REDZA sebagai CEO CG Nutraceuticals Sdn Bhd.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Bukan semua individu mampu menerima ujian Allah dengan reda sekali gus menukar menjadi anugerah. Apatah lagi apabila membabitkan penyakit kanser yang sering kali kesudahannya dikatakan akan menghampiri kematian.

Berbeza dengan Pegawai Eksekutif Operasi CG Nutraceuticals Sdn Bhd Redza Abdul Rahman, yang kini mampu menjalani kehidupan lebih ceria walaupun pernah disahkan doktor mempunyai jangka hayat tujuh hari selepas koma akibat kanser limfoma pada 2012.

Menceritakan pengalaman ini kepada penulis, menurut Redza, dua tahun sebelum didiagnos kanser dia sering demam dengan suhu badan mencecah 40 darjah Celsius. Ketika itu dia beranggapan hanya demam biasa.

“Apabila ubat habis, demam datang semula sehingga saya mengalami sesak nafas yang teruk. Selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) doktor mengesahkan saya menghidap kanser darah tahap empat,” katanya.

Bermula hari itu, Redza terus terlantar dan koma selama empat hari. Malah ibu bapa dan keluarga pernah menyangka usianya tidak panjang berikutan keadaannya yang sangat kronik.

“Saya sedar jangka hayat saya tidak lama berikutan tahap oksigen yang semakin menurun. Ketika itu mulai datang penyesalan kerana dulunya saya bukanlah seorang lelaki yang baik. Saya berdoa bersungguh-sungguh agar Allah memanjangkan usia kerana masih banyak perkara yang ingin dilakukan.

“Malah melihat ibu menangis ketika menjaga saya cukup menghibakan. Saya tekad perlu kuatkan semangat. Saya mahu terus hidup dan ingin berbakti kepada kedua-dua ibu bapa serta masyarakat seandainya hayat saya dipanjangkan Allah,” kata Redza.

Sungguh Allah mendengar doa hamba-Nya. Dalam masa dua hari Redza menunjukkan perubahan positif dan sedar daripada koma. Selepas keadaan kesihatan bertambah baik, perkara pertama dilakukan adalah membaca mengenai kanser dan rawatannya.

Mempunyai latar belakang dalam bidang sains, Redza menggunakan sepenuhnya untuk bertanya mereka yang pakar dalam perubatan mengenai kesan kemoterapi terhadap kanser.

“Saya mengambil risiko untuk tidak melakukan kemoterapi sebaliknya mendapatkan rawatan tradisional dan Islam. Rawatan Islam berasaskan ayat al-Quran untuk menguatkan semangat manakala pemakanan sunah saya amalkan untuk menguatkan antibodi. Pada masa sama, saya tetap meneruskan perubatan moden menurut nasihat doktor,” katanya.

Lama-kelamaan gabungan rawatan yang dilakukan secara konsisten, dorongan dan semangat keluarga serta kekuatan diri sendiri memungkinkan anak muda ini kembali sihat dan bertenaga.

Malah dia mengakui kekuatan dan semangat penghidap kanser untuk terus berjuang melawan sel kanser banyak bergantung kepada emosi serta sokongan keluarga berbanding pemakanan dan ubat-ubatan.

“Sebagai pesakit kanser saya berasakan sokongan rakan dan keluarga itu menjadi keutamaan berbanding pemakanan. Ini kerana pada akhirnya diri sendiri yang akan menentukan sama ada mahu meneruskan kehidupan atau tidak,” ujarnya.


REDZA ketika koma selepas disahkan kanser limfoma.

PERLU ADA ‘BIG WHY?’

Pernah dilantik sebagai ikon untuk Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM), Redza banyak menerima pertanyaan daripada pesakit kanser mengenai pemakanan.

Jika dahulu dia lebih dikenali sebagai pejuang kanser yang memberikan motivasi mengenai kaedah rawatan, pemakanan, ubat-ubatan dan diet tetapi kini dia terpanggil untuk menukar konsep kepada memberikan semangat.

“Saya mula menyertai kumpulan Kanser Warrior yang disertai pesakit kanser jenis berbeza. Menerusi kumpulan ini saya mendidik mereka mengenai sokongan moral serta mengapa mereka perlu meneruskan kehidupan. Apakah ‘Big Why’ mereka?

“Dulu saya tidak faham mengapa perlu ada Big Why (Mengapa). Tetapi selepas melihat ibu yang sanggup datang ke Kuala Lumpur seorang diri menaiki bas semata-mata ingin melihat saya di hospital, saya tekad untuk teruskan perjuangan. Tidak boleh mengalah kepada kanser. Di sinilah datangnya kekuatan.

“Saya juga berazam menggembirakan ibu bapa dan membawa mereka menunaikan umrah jika saya sihat. Alhamdulillah hajat saya dapat ditunaikan dua tahun lalu,” ujarnya.

Bagi Redza, jika dia boleh mengapa pesakit lain tidak boleh? Inilah yang cuba disampaikan untuk memberikan kesedaran kepada pesakit itu sendiri. Hanya yang melaluinya memahami kesukaran berjuang sebagai pesakit kanser.

Katanya, apa yang membuatkan pesakit sangat terkesan kerana mereka didatangi individu yang sering mengucapkan kata maaf, bahasa kasihan, kesedihan dan tangisan yang ditunjukkan di hadapan pesakit.

“Sebenarnya kami tidak perlukan semua itu kerana ia lebih menyakitkan. Fahamilah pesakit kanser tidak perlu dikasihani, rasa simpati atau ayat seperti bersabarlah, Allah ada dan ingat Allah kerana ia terasa sangat perit. Pesakit tahu Allah ada. Kami juga tahu Allah sentiasa bersama kita.

“Cuba cari jalan untuk menggembirakan pesakit, membantu ketika dalam kesusahan dan mengelak untuk berbicara mengenai kesakitan serta kesedihan kerana ia lebih membantu menenangkan emosi pesakit,” ulasnya.

ADA HIKMAH

Bersyukur kerana dianugerahkan kanser, jelas Redza, dia semakin memahami mengapa Allah memberikan penyakit ini. Baginya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Apa yang membezakannya adalah cara Allah memberikannya.

“Saya tidak pernah menyangka kanser membuatkan karier saya meningkat. Saya mengenali ramai orang dalam kalangan selebriti, kenamaan sehingga ke golongan istana yang inginkan khidmat saya sebagai jururunding pemakanan.

“Malah jika bukan status pesakit kanser mungkin ramai tidak percaya kerjaya sebagai penyelidik sains. Saya merasai kebesaran Tuhan, kerana Dia datangkan sesuatu untuk saya dapatkan sesuatu. Mungkin Allah mahu saya menyampaikan ilmu ini kepada masyarakat pula,” terangnya yang turut memiliki hobi membela 34 ekor kucing.

Tertarik dengan ceritanya yang membela 34 ekor kucing, menurut Redza ia bermula apabila dia menyelamatkan seekor anak kucing jalanan yang hampir mati. Sejak itu daripada seorang yang tidak suka binatang rasa sayang kepada haiwan ini mulai ada.

“Ketika menjalankan khidmat sosial memberikan makanan kepada gelandangan, perkara pertama yang saya lakukan adalah meletakkan makanan untuk kucing jalanan. Sejak itu saya membawa kucing ke rumah dan memberikan rawatan, tempat tinggal dan makanan kepada haiwan ini.

“Menariknya, jumlah kucing peliharaan saya semakin bertambah dan saya berasakan dengusan kucing ketika tidur adalah terapi terbaik untuk tidur dengan lena. Mungkin juga kerana doa kucing-kucing ini saya kembali sihat dan dimurahkan rezeki,” katanya gembira.

MASIH BERJUANG MELAWAN KANSER

Walaupun dikatakan belum pulih sepenuhnya namun dia bersyukur kerana sel kanser berada dalam keadaan normal. Setiap enam bulan Redza perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan kesihatan dalam keadaan baik.

“Sekarang menjadi tanggungjawab saya menjaga pemakanan dan bersenam. Saya juga gembira dengan kesihatan saya dan berazam untuk membantu lebih ramai orang supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih sihat.

“Pengalaman berdepan kanser mengajar saya erti kehidupan. Pengorbanan masa, kasih sayang keluarga, persahabatan, kepentingan menjaga kesihatan dan kembali kepada jalan Allah. Inilah cara kanser mengajar saya menjadi insan yang tahu tujuan manusia dijadikan dan ke mana hala tuju selepas ini,” kata Redza positif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:59 AM