NURUL Huda menunjukkan buku yang dihasilkan untuk bacaan kanak-kanak Islam. FOTO Aizuddin Saad
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kalau singgah di kedai buku, tentu banyak bahan bacaan kanak-kanak yang boleh membuatkan ramai ibu rambang mata memilih.

Lazimnya, pilihan ibu mudah terarah kepada buku bacaan bersiri kerana dianggap senang difahami dan mempunyai tahap pemahaman bersesuaian perkembangan kanak-kanak.

Ada juga ibu bapa yang suka memilih buku cerita ringkas yang membawa mesej dan pengajaran supaya sentiasa berbuat baik, berbakti kepada orang tua, kisah teladan dan sebagainya.

Terlalu banyak genre pilihan yang boleh membantu merangsang pemikiran, kreativiti, mengajak anak-anak berfikir secara kritikal dan membuat keputusan berdasarkan isi cerita.

Kata penulis buku Thank You Allah for My Sight, Nurul Huda Ahmad Nawawi, selain mendedahkan kisah teladan dan pengajaran, kanak-kanak hari ini perlu dididik untuk mengesakan Allah SWT sejak kecil.

“Ada pelbagai cara dan pendekatan boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah untuk memastikan anak dididik mengenal Allah SWT.

“Salah satunya adalah menerusi pembacaan buku. Malah, inilah mesej yang saya cuba sampaikan. Jalan cerita buku ini berkisar mengenai kehidupan yang secara tidak langsung mempengaruhi anak untuk mengenal Allah SWT sebagai pencipta.

“Paling penting, buku sebegini diharap dapat menanam akidah yang benar dan sejahtera dalam diri anak sejak kecil supaya menjadi pegangan hidup kelak,” katanya.

Jelas Nurul Huda, dia sebenarnya mendapat inspirasi untuk menulis buku ketika berada di New Jersey, Amerika Syarikat.

“Ketika itu saya rancak mengajar anak di rumah. Pelbagai aktiviti yang kami jalankan. Saya guna pendekatan pembelajaran bertema.

“Dari situ, idea mencurah-curah untuk menulis buku ini. Tambahan ada dorongan dan galakan dari seorang rakan yang juga penulis tersohor tanah air, jadi saya bertekad menghasilkan buku pertama,” katanya ketika ditemui di Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Naskhah istimewa

Jika gajet menawarkan pelbagai fungsi interaktif, kata Nurul Huda, buku juga mempunyai tarikan yang tersendiri buat kanak-kanak.

“Saya percaya, setiap bayi dilahirkan dengan kebijaksanaan masing-masing. Sementara ibu bapa dan guru berperanan merangsang kecerdasan mereka saja.

“Jadi, buku ini menyampaikan fungsi deria penglihatan dengan tepat dan padat. Ada ilustrasi, penerangan dan contoh untuk memudahkan ibu bapa dan guru membantu anak-anak memproses maklumat berkenaan.

“Saya selalu menggalakkan supaya ibu bapa menyediakan suasana dan persekitaran santai untuk anak membaca buku. Walaupun kedengaran enteng, namun persekitaran yang baik boleh membantu menambah mood dan semangat pembelajaran anak.

“Sertakan aktiviti bertemakan buku untuk menambah lagi kefahaman anak. Melalui cara ini, anak dapat belajar dengan lebih banyak melalui pengalaman dan penceritaan,” katanya.

Selesa mencedok pengalaman bekerja di bidang pendidikan kanak-kanak, kata Nurul Huda, dia teruja menggabungkan konsep tauhid dan sains sebagai jalan cerita dalam buku dihasilkan.

“Salah satu aspek yang diberi penekanan ketika mengajar anak di rumah adalah mengenai akidah dan Islam. Apabila berada di perantauan, saya tidak ada pilihan selain mengajar sendiri mengenai agama dan ketuhanan.

“Untuk tujuan itu, saya perlu membuat perancangan teliti berdasarkan buku rujukan. Seminggu sekali, kami akan melawat ke perpustakaan awam untuk meminjam buku rujukan dan bacaan.

“Bagaimanapun, tidak banyak pilihan yang ada untuk kanak-kanak Islam. Kesempatan itulah yang membuka ruang kepada kemunculan naskhah istimewa ini. Saya berjaya menggunakan konsep sains untuk dikaitkan dengan kewujudan Allah SWT.

“Sebenarnya, dua perkara ini memang tidak boleh dipisahkan. Terlalu banyak ayat al-Quran yang menerangkan kewujudan Allah SWT. Bahkan kajian sains turut menyokong kesahihan fakta berkenaan.

“Oleh kerana usia anak yang kecil dan belum boleh memahami isi kandungan al-Quran, jadi mereka sukar memahami konsep ini dengan jelas. Namun, orang dewasa boleh membantu mereka menghayati dan menerima cerita yang disampaikan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:00 PM