BERKONGSI rasa untuk mengurangkan tekanan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@mediaprima.com.my

Apabila topik kanser diperkatakan, kebiasaannya tumpuan sering terarah kepada pesakit dan ramai terlupa mengenai sosok penting yang menjadi tulang belakang pesakit itu.

Bukan mudah menjaga pesakit berhadapan dengan penyakit serius kerana penjaga ini perlu menguruskan pelbagai aspek seperti keperluan fizikal, pengangkutan, kewangan, tugas yang ditinggalkan dan tidak kurang penting, menjaga emosi pesakit.

Akibat bebanan yang tinggi ini, seseorang penjaga pesakit kanser boleh mengalami tekanan dan jika tidak ditangani dengan betul, ia akan memberi kesan kepada pesakit.

Tidak dapat dinafikan beban yang ditanggung penjaga pesakit kanser ini adalah besar sehingga ada yang mengalami tekanan daripada pelbagai aspek.

Ada yang perlu mengorbankan masa mereka untuk pesakit kanser, tidak kurang juga terpaksa mengambil cuti, berhenti kerja dan mengeluarkan perbelanjaan besar bagi membantu pesakit.

Penjaga pesakit kanser ini kadangkala boleh menjadi lebih tertekan daripada pesakit kanser sendiri.

Pakar Psikiatri UiTM Private Specialist Centre (UPSC) Dr Jannah Nasution berkata, apabila kanser menyerang, pesakit perlu ingat dia sebahagian daripada rangkaian dalam keseluruhan proses rawatan dan penyembuhan. Oleh itu, apa saja yang berlaku kepada pesakit akan memberi kesan kepada pasangan menjadi penjaga begitu juga sebaliknya.

Ini kerana, katanya, peranan penjaga amat besar malah mereka perlu terus kuat walaupun ada kalanya berdepan saat beremosi kerana melihat orang tersayang dalam kesakitan dan kesedihan.

“Apabila kanser menyerang, keseluruhan sistem keluarga akan berubah kerana peranan ahli keluarga juga akan terkesan. Ini termasuk perubahan dalam fungsi harian.

“Antara perkara yang menjadi perhatian dan kebimbangan pasangan adalah soal emosi. Berdepan dengan pasangan yang menghidap kanser juga adalah perjalanan sangat beremosi. Itu belum lagi kebimbangan dan keresahan dalam memilih rawatan yang ada serta tumpuan kepada pengurusan tekanan,” katanya.

Bagi suami yang menjaga isteri menghidap kanser katanya, perkara pertama yang terpaksa dihadapi pasangan ialah perasaan tidak berdaya kerana kehidupan sudah di luar kawalan atau jangkaan selepas mengetahui mengenai penyakit dihidapi selain mula berperasaan kehidupan sudah berubah.

Menurutnya, perasaan tidak berupaya amat memberi tekanan kepada mereka kerana sebagai manusia kita mempunyai keinginan untuk mengawal keadaan hidup, perasaan untuk berasa selamat baik suami atau pasangannya.

Katanya, apabila suami atau isteri melihat pasangan melalui kehidupan yang bergelut dengan kanser, ada kemungkinan mereka turut dibebani pelbagai emosi dan ada antaranya menjejaskan kehidupan sekeluarga.

Ia juga satu cabaran besar buat mereka kerana perjalanan ini tidak semudah seperti yang disangkakan malah sukar mengekalkan emosi positif untuk jangka masa panjang disebabkan proses penyembuhan kanser mengambil masa agak lama.

Katanya, keadaan ini secara tidak langsung boleh menyebabkan penjaga penat secara fizikal dan psikologikal.


DR Jannah.

Pasangan turut berasa tertekan

Bagi wanita yang disahkan menghidap kanser payudara pula, katanya, menerima hakikat isteri yang disahkan penyakit itu bukan mudah, malah selain pesakit itu sendiri, suami turut menerima kesan yang sama dari segi emosi dan mental.

Menurut Dr Jannah, perasaan bersalah juga mungkin menjadi perkara yang menyelubungi suami dan diperbesarkan disebabkan anggapan mereka tidak dapat melindungi isteri.

“Pastinya perkara yang menjadi kebimbangan hingga meninggalkan kesan emosi kepada suami iaitu persoalan seperti adakah kanser boleh diubati, adakah ia boleh berulang jika sudah sembuh?

“Pada masa sama, pasangan ini perlu berdepan soalan atau pertanyaan mengenai pilihan rawatan yang ada selain menerima hakikat mereka perlu memegang tanggungjawab besar sendirian yang selama ini dipikul bersama isteri ketika sihat.

“Lebih memberatkan tekanan emosi suami apabila melihat isteri menderita kesakitan, menyaksikan kesan kanser dan kesan rawatan pada fizikal dan mental isteri.

“Sama ada suami suka atau tidak, kehidupan perlu berubah dan mereka perlu bersedia menghadapi keadaan itu. Lebih cepat pasangan menerima hakikat, lebih mudah untuk mereka melakukan perubahan dalam rutin harian. Sebenarnya apabila pasangan menghidap penyakit kronik, kehidupan pasangan yang menjadi penjaga tidak kira suami atau isteri secara automatik akan menjadi lebih sibuk kerana kita perlu mengimbangi antara kerja dan temu janji rawatan pasangan,” katanya.

Menurut Dr Jannah, tumpuan yang perlu diberikan kepada isteri dalam berjuang melawan kanser juga memberi kesan sama terhadap kerjaya suami.

Suami yang perlu menjaga isteri menghidap kanser mungkin menganggap perasaan mereka tidak penting, tetapi hakikatnya perasaan dan kebajikan mereka sama penting dengan pesakit yang dijaga.

Katanya, perasaan bercampur baur, sedih dan tertekan adalah perkara biasa yang dihadapi semua orang apabila berdepan dengan hakikat pasangan atau ahli keluarga disahkan kanser serta perlu menjalani rawatan berterusan.

“Apabila berasa tidak mampu, mintalah tolong untuk membantu anda menguruskan keluarga. Pada masa sama, jangan berat mulut untuk bertanya mengenai apa saja perkara yang anda tidak tahu dan paling penting perlu terima hakikat tidak mudah menjaga orang sakit.

“Bagaimanapun, penjaga perlu juga bersedia jika orang yang diharapkan untuk membantu tidak dapat memberi pertolongan ketika itu kerana kekangan masa atau komitmen lain.

“Bagi menangani masalah ini, anda mungkin memerlukan bantuan daripada pihak luar (bukan ahli keluarga dan rakan) seperti kumpulan sokongan atau badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanser untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan panduan bagi lebih memahami apa yang berlaku.

“Paling penting, dalam tempoh ini penjaga perlu menjaga diri sendiri. Kesejahteraan diri secara menyeluruh amat penting. Jangan ingat perasaan, penjagaan diri dari segi fizikal, emosi dan spiritual penjaga tidak penting,” katanya.

Dr Jannah berkata, penjaga juga seharusnya mempunyai masa rehat secukupnya atau setidak-tidaknya meluangkan masa selama 15 hingga 30 minit setiap hari untuk diri sendiri.

Katanya, jangan halang diri untuk buat sesuatu perkara atau hobi yang disukai walaupun sekejap, kerana kerap terjadi penjaga lupa mencari masa untuk diri sendiri hingga kehidupan peribadi mereka terabai.

Selain itu, katanya, penjaga seharusnya mengekalkan rutin yang dilakukan setiap hari sebelum ini misalnya rutin bersenam atau berjoging. Jika tidak mampu buat seorang diri, minta bantuan dan jangan ada perasaan bersalah jika anda luangkan masa untuk diri sendiri relaks.

“Penjaga kena faham emosi diri sendiri, cari jalan untuk berkongsi perasaan anda ketika itu dengan menulis, berjumpa kaunselor atau bercakap dengan orang lain untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Penting untuk kita mencari rakan atau ahli keluarga yang memahami perasaan kita ketika menghadapi saat sukar seperti itu dan jangan pendam segalanya sendirian.

“Ingatkan diri bahawa semua yang berlaku ini ada hikmah tersendiri, misalnya mungkin kita dapat tingkatkan hubungan suami isteri dan lebih banyak masa diluang bersama berbanding semasa sihat,” katanya.

Panduan untuk penjaga

Berikut beberapa panduan kepada pasangan sebagai penjaga pesakit kanser dalam usaha mengurangkan beban dan mempunyai masa yang lebih berkualiti untuk diri sendiri:

1. Cari jalan supaya anda dapat mengurangkan tekanan perasaan seperti bercakap mengenai masalah anda kepada orang yang boleh dipercayai atau mencari waktu untuk bersendirian daripada memikirkan soal kanser. Kadangkala berdiam diri dan bersendiri boleh melegakan perasaan.

2. Cari masa untuk diri anda berasa selesa setiap hari. Contohnya setiap hari, luangkan masa untuk membuat pekerjaan ataupun aktiviti lain yang disukai walaupun kecil. Aktiviti ini mungkin senaman ringan, meditasi, relaks dan banyak lagi aktiviti yang boleh membuat anda berasa lega.

3. Ikut serta kumpulan sokongan yang terdiri daripada mereka yang senasib dengan anda. Anda berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertanya soalan kepada ahli kumpulan sokongan ini.

4. Jika perasaan anda terlalu tertekan sehingga menjejaskan diri, tidak boleh tidur, terlalu risau dan gagal mengurus diri anda, jangan berlengah berjumpa kaunselor, pakar psikiatri ataupun ahli psikologi. Berjumpa ahli agama yang dapat menasihati anda dari sudut agama dan ketuhanan.

5. Jika pesakit kanser itu pasangan, inilah masanya anda cuba meningkatkan hubungan baik, kasih sayang dan keakraban. Anggaplah penyakit yang dihidapi oleh orang yang anda sayangi inilah sebenarnya sebab untuk anda menjadi lebih rapat dan lebih menyayanginya. Bersama-sama mengingati saat indah dalam kehidupan, saat bahagia sejak disatukan, dan bagaimana anda berdua saling bantu membantu dalam mengharungi cabaran lalu.

6. Mencari perkara positif yang diperoleh melalui tanggungjawab anda sebagai penjaga kepada seorang penghidap kanser. Setiap hari perlu fikir perkara positif dan kebaikan yang anda peroleh.

7. Jangan biarkan diri anda dalam keadaan serius sepanjang masa. Ketawa dan berjenaka boleh mengurangkan tekanan.

8. Pemakanan yang baik juga dapat mengurangkan tekanan begitu juga melakukan senaman untuk melancarkan aliran darah sekali gus dapat meningkatkan kesihatan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:54 PM