ROSMAYATI menjadi pendorong utama untuk berkebun.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


KE MANA tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Pepatah ini sesuai diberikan kepada Che Mohd Ridhwan Che Jaafar dari Kampung Alor Jambu Kuala Nerus, Terengganu apabila dia mewarisi minat bercucuk tanam daripada ayah dan ibunya.

Menurut Ridhwan, sejak kecil dia melihat ibu bapanya berkebun dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran, pokok bunga dan juga tumbuhan herba.

“Daripada situ timbul minat untuk menyambung aktiviti bercucuk tanam apabila sudah berumah tangga. Lantaran mendapat sokongan isteri, saya mula mencari peralatan untuk berkebun,” ujarnya.

Katanya, apa yang membuatkannya ingin mencuba menanam pelbagai jenis pokok ialah kerana cintakan kehijauan alam sekitar. Ditambah kesihatan ibu yang semakin baik walaupun sudah berusia 81 tahun tetapi masih kuat untuk berkebun mendorongnya melakukan perkara sama.


KEBUN mini milik Ridhwan Che Jaafar yang terletak di Kuala Nerus Terengganu.

Merealisasikan hasratnya memiliki kebun sendiri, Ridhwan mula mencari keperluan di nurseri, membeli dalam talian dan mengunjungi pasar tani di kawasan sekitar untuk mendapatkan benih pokok terbaru.

Bermula dengan kos permulaan RM100, dia mampu menanam pelbagai jenis pokok seperti cili dan sayur-sayuran hijau seperti sawi, bayam dan bendi.

“Saya mula menanam cili kemudian sayuran hijau yang lain. Lama-kelamaan selepas mengikuti beberapa blog dan melayari Internet selain bertanya dengan mereka yang pakar dalam bidang pertanian saya menambah tanaman kepada pokok yang jarang dijumpai di sini.

“Antaranya pokok tin, strawberi, beri, jambu strawberi, ceri cedar bay, ceri Brazil dan cape gooseberry yang benihnya saya peroleh menerusi dalam talian,” katanya.

Pada masa sama dia turut menanam tumbuhan tempatan seperti jagung, anona hibrid, longan pingpong, longan lad dan jambu tiada biji. Pokok herba juga mudah diperoleh di kebun mini milik Ridhwan antaranya kunyit hitam, kunyit putih, temu lawak dan cekur.

Walaupun dia mengakui tiada pengalaman terutama apabila membabitkan tanaman dari luar negara seperti strawberi dan buah beri, Ridhwan banyak mengikuti panduan diberi daripada mereka yang pernah menanam tumbuhan-tumbuhan ini.

Selain itu penjagaan seperti penggunaan baja organik dan kimia sangat penting bagi memastikan tanaman subur dan bebas serangga.

“Strawberi dan buah beri agak sukar dijaga kerana berlainan tanah serta masalah kulat yang sering memusnahkan tanaman. Sebab itu ia perlu dijaga dengan memberikan baja bersesuaian serta memastikan bebas serangga dan makhluk perosak,” ujarnya.

Mendapat bantuan sepenuhnya daripada isteri, Rosmayati Mohemad dan ibu, Zahara Salleh, Ridhwan bertuah kerana dua wanita ini banyak memberikan pertolongan semasa ketiadaannya di rumah. Mereka bergilir mencabut rumput, menyiram tanaman dan meletakkan pada setiap pagi dan petang bergantung pada keperluan.

Mengakui sejak mewujudkan kebun di rumah perbelanjaan untuk dapur dapat dijimatkan. Kini dia tidak perlu membeli sayur-sayuran dan juga tumbuhan herba seperti kesum, kari, pandan, halia dan kunyit.

Lebih menggembirakan kerana ada di antara tumbuhan herba mujarab untuk perawatan penyakit. Antaranya kunyit hitam baik untuk kekuatan dalaman wanita dan lelaki, bahan antikanser serta mampu mengawal kencing manis dan darah tinggi.

“Saya juga banyak mengambil ulam-ulaman seperti serai kayu, beluntas, sabung nyawa, pegaga dan hempedu bumi yang dijadikan amalan harian. Ulam-ulam ini enak dimakan bersama nasi dan budu,” katanya.

Ridhwan juga mula memperoleh pendapatan sampingan apabila kebanyakan pokok induk ini dibiakkan dan dijual kepada pelanggan yang kebanyakan membeli menerusi dalam talian.

“Memang benar berbudi pada tanah ada hasilnya. Dulu saya sendiri tidak menyangka berkebun mampu menjana pendapatan namun selepas melakukannya dan banyak pokok berjaya dijual saya semakin yakin untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

“Paling penting kesihatan terpelihara kerana kami mengamalkan pengambilan ulam-ulaman dan makan sayur-sayuran bebas racun serangga yang mengandungi kimia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:45 AM