percaya, saya dapat menjana keuntungan mencecah tujuh angka setiap bulan dan paling membahagiakan apabila saya dapat memberikan apa saja yang diingini ibu.

“Saya mengimpikan untuk menyalurkan jumlah tertentu daripada keuntungan setiap bulan kepada individu kurang bernasib baik termasuk fakir miskin dan anak yatim. Berapa jumlahnya tidak penting. Apa yang lebih penting ialah sumbangan tetap setiap bulan kerana dalam rezeki kita, ada bahagian untuk orang lain. Bahagian rezeki inilah yang saya kembalikan kepada masyarakat.

“Antara pencapaian peribadi yang saya suka ialah sebelum mencecah usia 30 tahun, saya sudah mempunyai lebih 20 kakitangan yang banyak membantu kejayaan ini. Saya bersyukur diberi rezeki dalam perniagaan kerana ia membuka laluan untuk saya menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain,” ujarnya.

Tidak mahu berpuas hati dengan kejayaan dikecapi, Abdul Halim berkata, kini, dia berusaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang bukan saja berjaya namun mempunyai akhlak dan pegangan agama yang tinggi.


MEMBERI inspirasi kepada usahawan muda.

“Saya mahu membantu anak muda yang mempunyai impian bergelar usahawan namun tidak tahu arah tuju kerana saya tahu amat sukar untuk kita berjaya tanpa bantuan dan tunjuk ajar individu lain.

“Saya percaya dengan konsep lebih banyak kita membantu, lebih mudah urusan perniagaan seharian kita kerana saya dapat rasai semua ini,” katanya.

Katanya, pada masa sama, dia juga tidak mahu sesekali mengabaikan ibu tersayang walau dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Memang benar untuk berjaya dalam apa juga perniagaan diceburi memerlukan keazaman serta usaha tanpa putus asa namun percayalah restu seorang ibu melebihi segalanya.

“Selagi nyawa dikandung badan saya tidak akan sesekali mengetepikan ibu tersayang kerana dirinya amat berharga dalam kehidupan saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 2:04 PM