ENAK dijadikan juadah ketika jamuan. FOTO NSTP
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Siapa kata menyediakan hidangan manisan sebagai pencuci mulut itu rumit dan memerlukan tempoh yang lama untuk menyiapkannya.

Hakikatnya, menyediakan hidangan manisan tidaklah sesukar disangka asalkan resipi digunakan tepat bagi menghasilkan manisan yang enak dan cukup rasa.

Selain kek, donut dan puding, paf krim juga antara manisan yang digemari ramai tidak mengira usia terutama kanak-kanak.

Menurut pengusaha perniagaan pastri dan bakeri, Adri Akmal Arif, menyediakan paf krim termasuk paf krim berwarna tidak begitu rumit asalkan mengikut resipi tepat.

“Kini terdapat pelbagai jenis inti paf krim yang boleh dipilih selain warna paf krim itu juga boleh ditukar mengikut cita rasa masing-masing.

“Proses penyediaannya juga tidak terlalu lama dan sangat mudah. Aspek terpenting dalam penyediaannya ialah kemanisan inti kerana paf krim yang terlalu manis tidak begitu digemari terutama bagi golongan berusia,” katanya.

Tambahnya, selain mudah dan lazat, ia juga sesuai dijadikan juadah pembuka selera ketika jamuan hari lahir atau apa saja jenis kenduri.

Ikuti langkah demi langkah penyediaan paf krim berwarna resipi istimewa daripada Adri Akmal. Anggaran resipi ini dapat menyediakan 240 hingga 250 ketul bersaiz kecil.

Bahan paf

• 1 liter air masak

• 400 gram mentega

• Dua sudu besar gula

• 500 gram tepung halus

• 12 biji telur

Bahan krim

• 100 gram gula halus

• 60 gram tepung jagung

• 20 gram tepung kastard

• Sebiji telur

• 500 gram susu segar

Langkah-langkah


1. DIDIHKAN air dan masukkan mentega, gula dan tepung. Padamkan api. Kacau adunan sehingga sebati dan sejukkan adunan seketika. FOTO NSTP

2. APABILA adunan sejuk, masukkan telur satu persatu dan kacau sebati. Adunan yang sebati akan kelihatan licin dan tidak berketul. Boleh tambah pewarna mengikut warna disukai. FOTO NSTP

3. MASUKKAN adunan ke dalam beg paiping dan paip adunan ke atas dulang pembakar yang sudah disapu mentega. Bakar dalam ketuhar selama 45 minit. FOTO NSTP

4. UNTUK membuat krim kastard, satukan semua bahan di dalam periuk. Masak adunan hingga menjadi sedikit kental. Sentiasa kacau agar adunan licin. Belah paf di bahagian tengah dan paipkan krim ke dalam paf yang sudah disejukkan. FOTO NSTP

5. LAZAT dan menyelerakan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 1:52 PM